Skip to main content

Potensi Jāwī Digital Dalam Memperkukuh Tulisan Jāwī

Tulisan Jāwī, salah satu khazanah warisan Melayu yang kaya dengan sejarah, kini berhadapan cabaran untuk terus relevan dalam era digital. Namun, perkembangan teknologi membuka ruang baharu bagi menghidupkan semula tulisan Jāwī dan memperkukuh penggunaannya dalam masyarakat moden.

Transformasi Digital Tulisan Jāwī

Pengenalan teknologi digital telah mempercepatkan usaha memartabatkan tulisan Jāwī. Perisian AsarFonts/JawiAT yang interaktif, mesra pengguna dan stabil dalam dunia digital telah mempermudah penulisan serta pembelajaran Jāwī. Teknologi sebegini bukan sahaja membantu individu menulis Jāwī dengan mudah dalam dunia digital, ia juga membantu para pengguna mempelajari tulisan Jāwī. Bahkan aplikasi sebegini juga boleh digunakan dalam dokumen rasmi, komunikasi harian dan penerbitan digital. Menurut pensyarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Dr. Asar Abdul Karim yang juga pencipta perisian tersebut, “Teknologi digital memainkan peranan penting dalam memastikan sesebuah tulisan itu terus relevan dan kekal digunakan. Huruf-huruf Jāwī dan transliterasi bahasa Arab perlu mempunyai kod tersendiri di dalam sistem digital dunia agar ia menjadi stabil dalam dunia Internet.” 

Peluang Baharu dalam Pendidikan

Teknologi digital juga membuka peluang besar dalam sektor pendidikan. Aplikasi pembelajaran interaktif, seperti permainan pendidikan dan kuiz Jāwī, membantu kanak-kanak mempelajari tulisan ini secara menyeronokkan. Selain itu, platform e-pembelajaran menyediakan modul khusus untuk mempelajari sejarah, tatabahasa dan aplikasi tulisan Jāwī.

Pada peringkat universiti pula, penggunaan transliterasi bahasa Arab yang mempunyai ikatan dengan tulisan Jāwī patut diperluaskan, terutama dalam kalangan ahli akademik dan para pelajar. Dengan perisian AsarFonts/JawiAT yang mesra digital, proses menaip huruf-huruf transliterasi ‘dot below letters’ (Ṣṣ (ص), Ḍḍ (ض), Ṭṭ (ط), Ḥḥ ح) dan Ẓẓ (ظ)) dan ‘macron letters’ (Āā (Islām), Ēē, Īī (Īmān), Ōō dan Ūū (Nūh)) dalam dunia digital kini lebih mudah. Usaha ini membantu menghasilkan generasi yang bukan sahaja celik Jāwī tetapi juga mampu mengembangkan penggunaan Jāwī dan transliterasi bahasa Arab pada pelbagai platform. Maklumat lanjut mengenai modul literasi Jāwī dan transliterasi bahasa Arab digital juga boleh layari dalam pautan UMPSA Advanced: https://lms.mycredential-b.com/ILMU/course/view.php?id=3880. 

JAWI

Hasil soal selidik yang dijalankan dalam kalangan lapan orang perserta Bengkel Jāwī dan Transliterasi Bahasa Arab di UnIPSAS pada 7 Januari 2025 telah menyatakan bahawa keberkesanan perisian AsarFont/JawiAT untuk penulisan Jāwī dan transliterasi bahasa Arab secara digital. 
 
 

Potensi Jāwī Digital Dalam Memperkukuh Tulisan JāwīPotensi Jāwī Digital Dalam Memperkukuh Tulisan Jāwī

Gambar Rajah 1: Hasil soal selidik penggunaan perisian AsarFonts/JawiAT untuk penulisan Jāwī dan Transliterasi Bahasa Arab di dunia digital

Pengaruh Jāwī dalam Media dan Komunikasi

Era digital juga menyaksikan tulisan Jāwī kembali mendapat tempat dalam media sosial dan komunikasi. Ramai pereka kandungan mula menggunakan Jāwī dalam poster, video dan infografik sebagai cara untuk mempromosikan identiti budaya. Penggunaan tanda pagar dalam tulisan Jāwī turut meningkat, menjadikan warisan ini lebih menarik kepada generasi muda di media sosial. Selain itu, media arus perdana kini mula menggabungkan Jāwī dalam penerbitan digital dan cetakan seperti akhbar dan majalah. Ia adalah sebagai usaha untuk memastikan tulisan ini terus hidup. 


Cabaran dan Masa Depan

Walaupun potensi tulisan Jāwī digital adalah besar, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi, antaranya:

1.    Isu Standardisasi Unikod
o    Sebahagian huruf Jāwī diberikan kod Unikod yang tidak tepat, seperti huruf Gā’ (U+06AC) yang sering digantikan dengan kod Gā’ Pakistan (U+06AF).
o    Ini menyebabkan kekeliruan dalam penggunaan perisian Jāwī dan mengganggu kestabilan paparan teks dalam dokumen digital.

2.    Ketiadaan tanda jarak bagi perkataan pinjaman 
o    Contohnya, perkataan teks dalam Jāwī sepatutnya ditulis sebagai تيک‌س  dengan tanda jarak (zero-width non-joiner); tetapi dalam kebanyakan perisian, ia ditulis sebagai تيكس  (disambungkan) atau تيك س  (dipisahkan sepenuhnya). 
o    Kesalahan ini menyukarkan pembelajaran dan penggunaan tulisan Jāwī dalam komunikasi harian. 

Tanpa penyelesaian bagi isu-isu ini, tulisan Jāwī mungkin sukar untuk diterima pakai dalam dunia digital moden. Namun, dengan perisian AsarFonts/JawiAT, masalah ini dapat diatasi dengan lebih baik melalui penggunaan kod Unikod yang tepat serta sokongan terhadap tanda jarak yang diperlukan dalam penulisan Jāwī.

Jadual 1


Kesimpulan

Potensi Jāwī digital adalah satu peluang yang tidak boleh disia-siakan. Dengan pendekatan teknologi yang sedia ada, tulisan Jāwī bukan sahaja dapat dipelihara tetapi juga diperluaskan penggunaannya dalam pelbagai bidang. Usaha ini bukan sahaja penting untuk menjaga identiti budaya tetapi juga sebagai cara untuk menghubungkan generasi masa kini dengan sejarah dan warisan nenek moyang mereka. 

Penghargaan

Penyelidikan ini adalah di bawah geran penyelidikan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), rujukan:  CDU230121 (Modul Pendigitalan Jāwī dan Transliterasi Bahasa Arab dalam Kalangan Pelajar dan Pensyarah UnIPSAS). 

Dr. Asar Abdul Karim
Dr. Asar Abdul Karim

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 

E-mel: asar@umpsa.edu.my; drasar2017@gmail.com

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News