Skip to main content

‘Pintu Belakang’ atau Salah Faham? Menyingkap Realiti Kemasukan ke Universiti Awam

Isu kemasukan pelajar ke universiti awam (UA) melalui apa yang didakwa sebagai ‘pintu belakang’ kembali menjadi polemik hangat dalam ruang awam. Dakwaan bahawa sejumlah besar pelajar memasuki UA tanpa melalui saluran rasmi telah menimbulkan pelbagai reaksi, daripada kebimbangan ibu bapa sehinggalah persoalan terhadap integriti sistem pendidikan tinggi negara. 

Dalam era media sosial yang pantas menyebarkan maklumat, isu seperti ini mudah membentuk persepsi umum walaupun hakikat sebenar mungkin jauh lebih kompleks daripada yang digambarkan.

Persoalan yang wajar diteliti ialah sama ada istilah ‘pintu belakang’ benar-benar menggambarkan realiti sistem kemasukan ke UA Malaysia atau sekadar suatu tafsiran yang lahir daripada ketidakfahaman terhadap keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi negara. Perbahasan ini penting kerana ia bukan sahaja melibatkan peluang pendidikan generasi muda, malah menyentuh kredibiliti institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menjadi tunjang pembangunan modal insan negara.

Secara umumnya, masyarakat lebih mengenali sistem kemasukan ke UA melalui Unit Pusat Universiti (UPU). Saluran ini berfungsi sebagai mekanisme penyelarasan pengambilan dan pengagihan pelajar ke pelbagai program pengajian asasi, diploma dan sarjana muda berdasarkan merit, kelayakan akademik, kapasiti program dan dasar pendidikan tinggi negara.

Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa sistem pendidikan tinggi Malaysia turut menyediakan beberapa saluran kemasukan lain yang sah dan diiktiraf. Antaranya ialah saluran terbuka (open channel), saluran kemasukan pelajar antarabangsa, program eksekutif, program pembelajaran sepanjang hayat serta laluan khas yang diluluskan mengikut keperluan tertentu seperti program mobiliti pelajar dan laluan berasaskan pengalaman kerja (APEL). Semua saluran ini diwujudkan dalam kerangka dasar dan perundangan yang diluluskan kerajaan serta tertakluk kepada kawal selia senat universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

 
Hakikatnya, kewujudan pelbagai saluran kemasukan bukanlah sesuatu yang baharu atau eksklusif kepada Malaysia. Universiti di seluruh dunia mengamalkan pelbagai mekanisme pengambilan bagi memenuhi keperluan pelajar yang berbeza, termasuk pelajar antarabangsa, pelajar dewasa, pelajar yang mengikuti laluan alternatif dan mereka yang terlibat dalam pembelajaran sepanjang hayat. Pendekatan ini selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi global yang semakin menekankan akses yang lebih luas tanpa mengabaikan standard akademik.

Oleh itu, adalah tidak tepat untuk melabelkan semua kemasukan yang tidak melalui UPU sebagai ‘pintu belakang’. Hakikatnya, saluran-saluran tersebut merupakan sebahagian daripada ekosistem kemasukan yang telah lama diamalkan dalam sistem pendidikan tinggi negara dan turut digunakan oleh banyak universiti terkemuka di dunia.

Salah satu salah faham yang sering timbul ialah tanggapan bahawa pelajar yang memasuki universiti melalui saluran terbuka tidak perlu memenuhi syarat akademik yang ditetapkan. Persepsi ini tidak selaras dengan realiti sebenar. Setiap program akademik yang ditawarkan oleh UA mempunyai syarat kemasukan minimum yang perlu dipenuhi oleh semua pemohon tanpa mengira saluran kemasukan. Dalam banyak keadaan, calon masih perlu memenuhi syarat am universiti, syarat khas program, keperluan mata pelajaran tertentu serta pencapaian minimum yang ditetapkan oleh badan profesional dan badan akreditasi.

Sebagai contoh, program kejuruteraan perlu mematuhi standard yang ditetapkan oleh badan akreditasi kejuruteraan iaitu Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), manakala program profesional lain seperti perubatan, farmasi, seni bina dan perakaunan turut tertakluk kepada keperluan badan profesional masing-masing. 

Universiti tidak boleh menerima pelajar yang tidak memenuhi syarat minimum kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan status akreditasi program dan reputasi institusi.

Di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)misalnya, semua program akademik yang ditawarkan melalui mana-mana saluran kemasukan tertakluk kepada syarat kemasukan yang diluluskan oleh Senat Universiti, keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta badan profesional berkaitan. Bagi program kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan, universiti perlu memastikan pematuhan terhadap standard akreditasi yang ditetapkan oleh Engineering Technology Accreditation Council (ETAC) dan Engineering Accreditation Council (EAC). Ini bermakna tiada kompromi terhadap kualiti akademik walaupun saluran kemasukan yang digunakan adalah berbeza.

Dalam erti kata lain, saluran terbuka bukanlah jalan pintas yang membolehkan seseorang memperoleh tempat di universiti tanpa kelayakan yang sewajarnya. Ia hanya merupakan saluran kemasukan yang berbeza tetapi masih berasaskan prinsip merit, kelayakan akademik dan keupayaan pelajar untuk mengikuti pengajian dengan jayanya.
Dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin mencabar, UA berhadapan dengan pelbagai tuntutan baharu. Selain menyediakan pendidikan berkualiti kepada rakyat, universiti juga perlu memperkukuh kedudukan kewangan, meningkatkan daya saing global, memperluas akses pendidikan dan menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat.

Saluran terbuka diwujudkan bagi memenuhi sebahagian daripada keperluan tersebut. Melalui mekanisme ini, universiti dapat menawarkan peluang kepada calon yang memenuhi syarat tetapi tidak berjaya memperoleh tempat melalui proses pengagihan UPU akibat kekangan kapasiti program, peruntukan kerajaan yang sangat terhad atau faktor lain. Pada masa yang sama, hasil yang dijana melalui saluran ini boleh membantu universiti menambah baik kemudahan pembelajaran, memperkukuh penyelidikan dan meningkatkan pengalaman pendidikan pelajar secara keseluruhan.

Selain berfungsi sebagai mekanisme pengambilan pelajar, saluran terbuka turut menyokong agenda kelestarian UA. Dalam keadaan universiti berhadapan dengan peningkatan kos operasi, keperluan menaik taraf infrastruktur, pelaburan dalam teknologi pembelajaran digital dan pembangunan penyelidikan berimpak tinggi, sumber pendapatan yang dijana melalui saluran yang sah dan terkawal dapat membantu universiti terus memberikan perkhidmatan pendidikan yang berkualiti kepada masyarakat.

Dalam konteks ini, saluran terbuka perlu dilihat sebagai satu instrumen pengurusan pendidikan tinggi dan bukannya mekanisme yang menjejaskan prinsip keadilan atau meritokrasi.

Satu perkara yang sering terlepas pandang dalam polemik ini ialah hakikat bahawa saluran kemasukan tidak menentukan kualiti graduan. Apa yang menentukan kualiti seseorang graduan ialah proses pendidikan yang dilaluinya sepanjang tempoh pengajian.

Sebagai sebuah universiti teknikal yang berteraskan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Termaju, UMPSA sentiasa memberi penekanan kepada prinsip akses, kualiti dan kebolehpasaran graduan. Sama ada pelajar diterima melalui UPU, saluran terbuka atau program kerjasama yang diluluskan, mereka mengikuti kurikulum yang sama, diajar oleh pensyarah yang sama, dinilai menggunakan kaedah pentaksiran yang sama dan perlu memenuhi hasil pembelajaran program yang sama sebelum bergraduasi.

Justeru, kualiti graduan tidak boleh diukur berdasarkan saluran kemasukan yang digunakan, tetapi berdasarkan kompetensi, pengetahuan, kemahiran dan nilai profesional yang berjaya dibangunkan sepanjang tempoh pengajian mereka.

Walaupun istilah ‘pintu belakang’ mungkin tidak tepat, ini tidak bermakna sistem sedia ada tidak boleh dipersoalkan atau ditambah baik. Sebagai sebuah masyarakat yang mementingkan keadilan sosial, kita wajar membincangkan secara terbuka tentang isu akses pendidikan tinggi, khususnya melibatkan pelajar daripada kelompok berpendapatan rendah.

Kewujudan saluran terbuka perlu dilihat dalam konteks usaha memperluas akses kepada pendidikan tinggi. 

Pada masa yang sama, kerajaan dan UA sentiasa komited memastikan peluang pendidikan kekal inklusif melalui pelbagai mekanisme bantuan kewangan, biasiswa, zakat, dermasiswa dan kemudahan pembiayaan pendidikan. Dengan pendekatan ini, pelajar yang berkelayakan daripada pelbagai latar belakang termasuk kumpulan B40 dan M40 terus berpeluang mengikuti pengajian di UA berdasarkan merit dan potensi masing-masing.

Namun, perbahasan mengenai akses dan kemampuan kewangan tidak seharusnya dicampuradukkan dengan tuduhan bahawa universiti mengamalkan kemasukan secara tidak sah atau tanpa merit. Kedua-dua isu tersebut mempunyai dimensi yang berbeza dan memerlukan pendekatan penyelesaian yang berbeza.

Polemik yang berlaku turut memperlihatkan keperluan untuk meningkatkan literasi masyarakat mengenai dasar pendidikan tinggi negara. Banyak salah faham timbul apabila mekanisme kemasukan universiti yang kompleks cuba dijelaskan melalui naratif yang terlalu ringkas dan sensasi.

UA dan pihak berkuasa pendidikan tinggi boleh memainkan peranan yang lebih proaktif dengan menerbitkan data berkaitan jumlah pengambilan pelajar mengikut saluran kemasukan, kapasiti program, syarat kelayakan dan mekanisme pemilihan. Ketelusan seperti ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan masyarakat, malah membantu mengelakkan penyebaran maklumat yang mengelirukan.

Dalam masa yang sama, masyarakat juga perlu mengamalkan budaya menilai sesuatu dakwaan berdasarkan fakta, data dan sumber yang sahih. Pendidikan tinggi merupakan sektor strategik negara dan sebarang tuduhan yang menyentuh integriti institusi perlu disokong oleh bukti yang jelas serta boleh disemak.

UA memainkan peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar melahirkan graduan. Institusi ini menjadi pusat pembangunan ilmu, penyelidikan, inovasi dan penyelesaian kepada pelbagai cabaran negara. Kepercayaan masyarakat terhadap universiti merupakan aset yang amat bernilai dan perlu dipelihara.

Perbezaan pandangan dalam isu Dasar Pendidikan adalah sesuatu yang normal dalam sebuah negara demokrasi. Namun, perdebatan tersebut perlu berlangsung dalam kerangka yang berasaskan fakta, analisis dan kefahaman yang tepat terhadap sistem yang sedang dibincangkan. Melabelkan sesuatu mekanisme yang sah sebagai ‘pintu belakang’ tanpa memahami konteks keseluruhannya bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah berisiko menjejaskan reputasi institusi yang selama ini berusaha mengekalkan standard akademik yang tinggi.

Pada asasnya, isu yang sedang hangat diperkatakan hari ini bukan sekadar soal kemasukan pelajar ke UA. Ia sebenarnya mencerminkan keperluan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap dasar dan mekanisme pendidikan tinggi negara.

Dalam konteks Malaysia MADANI yang menekankan prinsip kemampanan, kesejahteraan, daya cipta dan ihsan, pendidikan tinggi perlu terus menjadi instrumen mobiliti sosial yang diyakini rakyat. Justeru, perbahasan mengenai kemasukan ke UA hendaklah berasaskan data, fakta dan kefahaman yang menyeluruh terhadap dasar pendidikan tinggi negara.

Saluran terbuka bukanlah ‘pintu belakang’ dalam erti kata kemasukan tanpa syarat atau tanpa merit. Sebaliknya, ia merupakan salah satu mekanisme yang sah dalam ekosistem pendidikan tinggi Malaysia yang tertakluk kepada syarat akademik, kawal selia institusi dan standard jaminan kualiti yang ketat. Apa yang lebih penting ialah memastikan setiap pelajar yang diterima memenuhi syarat yang ditetapkan, setiap program mengekalkan standard kualiti yang tinggi dan setiap universiti terus melaksanakan amanahnya dengan penuh integriti.

Hanya dengan pendekatan yang rasional, telus dan berasaskan fakta, UA termasuk UMPSA akan terus menjadi institusi yang dipercayai masyarakat dalam melahirkan graduan berilmu, berkemahiran, berintegriti dan berdaya saing untuk masa depan negara.

Penulis ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

 Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh

Oleh: Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh
E-mel: kamal@umpsa.edu.my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri