Raya? Kisah di Sebalik ‘Gong Xi Fa Cai’ dan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’
Gōng xǐ fā cái! 恭喜发财!Selamat Tahun Baru Cina.
Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.
Pagi bulan Februari itu, cahaya lembut menembusi celah tingkap. Bau limau mandarin dan kuih raya memenuhi ruang tamu. Lisa mencari penyapu, namun belum sempat menyentuh lantai, suara nenek memecah sunyi.
“Jangan menyapu hari ini. Nanti terbuang rezeki.”
Lisa tersenyum kecil, faham akan makna tersirat di sebalik amalan itu.
Bulan Mac, selang sebulan kemudian, suasana berbeza pula menyambut satu Syawal. Danish berdiri di hadapan cermin, membetulkan baju Melayu baharunya.
“Cepat sikit, pakailah elok-elok baju tu,” tegur ibunya.
“Hari raya mesti baju baharu. Biar bersih, biar berseri.”
Dua situasi ini berlaku dalam dua perayaan berbeza iaitu Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri. Kedua-duanya memperlihatkan hakikat yang sama iaitu manusia bertindak sebagai medium simbolik untuk menandakan permulaan baharu. Setiap tindakan fizikal sarat dengan makna budaya.
Dalam konteks Tahun Baru Cina, setiap kata dan tindakan fizikal membawa makna tersirat yang menghubungkan manusia dengan harapan. Xu (2014) menunjukkan bahawa menjelang perayaan, rumah dibersihkan secara menyeluruh melalui amalan sǎo chén (扫尘) sebagai simbol pembuangan nasib malang. Namun pada hari pertama, penyapuan dihentikan kerana dipercayai akan menyapu keluar tuah yang baru tiba. Istilah cí jiù yíng xīn (辞旧迎新) bermakna meninggalkan yang lama dan menyambut yang baharu. Amalan ini menekankan bahawa pembersihan rumah sebelum perayaan adalah persediaan rohani sebelum upacara penting yang melambangkan usaha membersihkan dan memperbaharui kehidupan.
Bagi perayaan Aidilfitri pula, pembersihan rumah bukan sekadar menyingkirkan kekotoran fizikal, tetapi mencerminkan proses penyucian jiwa selepas melalui tarbiah rohani sepanjang Ramadan. Dalam kedua-dua konteks, tindakan harian seperti menyapu, mencuci dan menghias rumah tidak lagi bersifat rutin semata-mata, tetapi menjadi medium simbolik yang menghubungkan manusia dengan nilai dan identiti budaya masing-masing.
Dalam konteks Aidilfitri, pemakaian baju baharu melambangkan kesucian serta penyucian diri yang kembali kepada fitrah selepas Ramadan, satu peralihan daripada disiplin rohani kepada kegembiraan yang berteraskan kesyukuran. Hal ini mencerminkan fitrah insan yang kembali kepada keadaan bersih setelah melalui proses tazkiyah al-nafs sepanjang Ramadan. Kegembiraan tersebut bukan sekadar zahir, tetapi lahir daripada kesedaran terhadap rahmat dan keampunan Allah SWT yang dianugerahkan kepada hamba-Nya.
Xiao (2006) menjelaskan bahawa sempena Tahun Baru Cina, zhuó xīn yī (着新衣, memakai pakaian baharu) merupakan tradisi yang telah wujud sejak zaman Dinasti Han. Pada zaman Dinasti Tang, kanak-kanak lazimnya mengenakan pakaian berwarna-warni. Manakala pada zaman Dinasti Song, masyarakat tetap memakai pakaian yang bersih dan baharu walaupun dalam keadaan ekonomi yang sederhana. Tradisi ini diteruskan sepanjang Dinasti Yuan, Ming dan Qing, termasuk pemakaian hiasan kepala serta fesyen khas tahun baharu. Hingga kini, amalan memakai pakaian baharu masih diamalkan sebagai lambang pembaharuan diri dan permulaan hidup yang segar. Secara simbolik, pakaian dan hiasan baharu ini menandakan seseorang memasuki fasa kehidupan yang baharu.
Dari sudut semiotik, fungsi simbolik ini dapat difahami melalui konsep tanda yang diperkenalkan oleh Ferdinand de Saussure yang membezakan antara signifier (penanda) dan signified (petanda). Motif seperti ketupat, pelita dan kaligrafi ucapan “Selamat Hari Raya” bertindak sebagai penanda visual, manakala maknanya merujuk kepada kesyukuran, kemaafan dan pembaharuan hubungan sosial. Simbol Aidilfitri lebih bergantung pada konvensi budaya dan pengalaman kolektif dalam menafsir makna.
Selain itu, simbol dalam Tahun Baru Cina sering bergantung pada fonologi. Tradisi menampal chūn lián (春联, kuplet musim bunga) pada pintu atau dinding rumah berakar sejak Dinasti Song. Zaman dulu, kuplet merah ini memuatkan pantun atau perkataan yang membawa doa kesejahteraan dan perlindungan daripada roh jahat. Aksara fú (福, berkat) sering ditampal secara terbalik kerana homofoninya dengan dào (到, tiba). Maka, fú dào (福倒) dibaca sebagai fú dào (福到) yang bermaksud keberkatan telah tiba.
Dari perspektif Charles Sanders Peirce pula, simbol-simbol ini boleh tergolong sebagai symbol, di mana makna dibentuk melalui persetujuan sosial. Ketupat, misalnya bukan sekadar makanan tetapi lambang kesederhanaan dan kebersamaan. Manakala ucapan ‘maaf zahir dan batin’ bersifat performatif, bukan hanya mewakili makna, tetapi turut menghasilkan tindakan sosial dalam pemulihan hubungan.
Bahasa dalam budaya Cina juga mempunyai fungsi performatif yang kuat. Kata-kata bukan hanya menggambarkan realiti, malah dipercayai mampu membentuknya. Fong (2000) menunjukkan bahawa perkataan yang baik dianggap membawa tuah dan keberkatan. Pada pagi Tahun Baru Cina, kata-kata negatif dielakkan seperti perkataan sǐ (死, mati), bìng (病, sakit) dan qióng (穷, miskin). Sebaliknya, ucapan seperti gōng xǐ fā cái (恭喜发财) berfungsi lebih daripada sekadar sapaan, kata tersebut merupakan doa sosial yang mengandungi harapan kemakmuran. Ucapan lain seperti nián nián yǒu yú (年年有余), xīn xiǎng shì chéng (心想事成) dan liù liù dà shùn (六六大顺) menzahirkan aspirasi terhadap rezeki yang berterusan dan kehidupan yang lancar. Fenomena ini menunjukkan bahawa bahasa dalam konteks budaya bersifat simbolik dan normatif. Penghindaran kata-kata negatif serta pertelingkahan adalah sebahagian daripada usaha kolektif bagi memastikan permulaan tahun yang harmoni.
Simbolisme turut terserlah dalam aspek makanan. Yú (鱼, ikan) berbunyi sama dengan yú (余, lebihan), maka ikan biasanya dihidangkan utuh dari kepala hingga ekor sebagai lambang kelengkapan dan keberkatan sepanjang tahun. Kuih nián gāo (年糕, kuih bakul) pula membawa makna meningkat setiap tahun kerana gāo (高) bermaksud tinggi, manakala gān (柑, limau mandarin) dikaitkan dengan kekayaan kerana bersinonim dengan jí (吉, tuah) dan ‘gam’ (金, IPA: [kɐm˥]) dalam dialek Kantonis yang bermaksud emas. Fenomena ini menunjukkan keunikan satu bahasa, di mana makna tidak hanya terletak pada objek itu sendiri, tetapi juga pada resonansi fonetik yang melahirkan simbolisme mendalam.
Amalan pemberian hóng bāo (红包, angpau) pula memadukan ritual sosial dengan simbolik nombor. Kanak-kanak menerima angpau dengan kedua-dua tangan dan tidak dibuka di hadapan pemberi sebagai tanda kesopanan. Menurut kajian Akhrenova (2022), wang di dalam angpau biasanya bernombor genap, khususnya 8 atau 88, kerana bā (八, 8) berhomofon dengan fā (发, kemakmuran). Nombor lain juga mempunyai makna simbolik seperti liù (六, 6) melambangkan kelancaran, manakala sì (四, 4) dielakkan kerana sebutannya serupa dengan sǐ (死, mati). Jumlah seperti RM168 lebih digemari berbanding RM44 kerana nilai simboliknya yang positif.
Dalam perayaan Aidilfitri, amalan pemberian duit raya mencerminkan kemurahan hati sang pemberi dan sebagai sebahagian amalan sedekah yang sangat ditekankan dalam agama Islam. Walaupun jumlahnya tidak terikat dengan simbol angka tertentu, pemberian ini didorong oleh niat ikhlas untuk menggembirakan penerima serta mengeratkan hubungan silaturahim. Bukan sahaja kanak-kanak, malah semua penerima turut merasai kegembiraan, penghargaan dan rasa dihargai. Duit raya bukan sekadar pemberian wang, tetapi transaksi emosi yang menukar nilai kecil menjadi kebahagiaan kolektif.
Pengalaman ini memperlihatkan bahawa dalam perayaan, tindakan harian tidak lagi bersifat biasa. Semuanya menjadi bahasa simbolik yang menghubungkan manusia dengan harapan dan identiti budaya masing-masing.
Danish tersenyum segak menyarung baju raya baharu pada pagi Syawal. Barangkali berkat lahir amal yang ikhlas dan doa yang tidak putus. Ia tumbuh daripada keyakinan kepada rahmat Allah SWT yang dihidupkan saban tahun melalui ibadah dan kemaafan.
“Mana ada rezeki boleh jatuh atas lantai?”
Nenek duduk di hujung ruang tamu, tangannya bersilang di pangkuan. Dia tidak menjawab, kerana setiap gerak dan senyumannya sudah berbicara. Dalam senyuman itu tersirat pengajaran tentang hati yang bersih dan berkat yang tidak kelihatan tetapi dirasai.
Dalam dunia yang penuh cabaran dan ketidakpastian, perayaan membuka ruang untuk manusia kembali memahami makna kehidupan. Dengan kata-kata yang baik, hati yang tulus bersih, serta niat dan tingkah yang mulia, setiap permulaan baharu menjadi harapan yang terus dihidupkan dari tahun ke tahun.



Oleh: Leong Hui Theng, Shamsul Harbi, Jamilah Bebe Mohamad
E-mel: leonghuitheng@umpsa.edu.my, shamsulh@umpsa.edu.my, jamilahbebe@umpsa.edu.my
Penulis adalah Guru Bahasa Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rujukan:
Akhrenova, N. A., & Dubinina, M. N. (2022). The role of numbers in the Chinese cyberculture. (1st ed., Vol. 4, pp. 16-23). European Publisher. Retrieved from https://doi.org/10.15405/epes.22104.3
Fong, M. (2000). ‘Luck talk’ in celebrating the Chinese New Year. Journal of Pragmatics, 32(2), 219–237. Retrieved from https://doi.org/10.1016/S0378-2166(99)00048-X
Ibekwe, C.A. (2020). The spring festival: a window into Chinese culture. Journal of Chinese and African Studies (JOCAS), 1(1).
Peirce, C.S. (1960). Collected Papers of Charles Sanders Peirce. Vols. 1–6. Belknap Press of Harvard University Press.
Saussure, F. de. (1959). Course in General Linguistics (W. Baskin, Trans.). Philosophical Library.
Xiao, F. (2006). Spring Festivals and Seasonal Rites of Passage. Journal of Beijing Normal University (Social Sciences Edition), 6(198), 50-58.
Xu, R. (2014). Research on Chinese and Western traditional festival culture contrast. Proceedings of the International Conference on Education Technology and Information System (ICETIS 2014), 388–392. Retrieved from https://doi.org/10.2991/icetis-14.2014.87
- 168 views
Reports by: