Politik Pejabat
Alam pekerjaan boleh menjadi menarik atau pun sukar terutamanya bagi yang baru menceburi alam pekerjaan dan salah satu perkara yang menyebabkan kesukaran semasa bekerja adalah politik pejabat.
Politik pejabat boleh didefinisikan sebagai proses hubungan antara kuasa dan pengaruh membabitkan individu-individu dan kelompok-kelompok tertentu sama ada di peringkat dalaman atau luaran persekitaran organisasi. Politik pejabat atau politik tempat kerja ialah penggunaan kuasa di dalam organisasi untuk mencapai agenda tertentu atau kepentingan diri tanpa memikirkan kesan atau impak ke atas usaha organisasi. Selain itu, ia boleh turut ditafsirkan sebagai tindakan tidak formal dan selalunya manipulatif yang diambil oleh pekerja untuk mendapatkan kuasa, pengaruh atau kelebihan di tempat kerja. Ini boleh melibatkan gosip, pilih kasih, permainan kuasa, mengambil kredit untuk kerja orang lain, atau tingkah laku pasif-agresif.
Harus kita ingatkan bahawa politik di pejabat ini merupakan suatu budaya toksik yang boleh merosakkan organisasi secara keseluruhannya. Oleh itu, kita perlu mengetahui bagaimana politik di pejabat ini boleh berlaku dan apakah yang boleh dilakukan bagi mengelakkan berlakunya perkara ini di dalam organisasi kita.
Antara perkara-perkara yang boleh menjurus ke arah politik di tempat kerja adalah penyebar gosip–gosip liar atau dipanggil sebagai ‘teh panas’ atau ‘teh tumpah’ di dalam pejabat yang secara tidak langsung dapat mempengaruhi minda pendengar untuk menyukai atau tidak menyukai pekerja yang diperkatakan. Selain itu, sifat membodek juga dikategorikan sebagai politik pejabat yang mana untuk mendapatkan perkara yang dihajati, pekerja sanggup melakukan apa sahaja walaupun ianya bertentangan dengan kepercayaan dan prinsip hidup mereka.

Membudayakan politik di pejabat hanya akan mendatangkan keburukan kepada organisasi secara keseluruhan memandangkan ia boleh mengurangkan motivasi pekerja–pekerja yang layak mendapat ganjaran hasil daripada sumbangan dan kepakaran mereka di pejabat, namun dek kerana wujudnya pilih kasih dan ketidakadilan, pekerja–pekerja ini lebih memilih untuk meletakkan jawatan dan pada akhirnya ia akan merugikan organisasi kerana terpaksa menanggung kekurangan tenaga kerja seterusnya menanggung kerugian dari sudut wang ringgit kerana terpaksa melatih pekerja–pekerja yang baharu. Akhirnya, perkara ini akan menjadi satu kitaran yang tidak berkesudahan padahal ianya boleh dielakkan di peringkat awal.
Oleh itu, sebarang urusan di pejabat perlu dilaksanakan berlandaskan peraturan dan proses kerja sedia ada serta melihat kepada kelayakan dan kebolehan seseorang dan bukannya menggunakan jalan pintas ataupun backdoor kerana ia boleh menjadi punca utama berlakunya ketidakadilan dan penyalahgunaan kuasa seterusnya ke arah kesalahan rasuah.
Seseorang yang bergelar pemimpin mestilah sedar bahawa keutamaannya adalah untuk berkhidmat kepada orang yang berada di bawah tanggungannya. Sabda Rasulullah SAW:
أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالإِمَامُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Maksudnya: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, kesemuanya bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Imam adalah pemimpin ke atas orang ramai dan dia bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya.”
(Riwayat bukhari: 7138)
Penulis ialah Pegawai Undang-undang, Unit Integriti dan Pematuhan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Oleh: Siti Nur Fatimaton Abdul Manan
E-mel: fatimaton@umpsa.edu.my
- 95 views
Reports by: