Minda Perkasa, Kekal Relevan: Keterlihatan dan Keterampilan Bakat Pemangkin Kecemerlangan Pentadbir Universiti
Dalam era globalisasi dan digitalisasi yang pesat, institusi pendidikan tinggi di seluruh dunia berdepan dengan pelbagai cabaran yang semakin kompleks dan dinamik. Pentadbiran universiti masa kini tidak hanya dituntut untuk menguruskan hal ehwal akademik dan penyelidikan serta sumber manusia, tetapi juga perlu memastikan daya saing berterusan di peringkat nasional dan global.
Kejayaan dalam hal ini menuntut keupayaan adaptif yang tinggi, kepimpinan berteraskan transformasi serta strategi yang berpaksikan kelestarian dan daya tahan. Salah satu penentu utama kejayaan tersebut ialah keterlihatan dan keterampilan bakat dalam kalangan pentadbir universiti, yang mampu menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pentadbiran sejajar dengan misi melahirkan warga memiliki minda perkasa dan terus kekal relevan.
Menyelusuri kepada Amanat Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) 2025 yang mengangkat tema ‘Minda Perkasa, Kekal Relevan’, penekanan diberi bahawa kekuatan minda, penguasaan ilmu dan pemantapan kepakaran merupakan teras utama dalam memastikan UMPSA terus unggul di persada global. Hal ini selari dengan keperluan semasa yang menuntut barisan pentadbir universiti untuk bukan sahaja cekap dalam tugas, tetapi turut memiliki ketahanan dan keupayaan adaptasi dalam lanskap pendidikan tinggi yang sentiasa berubah dan mencabar.
Minda Perkasa dalam Era Ketidaktentuan
Landskap pendidikan tinggi masa kini beroperasi dalam persekitaran VUCA (Volatility, Uncertainty, Complexity, Ambiguity), menjadikan norma pengurusan universiti lebih mencabar. Malahan konsep VUCA kini telah berevolusi kepada kerangka BANI (Brittle, Anxious, Nonlinear, Incomprehensible) yang lebih menggambarkan ketidaktentuan realiti masa kini. BANI mencerminkan dunia yang rapuh dengan sistem yang mudah runtuh (brittle), dipenuhi kebimbangan (anxious), tidak linear dalam kesan dan akibat (nonlinear), serta sukar difahami secara keseluruhan (incomprehensible). Dalam konteks ini, Revolusi Industri 5.0 dan arus digitalisasi telah mengubah paradigma pengurusan institusi. Perubahan pesat dalam teknologi, perubahan sosial, serta peningkatan jangkaan daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti pelajar, ibu bapa, industri, komuniti dan kerajaan telah menjadikan peranan pentadbir universiti semakin mencabar dan strategik.
Pentadbir bukan sekadar mengurus operasi rutin, malah dituntut untuk bijak mentafsir situasi, menjangka risiko, bertindak secara proaktif dan membuat keputusan kritikal dalam ketidaktentuan. Dalam kerangka ini, pembentukan ‘minda perkasa’ harus bertunjangkan dua dimensi utama: keterlihatan (visibility) sebagai kehadiran strategik dan keterampilan bakat (capability) sebagai kecekapan yang memberi impak.
Keterlihatan merujuk kepada sejauh mana seseorang pentadbir dikenali, dihormati dan diiktiraf dalam bidang tugasnya, baik dalam kalangan warga universiti mahupun komuniti luar. Ia tidak hanya bersifat populariti, bahkan meliputi pengaruh, ketelusan komunikasi, perluasan jaringan kerjasama dan pemantapan kredibiliti institusi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Dalam membentuk ‘minda perkasa’, keterlihatan yang positif memberi laluan kepada sumbangan bermakna dalam transformasi pendidikan, memperkukuh persepsi kepimpinan, meningkatkan keyakinan warga kampus dan meneguhkan reputasi universiti.
Keterampilan bakat pula merangkumi gabungan kecekapan teknikal, pengetahuan luas, kecerdasan emosi dan pelbagai kemahiran abad ke-21 yang diperlukan oleh pentadbir universiti. Keterampilan ini haruslah menyeluruh iaitu merangkumi aspek kepimpinan strategik, pengurusan sumber, kompetensi digital dan komunikasi berkesan. Kesemua ini perlu digarap melalui latihan berterusan dan pembangunan berasaskan keperluan semasa. Pentadbir masa kini harus mampu menterjemahkan dasar kepada amalan bernilai tambah, cekap beradaptasi dalam ekosistem digital serta bijak membina jaringan strategik merentas organisasi.
Sinergi Keterlihatan dan Keterampilan Bakat
Di UMPSA, pembangunan minda perkasa dalam kalangan pentadbir disepadukan dengan kerangka strategik SPIROS (Skills, Perfection, Impact, Resilience, Optimise, Sustainability) yang digariskan oleh Naib Canselor. Enam komponen ini memperkukuh keterlihatan dan keterampilan sebagai asas pembentukan pentadbir unggul.
Pentadbir yang mempunyai keterlihatan strategik memimpin dengan visi menyeluruh dan mampu meramalkan cabaran masa hadapan serta merancang tindakan berimpak tinggi. Ini terserlah melalui profesionalisme, keberanian mencuba pendekatan baharu serta inovatif sejajar tuntutan Revolusi Industri 5.0. Maka, keterlihatan dan keterampilan tidak seharusnya menjadi retorik semata-mata, tetapi wajib diterjemah dalam bentuk pencapaian yang dapat diukur. Ia perlu diimbangi dengan semangat kolaboratif antara jabatan demi memperkukuh ekosistem universiti.
Keterlihatan dan keterampilan bakat perlu berjalan seiring. Keterlihatan tanpa kecekapan yang tulen boleh menjejaskan kredibiliti, manakala keterampilan tanpa keterlihatan berpotensi menyebabkan sumbangan tidak diiktiraf. Pentadbir yang diyakini dan dihormati biasanya menggabungkan kedua-dua kekuatan ini. Namun, keterlihatan yang melampau tanpa imbangan kerja dan sokongan psikososial boleh mengundang keletihan melampau dan gejala “burnout”. Oleh itu, keseimbangan antara kejelasan peranan, sokongan organisasi dan kesejahteraan diri amat penting.
Kedua-dua elemen ini perlu disinergikan agar pentadbir mampu menjadi agen perubahan. Keterlihatan memberi ruang kepada suara dan idea mereka untuk diketengahkan, manakala keterampilan memastikan keberkesanan dalam perlaksanaan. Kedua-duanya juga perlu disokong oleh sistem pengiktirafan dalaman yang kukuh, melalui laporan tahunan, sesi libat urus, penglibatan pasukan kerja dan pelantikan dalam jawatankuasa penting.
Di Malaysia, terdapat contoh pentadbir universiti yang menyerlah dari aspek keterlihatan dan keterampilan secara seiring. Mereka lantang bersuara di platform nasional, memperjuang isu pendidikan tinggi, mengutamakan pengurusan data dan kecekapan digital serta memimpin inovasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan akademik dan pelajar. Ketika era pandemik misalnya, pendekatan lestari yang diambil berjaya meningkatkan kepuasan pelajar dan memperkukuh nama institusi. Usaha seperti ini sentiasa mendapat pengiktirafan melalui Konvensyen dan Hari Pentadbir yang dianjurkan oleh Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) secara dwi tahunan serta anugerah tahunan peringkat universiti.
Intervensi dan Pembangunan Bakat untuk Kekal Relevan
Minda perkasa perlu dipacu oleh nilai murni seperti integriti, amanah dan akauntabiliti. Justeru, pembangunan bakat dalam kalangan pentadbir perlu distrukturkan melalui pemetaan kompetensi, laluan kerjaya yang jelas serta sistem pengiktirafan berasaskan prestasi. Pentadbir berkemahiran tinggi dapat meningkatkan kualiti pengalaman pelajar secara holistik melalui transformasi fasiliti, sistem digital dan sokongan akademik yang cekap. Keterlibatan dalam jaringan profesional adalah penting untuk meningkatkan keterlihatan dan keterampilan. Penyertaan dalam persidangan, penulisan akademik dan kepimpinan projek impak tinggi mampu memperluaskan pengaruh dan memperkukuh kredibiliti pentadbir.
Selaras amanat Naib Canselor UMPSA 2025, antara agenda transformasi yang diangkat ialah memperkasa dan memajukan potensi individu. Kerja silang jabatan dan pendedahan pelbagai fungsi diyakini mampu melahirkan pemimpin yang holistik dan memahami ekosistem universiti secara menyeluruh. Justeru, keterlihatan dan keterampilan harus dianggap sebagai satu keperluan strategik, bukan sekadar kemewahan kompetensi.
Pentadbir juga perlu didedahkan kepada latihan sangkutan dengan industri atau agensi luar bagi menyesuaikan diri dengan dinamika semasa. Pelan pembangunan individu yang menyeluruh dan berfokus mesti dirangka dengan teknologi digital dimanfaatkan untuk membina kredibiliti serta keberkesanan organisasi. UMPSA perlu menyediakan ekosistem kerja yang menyokong keseimbangan antara prestasi dan kesejahteraan warga pentadbiran agar bakat berkembang secara mampan.
Program seperti ‘Executive Development for University Leaders’ dan latihan kemahiran digital harus dijadikan agenda institusi. Pelaburan dalam sistem pemantauan masa nyata seperti dashboard pentadbiran boleh mempercepat intervensi dan meningkatkan keberkesanan tadbir urus. Keterampilan pentadbir wajar dilihat sebagai pelaburan strategik jangka panjang bukan hanya dalam aspek perkhidmatan tetapi sebagai penggerak agenda universiti masa depan.
Penglibatan dalam program pembangunan kepimpinan di bawah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) termasuk program antarabangsa seperti APAIE dan NAFSA, serta pembentukan pusat pembangunan profesional pentadbir akan menyediakan ruang bagi penilaian, latihan, pementoran dan jaringan profesional berimpak tinggi secara rentas universiti dan sektor.
Kesimpulan
Dalam menghadapi cabaran ekosistem pendidikan tinggi yang kian mencabar, keterlihatan dan keterampilan bukan lagi satu pilihan, tetapi suatu kemestian. Pentadbir universiti masa kini perlu dilengkapi bukan sahaja dengan kompetensi fungsian, malah keupayaan untuk dikenali sebagai pemimpin berpengaruh yang membawa perubahan.
Minda yang diperkasa melalui latihan, jaringan strategik dan komunikasi efektif, serta keterlihatan yang berpaksikan keterampilan hakiki akan mewujudkan barisan pentadbir yang kekal relevan dan menyumbang signifikan kepada institusi. Sejajar dengan visi untuk menjadi Universiti Teknologi Terunggul, UMPSA mesti menjadikan pembudayaan minda perkasa sebagai teras pembangunan institusi.
Keterlihatan strategik dan keterampilan berimpak tinggi bukan sahaja mencerminkan keupayaan individu, bahkan menjadi petunjuk kematangan institusi dalam menangani cabaran masa hadapan. Keseimbangan antara dua dimensi ini adalah kunci kejayaan jangka panjang dalam pentadbiran universiti. Melalui strategi yang berfokus dan pelaburan dalam pembangunan sumber manusia, pentadbir universiti mampu meningkatkan keterlihatan mereka serta memperkukuhkan keterampilan bakat.
Natijahnya, institusi akan meraih kecemerlangan holistik. Dengan imbangan tepat antara keterlihatan dan keterampilan, pentadbir universiti dapat melonjakkan nama institusi ke tahap lebih tinggi, sejajar amanat kepimpinan universiti. UMPSA mampu muncul bukan sahaja sebagai institusi cemerlang dari sudut akademik, bahkan unggul dalam nilai, ketahanan dan daya saing yang memacu transformasi yang mampan.
Penulis adalah Pengurus di Akademik A.D.A.B., Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel : hilmy@umpsa.edu.my
- 302 views