Rukun Negara Tiang Seri Menyulam Perpaduan Bangsa
“Maka Kami, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami, untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan prinsip-prinsip berikut:
Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan.”
Ikrar keramat Rukun Negara acap kali dilaungkan, sejak kita di bangku sekolah sehinggalah ke majlis-majlis tertentu tidak kira peringkat sekolah, universiti, kementerian dan pelbagai agensi. Boleh dikatakan semua rakyat Malaysia pernah melaungkan ikrar ini sejak diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 dan tanpa kita sedar kini Rukun Negara yang menjadi tiang seri perpaduan dan penyatupaduan rakyat Malaysia sudah menjangkau usianya 55 tahun pada kali ini. Pada dasarnya bukan usia menjadi kayu pengukur kepada kejayaannya tetapi perlu dilihat sejauh mana warganegara Malaysia memahami dan menghayati Rukun Negara sebagai falsafah kebangsaan yang jauh lebih besar daripada sekadar lima baris prinsip yang telah digariskan. Jadi adakah ikrar Rukun Negara ini memadai hanya sekadar ungkapan pada bibir, atau perlu diserap dalam lubuk sanubari?
Impak kurang memahami dan menghayati Rukun Negara
Sebagai sebuah negara majmuk sudah semestinya tidak lari daripada isu melibatkan perpaduan sehingga boleh menggugat keharmonian negara tercinta. Menurut mantan ahli parlimen Malaysia dan aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye, punca utama perpaduan antara kaum sukar dicapai adalah disebabkan oleh polarisasi kaum dan agama masih kekal wujud. Ini disebabkan oleh ketidakpercayaan antara etnik dan agama sehingga membawa kepada salah faham (misunderstanding) sehingga mencetuskan perpecahan dalam masyarakat. Sebagai contoh masih ada lagi masyarakat membuat kenyataan terbuka di media sosial melibatkan isu-isu sensitif terutamanya melibatkan kaum dan agama. Inilah punca yang menyebabkan timbulnya perasaan bersakit hati dan tidak selesa sehingga membawa kepada pergaduhan dan menggugat ketenteraman awam.
Selain itu, kurangnya memahami perlembagaan dan Rukun Negara yang membawa kepada ketidakharmonian dalam masyarakat. Punca utama berlakunya perpecahan antara kaum adalah disebabkan kejahilan masyarakat itu sendiri dalam memahami peruntukan perlembagaan terutamanya perkara yang telah termaktub dalam kontrak sosial. Disebabkan segelintir masyarakat yang tidak peduli kepada peruntukkan perlembagaan ini menyebabkan keharmonian antara kaum terjejas. Perlu diingatkan, peristiwa berdarah 13 Mei 1969 merupakan parut luka yang tidak akan padam buat selamanya. Bagi mengukuhkan semula perpaduan bangsa, Rukun Negara dibina demi menjaga keharmonian bersama. Kenapa Rukun Negara? Pada dasarnya prinsip-prinsip Rukun Negara merupakan cerminan kepada peruntukan perlembagaan bagi menjamin perpaduan antara kaum. Oleh sebab itu sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab sudah pasti tidak akan sesekali menggugat perkara yang telah termaktub di dalam perlembagaan.
Isu pendidikan terhadap penerapan nilai-nilai murni yang kurang berkesan turut menjadi sebab kepada kurangnya penghayatan Rukun Negara oleh masyarakat.
Dari sudut sistem pendidikan formal menunjukkan bahawa subjek Sejarah dan Pendidikan Moral pada peringkat sekolah hanya menggunakan pendekatan hafalan semata-mata tanpa ada penekanan pada nilai sebenar. Selain daripada itu, pada peringkat universiti subjek Mata Pelajaran Umum (MPU) hanya bersifat ambil hanya sekali (one-off) yang diambil oleh pelajar pada awal semester pengajian. Sistem pendidikan ini perlu diteliti dan dikaji semula dalam memastikan setiap pelajar dapat memahami setiap nilai yang menjadi asas kepada perlembagaan Malaysia di samping menghayati nilai Ihsan yang juga merupakan teras kepada Malaysia MADANI dalam menerapkan sikap belas kasihan dan kepedulian, pembudayaan kemanusiaan serta integriti. Sekiranya sistem pendidikan hanya menggunakan konsep peperiksaan semata-mata maka sudah semestinya asas pembentukan negara bangsa dengan penerapan Rukun Negara tidak dapat dicapai.

Peranan kita mempertahankan Rukun Negara
Sebagai rakyat Malaysia, tanggungjawab utama kita adalah mempertahankan Rukun Negara bagi memastikan keharmonian dan kestabilan negara terus terpelihara. Rukun Negara bukan sekadar ungkapan di bibir semata-mata tetapi perlu dizahirkan melalui tingkah laku dan etika individu. Sekiranya kita mampu mengamalkan adab dan tatasusila yang baik dalam interaksi harian, ini bermakna kita berjaya menghayati prinsip Rukun Negara.
Kedua, dalam konteks institusi pendidikan peranan dalam mempertahankan Rukun negara dapat diterjemahkan melalui pembudayaan berteraskan ilmu dan adab. Institusi pendidikan bukan sahaja perlu berfungsi sebagai pusat akademik semata-mata tetapi sebagai tempat pembentukan karakter insan unggul dalam semua aspek.
Akhir sekali peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan adalah sangat besar dan penting. Dalam mempertahankan Rukun Negara, kerajaan perlu menterjemahkan secara konsisten dalam dasar, pentadbiran dan amalan governan. Setiap dasar awam yang dibentuk mestilah adil, inklusif serta berteraskan keadilan sosial sejajar dengan matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals) SDG-16 iaitu keamanan, keadilan dan institusi kukuh yang menjadi teras utama dalam memastikan prinsip Rukun Negara diimplementasikan dalam sistem pentadbiran negara.
Tuntasnya, Rukun Negara bukan sekadar untuk dilafazkan, tetapi merupakan tiang seri yang perlu dihormati dan dihayati oleh semua warganegara Malaysia. Keharmonian tidak terbentuk dengan sendirinya tetapi kitalah arkitek utama dalam membina peradaban bangsa Malaysia supaya terus kekal utuh dan relevan sampai bila-bila, bak kata pepatah ‘Bulat air kerana pembentung, Bulat manusia kerana muafakat’.

Oleh: Dr. Abdul Hadi Samsi
E-mel: hadisamsi@umpsa.edu.my
Penulis adalah Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 19 views
