Pengalaman kampus bentuk citra dan jati diri mahasiswa holistik
Pengalaman seseorang individu di institusi pengajian tinggi (IPT) bukan sekadar tertumpu kepada pencapaian akademik atau memperoleh segulung ijazah, sebaliknya ia merupakan satu proses pembentukan jati diri yang menyeluruh bertujuan melahirkan graduan yang seimbang, berkeperibadian unggul dan mampu berperanan secara efektif dalam masyarakat. Universiti harus memainkan peranan sebagai fasilitator utama dalam membentuk ekosistem pembelajaran yang holistik, dinamik dan berterusan.
Pendekatan ini merangkumi penyediaan program pembangunan pelajar yang terancang, inklusif dan bersifat rentas disiplin. Aspek ini tidak tidak hanya menumpukan kepada pencapaian akademik, tetapi juga kepada pembangunan sahsiah, kepimpinan, dan etika profesional. Sepanjang tempoh pengajian, pelbagai pengalaman di dalam dan di luar bilik kuliah akan membentuk citra dan jati diri mahasiswa, sekali gus menjadi asas kepada kredibiliti mereka selepas menamatkan pengajian.
Peranan Universiti dalam Pembentukan Jati Diri Mahasiswa
Universiti berperanan memperkasa pembangunan intelektual dan sahsiah mahasiswa. Dalam konteks ini, universiti perlu menyediakan ruang pembelajaran yang inklusif dan kondusif bagi membolehkan mahasiswa dapat berkembang seimbang dalam pelbagai dimensi kehidupan.
Pembentukan jati diri mahasiswa tidak hanya terhad kepada pembelajaran formal, malah diperkukuh melalui pengalaman luar bilik kuliah yang memupuk nilai kepimpinan, etika profesional, dan kemahiran insaniah. Pendekatan universiti sebagai fasilitator perubahan ini menzahirkan komitmen berterusan untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berdaya saing dan berwibawa dalam masyarakat.
Penyediaan ruang dialog intelektual serta pemantapan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan mahasiswa turut memperkukuh kedudukan universiti sebagai institusi yang membentuk watak, karakter, dan jati diri mahasiswa yang relevan dengan tuntutan semasa serta berupaya menyumbang secara bermakna dalam masyarakat berpengetahuan tinggi. Pendekatan ini adalah sejajar dengan pandangan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang menekankan bahawa graduan yang memiliki keupayaan pelbagai tugas, kebolehan memikul tanggungjawab, serta kemahiran insaniah yang mantap lebih mendapat keutamaan dalam pasaran kerja.
Justeru, adalah jelas bahawa pembangunan kemahiran insaniah kini menjadi keutamaan, mengatasi pencapaian akademik semata-mata. Ini membuktikan bahawa pengalaman pembelajaran luar bilik kuliah memberikan impak yang signifikan dalam melahirkan graduan holistik dan kompetitif yang menepati kehendak pasaran kerja dinamik.
Penglibatan dalam Aktiviti Kokurikulum: Meningkatkan Kepimpinan dan Kemahiran Insaniah
Salah satu aspek yang memberi impak signifikan terhadap pembangunan mahasiswa adalah penglibatan di dalam aktiviti kokurikulum. Aktiviti seperti kelab, persatuan, badan beruniform, dan sukan bukan sahaja mengisi masa lapang, tetapi lebih daripada itu. Ia adalah medan yang melatih mahasiswa dalam aspek kepimpinan, kerjasama berpasukan, dan ketahanan mental.
Melalui pengalaman ini, mahasiswa dapat meningkatkan kemahiran komunikasi, pengurusan konflik, dan pengurusan organisasi yang diperlukan dalam dunia profesional. Mahasiswa yang memegang jawatan kepimpinan di dalam organisasi pelajar, misalnya, menunjukkan peningkatan ketara dalam kemahiran berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelbagai pihak. Aktiviti-aktiviti ini turut memperkukuh kredibiliti mahasiswa dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.
Menurut laporan MEF (2023), sebanyak 89 peratus majikan mengutamakan graduan yang aktif dalam kokurikulum, manakala laporan KPT (2022) mencatatkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan aktif mencapai 95 peratus, berbanding 84 peratus bagi yang kurang terlibat. Laporan QS Graduate Employability (2022) turut mengesahkan bahawa pengalaman kepimpinan pelajar memperkukuh daya tahan, komunikasi, dan kecekapan organisasi graduan.
Program Kepimpinan dan Pembangunan Sahsiah: Menjana Pemimpin Masa Hadapan
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh pembangunan kepimpinan mahasiswa. Program seperti Program Permukiman Siswa dan Latihan Kepimpinan Muda Kebangsaan (KARISMA) menekankan elemen kenegaraan, idealisme, dan kemahiran kepimpinan. Inisiatif-inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kompetensi pelajar dalam membuat keputusan yang rasional dan berpandukan fakta, serta memupuk rasa tanggungjawab sosial yang tinggi sebagai warganegara yang prihatin dan berwawasan.
Pendekatan ini adalah sejajar dengan keperluan majikan yang lebih mengutamakan graduan yang berkemahiran insaniah berbanding hanya pencapaian akademik semata-mata. Hal ini juga menunjukkan bahawa pemerkasaan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa adalah langkah penting dalam memastikan kebolehpasaran mereka selepas tamat pengajian.
Pengalaman Global: Meluaskan Horizon dan Meningkatkan Daya Saing Antarabangsa
Program mobiliti antarabangsa seperti ASEAN International Mobility for Students (AIMS) dan Erasmus+ memberi peluang kepada mahasiswa untuk belajar di luar negara. Pengalaman ini bukan sahaja memperkasa kemahiran komunikasi antarabangsa, tetapi juga memperdalam kefahaman silang budaya. Mahasiswa yang terlibat dalam program sebegini menunjukkan peningkatan dalam kemahiran beradaptasi, kepimpinan antarabangsa, dan nilai integrasi budaya yang menjadikan mereka lebih bersedia menghadapi persaingan global.
Pendedahan terhadap pengalaman global ini juga membantu mahasiswa untuk melihat dunia dengan perspektif yang lebih luas, mengembangkan pemikiran kritis dan analitikal, serta meningkatkan keyakinan diri dalam menghadapi dunia pekerjaan yang pelbagai dan penuh cabaran.
Latihan Industri: Penyediaan Mahasiswa untuk Dunia Pekerjaan
Latihan industri berfungsi sebagai jambatan penting antara dunia akademik dan dunia pekerjaan. Laporan TalentCorp-CIMA (2023) menunjukkan bahawa latihan industri yang relevan dan berkualiti meningkatkan kebolehpasaran graduan secara signifikan. Walaupun lebih 70 peratus pendidik percaya bahawa graduan mereka bersedia memasuki pasaran kerja, hanya 42 peratus majikan yang berkongsi pandangan tersebut. Ini menandakan keperluan mendesak untuk memperkukuh komponen praktikal dalam pendidikan tinggi.
Program seperti CEO@Faculty yang melibatkan kerjasama antara pelajar dan pemimpin industri telah memperlihatkan kejayaan dengan mencatatkan peningkatan kebolehpasaran graduan sebanyak 40 peratus. Ini menunjukkan bahawa pendedahan yang lebih mendalam dalam dunia industri adalah kunci dalam memastikan mahasiswa benar-benar bersedia menghadapi dunia pekerjaan yang semakin mencabar.
Interaksi Sosial dan Kepelbagaian Budaya Kampus
Aspek penting lain dalam pembentukan jati diri mahasiswa adalah interaksi sosial dengan rakan sebaya yang datang daripada pelbagai latar belakang budaya, etnik, dan sosial. Interaksi ini mencipta ruang untuk memperkasa empati, toleransi, dan kefahaman silang budaya. Melalui penglibatan dalam program integrasi budaya, aktiviti khidmat masyarakat, dan kepimpinan komuniti, mahasiswa dapat membentuk diri mereka sebagai warganegara global yang lebih peka terhadap persekitaran sosial.
Aktiviti seperti Bakti Siswa MADANI dan Kembara Mahasiswa yang dilaksanakan oleh pelbagai IPT telah membuktikan keberkesanannya dalam melatih mahasiswa untuk menjadi pemimpin berintegriti yang mampu memberi sumbangan positif kepada masyarakat. Pengalaman ini juga memperkukuh jati diri mahasiswa dalam persekitaran sosial yang sebenar.
Peneguhan Nilai dan Identiti Mahasiswa
Model pembangunan mahasiswa yang diterapkan di IPT hari ini perlu berkembang dengan mendalam melalui pendekatan pedagogi yang lebih transformasi, mengintegrasikan nilai-nilai murni dan keterlibatan aktif dalam setiap aspek kehidupan mahasiswa. Dalam konteks ini, pembelajaran sepanjang hayat perlu dijadikan prinsip utama dalam pengurusan pembangunan pelajar untuk memastikan mereka bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga dalam aspek sahsiah, kepimpinan dan tanggungjawab sosial.
Pembangunan holistik ini mencakupi bukan sahaja kecemerlangan akademik, tetapi juga pembangunan sahsiah yang melibatkan aspek mental, emosi, sosial, dan spiritual. Keseimbangan antara dimensi-dimensi ini adalah kunci untuk memastikan mahasiswa tidak hanya menjadi cendekiawan, tetapi juga individu yang bijaksana dalam membuat keputusan, berintegriti dalam tindakan, dan bertanggungjawab terhadap persekitaran mereka. Pendekatan strategik yang menyeluruh dan berpandangan jauh perlu diberi keutamaan dalam memastikan pengalaman kampus dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan mahasiswa yang holistik dan unggul.
Salah satu aspek utama dalam pembangunan holistik adalah peningkatan sinergi antara aspek akademik dan bukan akademik. Pengalaman pembelajaran yang bersifat interdisiplin dapat dicapai melalui pengintegrasian kurikulum dan kokurikulum dalam satu kerangka pembangunan pelajar yang menyeluruh. Ini bukan sahaja menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna, tetapi juga memperkukuh keupayaan mahasiswa dalam mengaitkan ilmu yang dipelajari dengan kehidupan sebenar secara holistik. Pendekatan ini membolehkan mahasiswa untuk memahami konsep teori dan aplikasinya dalam konteks sosial, budaya, dan profesional mereka.
Selain itu, ekosistem sokongan pelajar perlu diperkasa untuk memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terpelihara. Khidmat nasihat akademik, kaunseling kerjaya, sokongan kesihatan mental, dan jaringan alumni sebagai sumber bimbingan dan inspirasi perlu diberikan perhatian serius. Sistem sokongan yang kukuh ini akan membantu mahasiswa untuk lebih berdaya tahan, seimbang secara emosi, dan mampu merancang masa depan mereka dengan lebih yakin. Universiti juga harus mengambil langkah proaktif dalam menyediakan platform sokongan yang inklusif dan mudah diakses oleh semua mahasiswa.
Untuk membina keterbukaan minda dan daya saing global, universiti perlu terus memperkukuh inisiatif pengantarabangsaan. Peluang untuk mengikuti program mobiliti pelajar, terlibat dalam penyelidikan rentas negara, dan menyertai projek lintas budaya harus diperluaskan. Pendedahan kepada pengalaman global ini bukan sahaja memperkasa kemahiran komunikasi antarabangsa, tetapi juga memupuk semangat toleransi dan kefahaman antara budaya. Mahasiswa yang terlibat dalam pengalaman sebegini akan lebih bersedia untuk menghadapi kepelbagaian global serta menambahbaik kepimpinan mereka dalam konteks antarabangsa.
Dalam menghadapi cabaran masa hadapan, nilai-nilai kepimpinan beretika dan kenegaraan perlu menjadi asas dalam pembentukan jati diri mahasiswa. Program pembangunan karakter yang berasaskan semangat patriotisme, tanggungjawab sivik, dan pemahaman terhadap prinsip kenegaraan perlu diperkasa. Dengan ini, barisan kepimpinan muda yang dihasilkan bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga mempunyai nilai moral dan sosial yang tinggi, yang sangat diperlukan dalam menghadapi cabaran negara dan global.
Akhir sekali, hubungan strategik antara universiti, industri, dan komuniti perlu digembleng dengan lebih berkesan. Pendedahan kepada latihan industri, penyelidikan berimpak tinggi, dan penglibatan dalam program kesukarelawanan akan membuka ruang bagi mahasiswa untuk membina kemahiran insaniah, kecekapan profesional, dan keprihatinan sosial. Kolaborasi ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman kampus, tetapi juga memperkukuh fungsi universiti sebagai pemangkin pembangunan lestari masyarakat.
Usaha kolektif dan bersepadu antara semua pihak iaitu universiti, kerajaan, industri, dan Masyarakat perlu digerakkan untuk memastikan universiti terus relevan dalam melahirkan generasi pelapis kepimpinan negara yang berwibawa dan berintegriti.
Secara keseluruhannya, pengalaman kampus bukan hanya satu fasa dalam kehidupan mahasiswa, tetapi ia merupakan landasan penting yang membentuk citra dan jati diri mereka untuk masa depan. Proses pembentukan ini melibatkan bukan sahaja pencapaian akademik, tetapi juga pembangunan sahsiah, kepimpinan, kemahiran insaniah, dan tanggungjawab sosial yang perlu dibentuk dengan teliti dan disokong oleh dasar yang progresif.
Melalui pendekatan inklusif dan berpaksikan pembangunan pelajar secara holistik, IPT berupaya melahirkan graduan yang bukan hanya cemerlang dari segi ilmu, tetapi juga mempunyai sifat kepimpinan, integriti, dan keupayaan untuk menyumbang secara signifikan kepada masyarakat dan negara. Dalam dunia yang semakin kompleks dan penuh ketidakpastian, mahasiswa yang dibentuk melalui pengalaman kampus yang bermakna akan mampu menjadi pemimpin masa hadapan yang berwawasan, berintegriti, dan bersedia menghadapi cabaran dunia yang penuh dengan perubahan.
Pelaksanaan model yang berteraskan citra dan jati diri ini bukan sahaja selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, tetapi juga menyokong matlamat pembangunan negara yang berterusan, serta nilai-nilai murni yang terkandung dalam Rukun Negara. Ini adalah pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan yang berkualiti dan unggul untuk masa depan negara.
Penulis adalah Pengurus di Akademi A.D.A.B, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: hilmy@umpsa.edu.my
- 475 views