Menjadi Guru
Aku ini bukan siapa-siapa,
Hanya seorang guru biasa,
Amanahku mengajar manusia,
Biar kekal menjadi berguna.
Apabila saya menoleh ke belakang dan mengimbau perjalanan hampir dua dekad sebagai seorang Guru Bahasa di UMPSA, saya sering tertanya-tanya, ke manakah perginya masa? Rasanya seperti baharu semalam saya melangkah masuk ke bilik kuliah buat kali pertama dengan perasaan gementar dan penuh persoalan. Hari ini setelah bertahun-tahun berdiri di hadapan pelajar daripada pelbagai latar belakang, saya sedar bahawa profesion perguruan bukan sekadar kerjaya yang saya pilih. Ia telah menjadi sebahagian daripada diri saya.
Dalam perjalanan yang panjang ini juga, saya semakin memahami bahawa menjadi guru bukan sekadar satu profesion, tetapi satu amanah. Setiap kali melangkah masuk ke bilik kuliah, saya membawa harapan agar ilmu yang disampaikan dapat memberi manfaat kepada orang lain. Ada kalanya saya berasa tidak cukup baik, tidak cukup kreatif atau tidak cukup kuat untuk memenuhi segala tuntutan yang datang bersama profesion ini. Pada saat-saat seperti itu, saya belajar untuk berserah dan bergantung kepada Allah, memohon kekuatan agar dapat terus menjalankan amanah ini dengan sebaik mungkin.
Pada awalnya, saya menyangka tugas seorang guru adalah mengajar. Saya percaya bahawa jika saya menguasai kandungan pelajaran, menyediakan bahan yang baik dan menyampaikan pengajaran dengan jelas, maka saya telah menjalankan tanggungjawab saya dengan sempurna. Namun, di sebalik pengalaman mengajar, saya menemukan pelajaran yang jauh lebih besar iaitu tentang kemanusiaan, kesabaran dan nilai memberi makna kepada kehidupan orang lain. Menjadi guru sebenarnya adalah tentang membina hubungan dengan manusia.

Setiap semester, wajah-wajah baharu hadir ke dalam kelas saya. Mereka datang dengan impian, kebimbangan, keyakinan dan cabaran yang berbeza. Ada yang petah berbicara, ada yang pemalu, ada yang penuh semangat, dan ada yang masih mencari arah tujuan hidup. Dalam usaha membantu mereka belajar, saya sebenarnya turut belajar tentang kehidupan.
Saya belajar bahawa setiap pelajar mempunyai cerita yang tidak selalu dapat dilihat di dalam bilik kuliah. Saya belajar bahawa kejayaan tidak semestinya diukur melalui markah semata-mata. Saya juga belajar bahawa kadangkala kata-kata galakan yang ringkas mampu memberikan kesan yang lebih besar daripada satu jam syarahan.
Sepanjang perjalanan ini, dunia pendidikan telah berubah dengan begitu pantas. Ketika saya mula mengajar, penggunaan teknologi dalam pembelajaran masih terhad. Pelajar mencari maklumat melalui buku dan komputer makmal. Tugasan dicetak dan dihantar secara fizikal. Komunikasi berlaku secara bersemuka atau melalui memo di e-Community.
Saya masih ingat pelajar-pelajar saya sekitar sepuluh atau 15 tahun dahulu. Mereka bukanlah sempurna. Mereka juga ada kelemahan dan masalah masing-masing. Namun, mereka mempunyai satu sifat yang semakin jarang saya temui hari ini, iaitu rasa segan dan hormat yang tinggi terhadap guru.
Jika mereka menghantar mesej, mereka akan memulakan dengan salam, memperkenalkan diri dan meminta maaf kerana mengganggu. Jika mereka terlepas tarikh penghantaran tugasan, mereka akan datang berjumpa secara bersemuka untuk memberi penjelasan. Mereka mungkin tidak sentiasa mendapat markah yang baik, tetapi mereka menghargai usaha yang dicurahkan oleh guru.
Hari ini, dunia pelajar sangat berbeza.
Mereka membesar dengan telefon pintar di tangan. Hampir segala-galanya berlaku secara digital. Mereka memperoleh maklumat dalam beberapa saat. Cara mereka belajar, berkomunikasi dan berinteraksi juga berubah. Mereka terbiasa dengan video pendek, jawapan segera dan komunikasi yang pantas. Kadangkala mesej yang saya terima hanya berbunyi, “Teacher, mana link assignment?” atau “Miss, saya tak sempat buat.” Tiada salam. Tiada pengenalan diri. Ada kalanya saya perlu meneka siapa penghantar mesej tersebut.
Pada mulanya, saya berasa kecewa. Saya tertanya- tanya ke mana hilangnya adab yang dahulu begitu sinonim dengan budaya kita.
Namun, semakin lama saya mengajar, semakin saya sedar bahawa setiap generasi dibentuk oleh zamannya sendiri. Pelajar hari ini bukan kurang baik daripada generasi terdahulu. Mereka hanya membesar dalam dunia yang berbeza. Dunia yang bergerak terlalu pantas sehingga kadangkala mereka tidak sempat belajar bagaimana untuk memperlahankan langkah dan menghargai proses.
Sebagai seorang guru, perubahan ini mengajar saya untuk terus menyesuaikan diri. Saya sedar bahawa saya tidak boleh terus mengajar dengan cara yang sama seperti sepuluh atau 15 tahun dahulu. Jika pelajar berubah, guru juga perlu berubah. Jika dunia bergerak ke hadapan, guru juga perlu terus belajar.
Hakikatnya, antara perkara paling penting yang saya pelajari sepanjang menjadi guru ialah pembelajaran tidak pernah berakhir.
Walaupun saya berdiri di hadapan kelas sebagai seorang pendidik, saya juga seorang pelajar. Saya belajar menggunakan teknologi baharu, menghadiri bengkel dan boot camp; dibiaya universiti atau keluar dari poket sendiri; bagi memahami teknik dan kaedah pengajaran terkini agar cara saya seiring dengan kehendak teknologi pendidikan semasa dan pelajar-pelajar tidak merasa bosan di dalam kelas saya. Saya belajar memahami generasi yang berbeza. Saya belajar menerima bahawa tidak semua perkara akan berjalan seperti yang dirancang. Dan yang paling penting, saya belajar bahawa menjadi guru memerlukan kesabaran yang sentiasa diperbaharui setiap hari.
Sudah tentu, perjalanan ini bukan sentiasa mudah. Ada hari-hari yang membuatkan saya berasa letih. Ada ketika saya mempersoalkan kemampuan diri sendiri. Ada masa saya membawa pulang kegusaran tentang pelajar yang sedang bergelut dengan pelajaran atau kehidupan mereka. Terdapat juga cabaran untuk mengimbangi tugas pengajaran, urusan pentadbiran, pembangunan profesional dan tanggungjawab peribadi.
Pernah suatu ketika saya mempunyai pelajar yang sangat rajin hadir ke kelas. Tidak pernah sekalipun pelajar ini ponteng. Tetapi penguasaan bahasa Inggerisnya tidak begitu baik. Ada pelajar yang memahami apa yang diajar dan diterangkan di dalam kelas walaupun agak sukar untuk bertutur dalam bahasa Inggeris. Namun, pelajar yang seorang ini, boleh menggunakan bahasa Inggeris pun tidak, memahaminya pun sukar. Aduhai, risau saya memikirkan dia. Yang bagusnya, dia rajin bertanya setiap kali kelas berakhir. Alhamdulillah, dia lulus dan dia sangat berterima kasih dengan gred yang diberikan.
Pernah juga ada seorang pelajar yang agak sukar untuk memberikan kerjasama dalam tugasan berkumpulan. Rajin juga hadir ke kelas tetapi tidak hadir ke perbincangan kumpulan. Rakan-rakan sekumpulan meminta untuk menggugurkan namanya. Bila ditanya mengapa tidak hadir setiap kali ahli kumpulan berbincang, rupanya dia bekerja separuh masa dek kerana keluarganya susah. Dia perlu bekerja untuk menampung pelajarannya. Perbincangan kumpulan pula diadakan pada masa dia bekerja iaitu di waktu malam dan di hari minggu. Dan apabila rakan sekumpulan mendesak itu ini, dia rasa tertekan. Rasa ingin berhenti terus dari pengajian! Saya pula yang pening selepas itu.
Dalam menghadapi cabaran-cabaran tersebut, saya sering mengingatkan diri saya bahawa tidak semua perkara berada dalam kawalan saya. Saya boleh merancang pengajaran yang terbaik, menyediakan bahan yang paling lengkap dan memberikan usaha yang maksimum, tetapi hasil akhirnya tetap berada dalam pengetahuan Allah SWT. Kesedaran itu menjadikan saya lebih tenang. Saya belajar bahawa tugas saya adalah berusaha dengan ikhlas, manakala selebihnya saya serahkan kepada-Nya.
Namun, di sebalik semua cabaran itu, ada juga detik-detik yang tidak ternilai.
Sebagai seorang guru, saya juga percaya bahawa setiap kebaikan yang dilakukan, walaupun kecil dan tidak disedari orang lain, mempunyai nilainya di sisi Allah SWT. Kadangkala, kita tidak mengetahui kesan kata-kata atau tindakan kita terhadap pelajar. Mungkin satu nasihat yang diberikan secara santai menjadi sumber semangat kepada seseorang. Mungkin satu peluang yang diberikan membantu seorang pelajar mengubah perjalanan hidupnya. Fikiran seperti inilah yang sering menguatkan saya untuk terus melangkah walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.
Saya masih ingat saat seorang rakan bercerita kepada saya tentang pelajar di dalam kelasnya. Menurutnya, pelajar tersebut sangat berkeyakinan tinggi apabila membuat pembentangan di hadapan kelas. Dan apabila ditanya bagaimana dia boleh begitu berkeyakinan, jawapannya membuatkan saya tersenyum. Katanya, bagi dua semester sebelum itu, guru bahasa Inggerisnya adalah saya. Boleh dikatakan dia sering dipanggil ke hadapan kelas untuk membuat pembentangan atau memberikan ucapan secara spontan kerana dia agak lemah dalam bahasa Inggeris dan dia kurang yakin apabila perlu membuat pembentangan di hadapan orang ramai. Lama-kelamaan dia menjadi lebih yakin untuk ke hadapan walaupun bahasa Inggerisnya masih biasa-biasa (menurutnya). Dan sehingga hari ini, saya masih lagi ingat wajah pelajar tersebut.
Ada juga pelajar yang di akhir semester datang berjumpa saya dan menyatakan, “Teacher, you are the best English teacher I have ever had!” Walaupun ucapan tersebut mungkin diungkap kepada semua guru dan pensyarah yang pernah mengajarnya, saya merasa sangat gembira. Mungkin, ada sesuatu yang telah saya lakukan sepanjang semester itu yang menyebabkan dia merasakan sayalah guru bahasa Inggeris terbaik untuknya. Dan paling menggembirakan apabila saya melihat dia tersenyum di dalam kelas saya pada semester berikutnya dan dia menyatakan, “I’m so happy that I managed to register for your class this semester!”
Saya masih menyimpan mesej daripada bekas pelajar yang berkongsi berita kejayaan mereka. Ada yang berjaya memperoleh pekerjaan yang diimpikan. Ada yang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Ada yang saban tahun tidak pernah lupa untuk mengucapkan Selamat Hari Raya dan Selamat Hari Guru. Setiap mesej yang saya terima membuatkan saya gembira dan sebak dalam masa yang sama kerana walau setelah sekian lama, saya masih berada dalam ingatan mereka.
Dalam saat-saat seperti itu, saya sedar bahawa tugas seorang guru tidak selalu dapat dilihat hasilnya dengan segera. Kadangkala benih yang ditanam hari ini hanya akan tumbuh berbuah bertahun-tahun kemudian.
Apabila usia dan pengalaman semakin bertambah, pandangan saya terhadap profesion ini juga berubah. Jika dahulu saya berusaha untuk menjadi guru yang menyampaikan ilmu dengan baik, hari ini saya berharap untuk menjadi guru yang memberi makna kepada pengalaman pembelajaran pelajar. Saya mahu mereka bukan sahaja mengingati apa yang dipelajari, tetapi juga bagaimana mereka belajar, bagaimana mereka berkembang, dan bagaimana mereka menemukan keyakinan diri sepanjang proses tersebut.
Melihat ke hadapan, saya percaya peranan guru akan terus berubah. Teknologi mungkin menjadi semakin canggih. Maklumat mungkin semakin mudah diperoleh. Namun, saya yakin bahawa nilai seorang guru tidak akan pernah dapat digantikan sepenuhnya.
Teknologi boleh memberikan jawapan, tetapi guru membantu pelajar memahami persoalan.
Teknologi boleh menyampaikan maklumat, tetapi guru membantu pelajar membina kebijaksanaan.
Teknologi boleh menghasilkan kandungan, tetapi guru membantu membentuk insan.
Harapan saya untuk masa depan adalah sederhana. Saya ingin terus menjadi seorang guru yang sentiasa belajar. Saya ingin terus menyesuaikan diri dengan perubahan zaman tanpa kehilangan nilai-nilai yang menjadikan pendidikan sesuatu yang bermakna. Saya ingin terus melihat pelajar berkembang menjadi individu yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berakhlak, berfikiran kritis dan mampu menyumbang kepada masyarakat.
Apabila saya memikirkan tentang masa depan, saya tidak lagi mengejar kesempurnaan sebagai seorang guru. Sebaliknya, saya berharap dapat terus menjadi insan yang sentiasa memperbaiki diri. Saya berharap Allah SWT mengurniakan kesihatan, kekuatan dan keikhlasan untuk terus berkhidmat selagi diperlukan. Saya juga berharap setiap ilmu yang pernah saya kongsikan menjadi manfaat yang berpanjangan, bukan sahaja kepada pelajar-pelajar yang pernah saya temui, tetapi juga kepada masyarakat yang akan mereka sentuh pada masa hadapan.
Dan apabila tiba masanya nanti untuk saya meninggalkan bilik kuliah, saya berharap saya dapat melakukannya dengan hati yang tenang, mengetahui bahawa sepanjang perjalanan ini, saya telah memberikan yang terbaik kepada profesion yang saya cintai ini.
Kerana bagi saya, menjadi guru bukan sekadar pekerjaan. Menjadi guru adalah satu perjalanan kehidupan yang tidak pernah benar-benar berakhir.

Oleh: NOR SUHARDILIANA SAHAR
E-mel: liana@umpsa.edu.my
Penulis ialah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 32 views