Pematuhan Akta 605: Tanggungjawab Bersama Memelihara Integriti dan Tatakelakuan Warga Universiti
Integriti merupakan asas penting dalam membentuk perkhidmatan awam yang beretika dan bertanggungjawab. Setiap pegawai bukan sahaja dituntut melaksanakan tugas dengan cemerlang, malah perlu mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan, antaranya Akta 605.
Akta 605 ialah Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000, iaitu:
i. Akta yang memperuntukkan perkara-perkara yang berkiatan dengan tatatertib dan surcaj yang boleh dikenakan ke atas pegawai badan berkanun;
ii. Mengandungi senarai tatakelakuan yang perlu dipatuhi oleh setiap pegawai yang berkhidmat di sesebuah badan berkanun; dan
iii. Pelanggaran mana-mana tatakelakuan oleh seseorang pegawai badan berkanun boleh menyebabkannya dipertimbangkan untuk tindakan tatatertib.
Pematuhan terhadap Akta 605 adalah tanggungjawab setiap pegawai yang perlu memahami kewajipan tatakelakuan masing-masing, manakala Ketua Jabatan bertanggungjawab membantu memastikan pematuhan diterapkan dalam amalan kerja harian.
Memahami Kewajipan Tatakelakuan di Bawah Akta 605
Peraturan 3(1) menetapkan kewajipan pegawai memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong, negara, kerajaan dan badan berkanun. Sementara itu, Peraturan 3(2) menetapkan larangan terhadap pelbagai bentuk tingkah laku, antaranya termasuk membelakangkan kewajipan rasmi demi kepentingan peribadi, berkelakuan tidak jujur atau tidak amanah, ingkar perintah dan cuai dalam pelaksanaan tugas.
Ketetapan lain secara terperinci turut dinyatakan dalam Kod Etika, Tatakelakuan dan Percanggahan Kepentingan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang merupakan satu panduan kepada semua warga UMPSA dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab seharian antaranya:
1. Tatacara Berpakaian di Tempat Kerja
2. Kehadiran Bertugas
3. Kerahsiaan Perkara Terperingkat
4. Pemilikan dan Perisytiharan Harta
5. Keterhutangan Kewangan Yang Serius
6. Pekerjaan Luar
7. Kegiatan Politik
8. Pernyataan Awam
9. Penerimaan dan Pemberian Hadiah
10. Penerimaan dan Pemberian Keraian
11. Konflik Kepentingan
12. Gangguan Seksual
13. Penyalahgunaan Dadah
14. Kegiatan Jenayah
15. Pengaruh Luar
16. Perlakuan Rasuah
(Rujukan : https://edasar.umpsa.edu.my/canseleri/unit-integriti-pematuhan/polisi-g…)

Peruntukan ini memperlihatkan bahawa integriti bukan hanya berkaitan dengan kesalahan rasuah atau penyelewengan. Ia turut merangkumi tanggungjawab melaksanakan tugas dengan cekap, menjaga amanah, mematuhi arahan yang sah serta mengelakkan tindakan yang boleh menjejaskan kepentingan dan nama baik organisasi.
Oleh itu, setiap warga universiti perlu memahami bahawa tindakan atau peninggalan dalam urusan rasmi boleh menimbulkan implikasi tatatertib sekiranya memenuhi unsur pelanggaran peraturan yang berkenaan.
Pematuhan bermula daripada tanggungjawab individu
Pematuhan yang berkesan bermula apabila setiap pegawai memahami bahawa jawatan dan kuasa yang diberikan membawa amanah yang perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Dalam urusan seharian, pegawai hendaklah memastikan tugas dilaksanakan mengikut prosedur, arahan yang sah dipatuhi dan maklumat organisasi dikendalikan secara bertanggungjawab.
Pegawai juga perlu mengelakkan konflik kepentingan, sebagai contoh, pegawai yang mempunyai kepentingan peribadi dalam sesuatu urusan rasmi perlu mengisytiharkan konflik kepentingan dan mengambil langkah sewajarnya mengikut prosedur yang berkuat kuasa.
Tindakan pencegahan seperti ini penting untuk mengelakkan pelanggaran tatakelakuan dan melindungi pegawai serta universiti daripada risiko yang boleh dielakkan.

Peranan Ketua Jabatan dalam Memastikan Pematuhan
Ketua Jabatan memainkan peranan penting dalam memastikan pematuhan terhadap peraturan bukan sekadar dinyatakan dalam dokumen, tetapi benar-benar diamalkan oleh warga kerja selaras dengan Peraturan 21, Akta 605.
Antara tanggungjawab yang perlu diberikan perhatian ialah:
Pertama, memberikan kefahaman. Ketua jabatan perlu memastikan pegawai memahami peraturan, prosedur kerja dan kewajipan tatakelakuan yang berkaitan dengan tugas mereka.
Kedua, menunjukkan teladan. Ketua jabatan hendaklah mempamerkan integriti melalui keputusan yang adil, pengurusan yang telus dan tindakan yang konsisten dengan peraturan.
Ketiga, melaksanakan pemantauan. Proses kerja, rekod dan kawalan dalaman perlu dipantau bagi mengenal pasti kelemahan atau risiko ketidakpatuhan.
Kepimpinan yang konsisten dan adil dapat membentuk persekitaran kerja yang mengutamakan akauntabiliti serta menggalakkan warga organisasi mematuhi peraturan secara sukarela.
Pematuhan Bukan Sekadar Mengelakkan Hukuman
Matlamat pematuhan tidak seharusnya terhad kepada usaha mengelakkan tindakan tatatertib. Sebaliknya, pematuhan perlu dilihat sebagai komitmen profesional untuk menjaga kepentingan organisasi, menggunakan sumber secara bertanggungjawab dan memastikan perkhidmatan disampaikan dengan beretika.
Pada masa yang sama, sebarang dakwaan pelanggaran hendaklah dinilai secara objektif. Tidak semua kesilapan secara automatik menjadi kesalahan tatatertib; penilaian perlu mengambil kira fakta, bukti, peraturan yang berkaitan dan proses yang sewajarnya.
Pendekatan yang seimbang antara pencegahan, bimbingan, pemantauan dan tindakan yang sewajarnya akan membantu membina organisasi yang lebih berintegriti dan dipercayai.
Kesimpulannya, pematuhan terhadap Akta 605 merupakan sebahagian daripada usaha memelihara integriti, akauntabiliti dan profesionalisme dalam universiti. Setiap warga universiti perlu memahami bahawa integriti bukan hanya diukur melalui pencapaian kerja, tetapi juga melalui cara tugas dilaksanakan, keputusan dibuat dan amanah dipelihara. Mematuhi Akta 605 ialah tanggungjawab bersama. Membudayakan integriti pula memerlukan komitmen berterusan daripada setiap individu dan seluruh organisasi.

Oleh: Nurul Syahida Suhaimin
E-mel: syahidasuhaimin@umpsa.edu.my
Ketua
Unit Integriti dan Pematuhan
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 9 views
Reports by: