Pusat Sains Kemanusiaan Memacu Kerjasama Akademik Serantau di antara Malaysia dengan Brunei
Program sangkutan akademik merupakan salah satu medium strategik dalam memperkukuhkan hubungan institusi pengajian tinggi di peringkat serantau dan antarabangsa. Pelaksanaan kali ini direalisasikan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr. Abdul Kamil Jamaludin yang berpeluang mengikuti program sangkutan bagi tujuan peningkatan kompetensi ke Sultan Omar ’Ali Saifuddien Centre for Islamic Studies bermula 26 April hingga 2 Mei 2026.
Program ini menjadi satu platform penting dalam merapatkan hubungan akademik serantau di antara UMPSA dan Universiti Brunei Darussalam (UBD). Program sangkutan ini juga merupakan sebahagian daripada usaha strategik UMPSA di bawah Amanat Naib Canselor UMPSA 2026, Lonjakan 3 (Bakat) – Mobiliti Staf dan Pelan Strategik UMPSA 2025-2030 menerusi objektif Attracting and Nurturing Global Talent (Staff). Inisiatif itu bertujuan meningkatkan pendedahan global staf, memperkukuh kompetensi melalui penglibatan dalam program mobiliti antarabangsa serta memperluas jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi bertaraf dunia.
Sekilas Pandang tentang Universiti Brunei Darussalam
Universiti Brunei Darussalam (UBD) merupakan universiti pertama dan tertua di Negara Brunei Darussalam yang ditubuhkan pada tahun 1985. Sebagai institusi pendidikan tinggi terkemuka, UBD telah berkembang daripada sebuah universiti pengajaran kepada sebuah universiti penyelidikan yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa, kini menduduki tempat keempat di ASEAN bagi penyelidikan yang berimpak.
• Misi: Memperkasa pemimpin masa hadapan melalui pendidikan inovatif dan penyelidikan berdaya usaha, dipacu oleh aspirasi nasional dan berpandukan nilai Melayu Islam Beraja (MIB).
• Nilai Teras: Learner First, Elevate, Agent of Change, One UBD.
• Kepimpinan Tertinggi: Canselor UBD ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
• Kecemerlangan Akademik dan Penyelidikan: UBD mempunyai sembilan fakulti akademik dan tujuh institut penyelidikan dengan fokus utama dalam bidang Biodiversiti, Tenaga, Pengajian Islam, Sains Halal dan Analitik Data.
Sultan Omar ’Ali Saifuddien Centre for Islamic Studies (SOASCIS)
SOASCIS merupakan pusat penyelidikan di bawah UBD yang menjadi tumpuan utama dalam program sangkutan akademik ini. Pusat ini ditubuhkan pada 30 September 2010. Ia didedikasikan untuk kajian lanjutan mengenai Islam, khususnya impak sosial Islam dari segi kepercayaan, amalan dan organisasi melalui kaedah sains Islam. Ia bertujuan meningkatkan kefahaman dunia Islam dalam konteks global yang saling bergantung melalui perspektif pelbagai disiplin.
Kronologi Pengisian Program
Ketibaan Dr. Abdul Kamil di Bandar Seri Begawan International Airport pada malam 26 April 2026 menandakan bermulanya siri program yang telah disusun secara terancang. Pada 27 April 2026, satu mesyuarat khas dan perbincangan ilmiah bersama pihak pengurusan serta ahli akademik di SOASCIS, UBD. Pertemuan bersama pengarah dan tenaga akademik ini telah membuka ruang perbincangan berhubung potensi kerjasama dalam bidang Pengajian Islam dan Sains Kemanusiaan, pembangunan kurikulum, penerbitan bersama serta pertukaran staf akademik dan pelajar. Perbincangan ilmiah seperti ini sangat signifikan dalam memastikan kedua-dua institusi dapat saling melengkapi kekuatan masing-masing.
Selain itu, sesi lawatan kampus UBD turut memberi peluang untuk meninjau kemudahan dan ekosistem pembelajaran yang tersedia di universiti berkenaan. Lawatan ke beberapa fakulti dan kampus memberi gambaran jelas tentang komitmen UBD dalam menyediakan suasana pembelajaran holistik yang menggabungkan kecemerlangan akademik dan pembangunan spiritual. Pengalaman ini boleh dijadikan rujukan berguna kepada UMPSA dalam memperkasa suasana kampus lestari dan mesra ilmu.
Pada 28 April 2026, pada sebelah pagi telah diadakan pertemuan bersama staf akademik UBD di pameran penyelidikan pensyarah dan pelajar dalam program GenBESTARI. Penganjuran pameran ini memperlihatkan komitmen UBD dalam penyelidikan berimpak tinggi. Jadual pada sebelah petang pula memfokuskan perbincangan mengenai perlaksanaan Global Classroom. Perbincangan ini amat relevan dengan keperluan semasa pendidikan tinggi yang semakin berorientasikan digital dan merentas sempadan. Melalui pendekatan ini, UMPSA dan UBD berpotensi melaksanakan kuliah bersama secara dalam talian, seminar antarabangsa, pembelajaran kolaboratif serta projek akademik rentas negara yang memberi manfaat besar kepada mahasiswa dan pensyarah kedua-dua institusi. Ini sejajar dengan aspirasi pendigitalan pendidikan tinggi dan pengantarabangsaan universiti.
Seterusnya, pada 29 April 2026, pertemuan bersama bakal kolaborator penyelidikan UBD telah membuka ruang kepada jaringan penyelidikan baharu. Kerjasama penyelidikan antara universiti amat penting dalam meningkatkan impak ilmiah, penerbitan berindeks, geran antarabangsa dan inovasi penyelesaian isu semasa. Bidang yang berpotensi diterokai termasuk pengajian Islam kontemporari, halal, teknologi pendidikan, kemanusiaan digital serta pembangunan masyarakat. Penglibatan dalam SOASCIS Seminar Series pula memberi peluang perkongsian idea akademik secara lebih meluas dan profesional.

Pendedahan mengenai budaya dan kenegaraan Negara Brunei dalam sangkutan ini diserikan melalui lawatan luar UBD pada 30 April 2026. Pengisian lawatan dibuat melalui kunjungan ke beberapa lokasi ikonik di Bandar Seri Begawan seperti Masjid Sultan Omar Ali Saifuddien, Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Royal Regalia Museum, Istana Nurul Iman dan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Lawatan sebegini memberi kefahaman lebih mendalam terhadap identiti negara Brunei Darussalam yang berteraskan Melayu Islam Beraja (MIB). Kefahaman silang budaya ini penting dalam memperkukuh hubungan diplomasi akademik dan meningkatkan sensitiviti budaya dalam kerjasama antarabangsa.

Pada 1 Mei 2026, sesi pertemuan eksklusif diadakan bersama Pengarah SOASCIS, Dr. Mohd Hairul Azrin Haji Besar, hasil pertemuan memperlihatkan komitmen tinggi pihak UBD dalam meneruskan kerjasama strategik dengan UMPSA. Begitu juga, kehadiran ke program Qur’anic Journey Lecture dan Student Research Forum pula memberi pendedahan kepada pendekatan UBD dalam memupuk budaya ilmu, penyelidikan pelajar dan penghayatan nilai al-Quran dalam kehidupan kampus. Pengalaman ini amat bernilai untuk dikongsi semula di UMPSA bagi memperkukuh budaya penyelidikan dan pembangunan sahsiah mahasiswa.

Secara keseluruhannya, program sangkutan ini telah berjaya mencapai matlamat utamanya iaitu memperkukuhkan hubungan akademik antara UMPSA dan UBD. Program ini bukan sahaja membuka ruang perkongsian ilmu dan pengalaman, bahkan turut memberi nilai tambah kepada usaha pembangunan penyelidikan, mobiliti akademik, inovasi pendidikan serta jaringan antarabangsa kedua-dua universiti. Pelbagai ruang kerjasama telah dikenal pasti termasuk penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran, pengajaran digital, seminar antarabangsa dan pembangunan pelajar.
Program sangkutan ini juga membuktikan bahawa jaringan serantau antara universiti di negara ASEAN mampu menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pendidikan tinggi yang lebih mampan dan berdaya saing.
Diharapkan hasil daripada program sangkutan ini akan diterjemahkan melalui tindakan susulan yang konkrit seperti memorandum persefahaman, program pertukaran akademik, penerbitan bersama serta penganjuran persidangan antarabangsa. Sesungguhnya, hubungan erat antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah dan Universiti Brunei Darussalam akan terus menjadi jambatan ilmu yang memberi manfaat besar kepada kedua-dua institusi, masyarakat dan dunia akademik serantau.
Penulis adalah Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Oleh: Dr. Abdul Kamil Jamaludin
E-mel: abdulkamil@umpsa.edu.my
- 117 views
Reports by: