Peradaban majmuk aset paling berharga buat Malaysia
Apabila membicarakan tentang Malaysia, perkara pertama yang sering menjadi perhatian ialah kepelbagaian masyarakatnya. Negara ini dihuni oleh rakyat yang berbeza kaum, agama, bahasa dan budaya, namun masih mampu hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni.
Hakikat ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi merupakan hasil daripada perjalanan sejarah yang panjang. Sejak zaman Alam Melayu lagi, Tanah Melayu menjadi tempat pertemuan pelbagai tamadun seperti India, China dan Timur Tengah sebelum menerima pengaruh Barat dan akhirnya berdepan era globalisasi. Kesemua proses tersebut telah membentuk sebuah peradaban majmuk yang menjadi asas kepada identiti Malaysia hari ini.
Ramai yang menganggap kepelbagaian masyarakat sebagai cabaran, namun jika diurus dengan baik, ia sebenarnya merupakan kekuatan yang mampu memperkukuh pembangunan negara. Perbezaan budaya, adat resam dan cara hidup membuka ruang kepada masyarakat untuk saling memahami, menghormati serta belajar antara satu sama lain. Inilah yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan nilai toleransi dan keharmonian sosial.
Permulaan Peradaban di Tanah Melayu
Peradaban majmuk Malaysia bermula dengan peradaban Melayu yang menjadi teras utama pembentukan negara. Kedatangan pedagang dari India membawa pengaruh agama Hindu dan Buddha, manakala pedagang Arab memperkukuh penyebaran Islam. Pedagang Cina pula memperkayakan bidang perdagangan, budaya dan ekonomi. Selepas itu, kuasa penjajah seperti Portugis, Belanda dan British memperkenalkan sistem pentadbiran moden, pendidikan serta ekonomi kapitalis yang turut mengubah landskap sosial negara. Akhirnya, era globalisasi mempercepatkan lagi proses pertukaran budaya melalui teknologi maklumat, media sosial dan komunikasi tanpa sempadan.
Pepatah ada mengatakan “Yang lama dikelek, yang baharu didukung”, walaupun menerima pelbagai pengaruh luar, identiti Malaysia tidak pernah hilang. Sebaliknya, masyarakat berjaya menyesuaikan pelbagai unsur tersebut dengan nilai tempatan sehingga lahir satu acuan peradaban yang tersendiri. Kita dapat lihat dengan jelas melalui kepelbagaian makanan, seni bina, bahasa, pakaian tradisional dan sambutan pelbagai perayaan yang diraikan bersama. Fenomena ini membuktikan bahawa perbezaan tidak semestinya memecahkan masyarakat, malah mampu menjadi asas kepada perpaduan sekiranya wujud sikap saling menghormati.
Cabaran Membentuk Sebuah Bangsa
Pembinaan sebuah negara bukan sekadar memiliki wilayah, kerajaan dan rakyat. Cabaran yang lebih besar ialah membentuk sebuah bangsa yang mempunyai identiti bersama. Selepas kemerdekaan pada tahun 1957 dan pembentukan Malaysia pada tahun 1963, negara telah berjaya dibina dari sudut politik dan pentadbiran. Walau bagaimanapun, usaha membentuk satu bangsa Malaysia masih merupakan proses yang berterusan kerana masyarakat masih mengekalkan identiti etnik masing-masing. Keadaan ini bukanlah satu kelemahan, sebaliknya mencerminkan realiti sebuah negara yang mengamalkan kepelbagaian budaya sehingga dilihat unik di mata dunia.
Peranan Perlembagaan Persekutuan
Dalam konteks pembinaan sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, Perlembagaan Persekutuan memainkan peranan yang amat penting sebagai asas penyatuan rakyat dan panduan utama dalam mengurus kepelbagaian sosial, budaya serta politik negara. Perlembagaan menjadi titik temu yang mengimbangi kepentingan pelbagai kelompok masyarakat dengan menetapkan hak dan tanggungjawab setiap warganegara secara adil. Melalui peruntukan yang terkandung di dalamnya, Perlembagaan mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, institusi Raja-raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan serta Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pengiktirafan terhadap elemen-elemen ini mencerminkan sejarah pembentukan negara dan menjadi asas penting dalam memelihara kestabilan serta keharmonian masyarakat.
Pada masa yang sama, Perlembagaan Persekutuan turut menjamin hak masyarakat pelbagai kaum untuk mengamalkan agama, memelihara budaya dan menggunakan bahasa masing-masing dalam kehidupan seharian. Keseimbangan antara hak istimewa tertentu dengan perlindungan terhadap kepelbagaian masyarakat menunjukkan bahawa perpaduan negara dibina melalui prinsip keadilan, toleransi dan saling menghormati. Pendekatan ini menjadikan Perlembagaan bukan sekadar dokumen perundangan, tetapi juga satu kontrak sosial yang menyatukan rakyat Malaysia dalam kerangka identiti bersama.
Tanggungjawab Generasi Muda
Peranan generasi muda pula dilihat mempunyai tanggungjawab besar dalam meneruskan usaha membina negara bangsa Malaysia. Mereka perlu memahami sejarah pembentukan negara, menghargai kepelbagaian budaya serta menghayati nilai perpaduan dalam kehidupan seharian. Semangat cintakan negara tidak hanya dizahirkan melalui sambutan Hari Kebangsaan semata-mata, tetapi perlu melalui sikap saling menghormati, bekerjasama dan bertanggungjawab sebagai warganegara.
Tuntasnya, peradaban majmuk merupakan aset paling berharga yang dimiliki oleh Malaysia. Kepelbagaian bukanlah penghalang kepada kemajuan, sebaliknya menjadi sumber kekuatan yang membezakan negara kita dengan negara lain. Dengan berpandukan Perlembagaan, nilai perpaduan, etos nasional serta semangat saling menghormati, Malaysia berpotensi untuk terus berkembang sebagai sebuah negara yang aman, inklusif dan dihormati di persada dunia. Pembinaan negara bangsa bukanlah destinasi yang telah selesai dicapai, tetapi merupakan satu perjalanan yang memerlukan komitmen berterusan daripada setiap rakyat Malaysia.

Disediakan Oleh: Dr. Abdul Hadi Samsi
E-mel: hadisamsi@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 31 views
Reports by: