Sahabat Tabung Haji (TH) di Tanah Suci: Antara Khidmat, Pengorbanan dan Cinta Ilahi
Menunaikan haji merupakan impian yang tersimpan di dalam hati seorang Muslim. Ia bukan hanya sekadar menyempurnakan rukun Islam kelima, tetapi menyempurnakan satu jemputan istimewa bagi insan yang terpilih sahaja untuk menerimanya. Duyufurrahman atau lebih dikenali sebagai tetamu Allah adalah gelaran diberikan kepada muslimin mahupun muslimat yang mendapat jemputan khas ini. Apabila direzekikan Allah menjadi tetamu-Nya pada tahun 2014 (1436H) di usia 39 tahun, hati menjadi penuh rasa syukur. Tertanya juga dalam hati, apakah ini satu ruang bagi diri ini memberi manfaat kepada yang lain dengan tenaga yang ada. Namun, ketika terpilih menjadi salah seorang Sahabat Tabung Haji bersama 213 orang jemaah yang lain, dapat dirasai perjalanan ini akan menjadi lebih daripada sekadar ibadah peribadi — ia akan menjadi medan khidmat, pengorbanan dan penyucian hati yang sebenar.
Sahabat Tabung Haji merupakan inisiatif Tabung Haji yang diwujudkan sejak tahun 2006 bagi menjadi landasan terbaik untuk jemaah haji menabur bakti dan menyantuni jemaah yang lain dan sekali gus meningkatkan amal ibadah di Tanah Suci. Ia juga memupuk nilai kesukarelawanan dan menyuburkan nilai kemanusiaan seseorang individu. Kebiasaannya amal ibadah hanya dikaitkan dengan ibadah khusus iaitu solat, berpuasa, membaca al-Quran atau berzikir. Namun, definisi ibadah juga boleh diambil kira dengan memberi bantuan kepada orang yang memerlukan. Berkhidmat untuk jemaah lain ketika diri sendiri seorang jemaah juga merupakan sebahagian dari ibadah dan memerlukan pengorbanan yang besar. Sukarelawan Sahabat Tabung Haji ini dipilih oleh Tabung Haji dan terdiri daripada mereka yang sihat tubuh badan, muda, berpengalaman sebagai sukarelawan dan memiliki kepakaran diperlukan untuk membantu jemaah haji. Sahabat Maktab, mereka perlu ada sifat tidak mementingkan diri dan suka membantu orang lain.
Sebagai Sahabat Tabung Haji, tugas adalah membantu jemaah lain, terutamanya yang memerlukan lebih perhatian seperti warga emas, orang kurang upaya, mereka yang tersesat, dan jemaah yang berada dalam kesulitan. Ia bukanlah kerja mudah lebih-lebih lagi apabila Sahabat Tabung Haji juga merupakan jemaah haji pada waktu yang sama. Dengan ini, Sahabat Tabung Haji seharusnya tahu bahawa pengorbanan ini memerlukan tenaga, masa, kesabaran, dan yang paling penting adalah keikhlasan.
Ia memerlukan pengorbanan yang amat besar, malah ketika di Arafah dan Mina ketika jemaah berada di dalam khemah, Sahabat Tabung Haji berada di luar dalam cuaca panas untuk membantu jemaah haji pergi melontar dan pelbagai lagi. Membantu orang tidak dilihat sebagai satu beban malah ia menggembirakan dan menjadi landasan untuk mengutip pahala berlipat kali ganda.
Berbekalkan sehelai vest dan juga peta bagi kedudukan khemah jemaah di Arafah dan Mina, tanggungjawab dipikul amat berat kerana sejurus menyarung seragam itu, secara rasminya bukan lagi hanya sebagai jemaah biasa tetapi ibarat sebahagian petugas Tabung Haji.
Menghulur Tangan di Tengah Lautan Manusia
Di Tanah Suci, perkara yang tidak diterima akal oleh manusia, menjadi sesuatu yang tidak mustahil berlaku. Itulah kuasa Allah. Jumlah jemaah yang mencecah jutaan orang menjadikan setiap pergerakan mencabar khususnya pada hari pergerakan ke Masyair iaitu Arafah, Muzdalifah dan Mina. Seramai 22,311 dari 22,320 orang jemaah Malaysia mengerjakan haji dan berada di Masyair pada tahun 2014. Cuaca panas terik, sering kali melebihi 45 darjah Celsius hingga dan pernah mencapai 50 darjah Celsius. Dalam keadaan ini, ramai yang lemah akibat kekurangan air. Menyediakan air dan memberi kepada jemaah yang memerlukan merupakan satu usaha bagi membantu supaya jemaah kekal sihat untuk menjalani ibadah pada ketika itu.
Dengan Jumlah Jutaan
Dalam satu situasi lain, membantu seorang wanita yang amat lemah dan hampir pitam ketika melontar jamrah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Walaupun diri sendiri ini cemas, namun ia tidak boleh diterjemahkan dengan riak wajah dan harus dalam keadaan kekal tenang serta sedia membantu. Diberikan air minuman, didudukannya di tempat yang lengang, dan menunggu beliau sehingga keadaannya stabil dan bantuan dari pekerja TH yang bertugas datang. Melihat senyuman jemaah wanita tersebut cukup untuk memadamkan segala penat sebagai sukarelawan. Di saat-saat seperti itulah membuat diri ini sedar, bahawa pahala ibadah bukan hanya dari tawaf dan sa’ie, tetapi juga dari detik-detik seperti ini — di mana kita hadir untuk orang lain ketika mereka dalam kesusahan.
Belajar Melepaskan Kepentingan Diri
Antara perkara yang paling sukar ialah mengawal keinginan diri sendiri. Di Tanah Suci, semua orang ada agenda masing-masing, ingin menyempurnakan ibadah dengan tenang, ingin sampai awal ke tempat solat, ingin rehat setelah penat. Namun, sebagai Sahabat Tabung Haji, meletakkan orang lain dahulu sebelum kehendak peribadi merupakan satu pengorbanan yang harus ada. Apabila melihat jemaah yang berusia yang memikul beg berat, bersegera terus untuk tawarkan diri membantunya. Tatkala ternampak seorang jemaah yang keliru arah, terus tinggalkan barisan panjang di luar tandas untuk membantunya walaupun sudah lama menunggu giliran untuk ke tandas.
Ada waktunya menahan lapar dan dahaga kerana membantu jemaah lain serta mendahulukan mereka. Ada masanya tidak sempat menunaikan solat di tempat yang diinginkan kerana sibuk membantu jemaah yang tersesat. Tapi percayalah — setiap pengorbanan kecil itu tidak sia-sia. Allah Maha Mengetahui. Malah, kepercayaan atas pengorbanan ini dipandang Allah itulah sebenar-benar haji, apabila kita sanggup melepaskan hak kita demi kebajikan orang lain.
Cabaran yang Menguji Hati
Tidak dinafikan, ada hari-hari yang sangat mencabar. Keletihan, kesesakan, komunikasi yang terbatas dengan jemaah dari pelbagai negara, bahkan kadang-kadang tekanan dari jemaah sendiri yang panik dan marah. Pernah diri ini dimaki di hadapan orang ramai, namun dengan izin Allah, direzekikan kesabaran tatkala itu. Ternyata dalam semua cabaran itu mengajar erti sabar yang sebenar. Belajar untuk mendengar, bukan hanya dengan telinga, tetapi dengan hati. Cuba memahami bahawa setiap jemaah yang dijemput ke sini datang dari pelbagai latar belakang serta perjalanan hidup yang berbeza, dan semua mengharapkan yang terbaik untuk ibadah mereka.
Menjadi Sahabat Tabung Haji mengajar untuk tidak cepat menghukum, tetapi cepat menghulurkan tangan. Melihat setiap jemaah bukan sekadar sebagai ‘orang lain’ tetapi sebagai sebahagian daripada darah daging sendiri. Melihat dengan penuh kasih sayang. Bila kita mula melihat dengan mata hati, kita akan faham erti kasih sayang dan kemanusiaan adalah sebahagian daripada ibadah yang paling tinggi nilainya.
Kemanisan dalam Khidmat
Di sebalik segala cabaran, ada kemanisan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Melihat para jemaah kembali tersenyum setelah ditenangkan, atau bila warga emas mengucapkan terima kasih sambil menitiskan air mata, tidak sesalan mahupun keluhan yang melainkan rasa syukur kerana diberikan rezeki Allah untuk membantu. Bahkan mendapat sesuatu yang jauh lebih besar — ketenangan hati dan rasa dekat dengan Ilahi.
Pengalaman ini sejujurnya mendidik jiwa. Ia menyedarkan bahawa haji bukan semata-mata tentang menyempurnakan rukun, tetapi juga tentang bagaimana kita menyantuni manusia lain dalam perjalanan menuju Allah. Ia adalah refleksi sebenar tentang apa itu Islam, agama yang mendidik kita untuk saling menyantuni, membantu dan mencintai.
Haji yang Menghidupkan Jiwa
Kesimpulannya, menjadi Sahabat Tabung Haji di Tanah Suci sesungguhnya telah mengubah cara melihat dunia dari sudut pandang yang berbeza. Setiap kesusahan orang lain merupakan peluang untuk sahabat Tabung Haji berbakti. Dalam setiap keperluan yang timbul, ada ruang untuk mencintai Allah melalui manusia.
Inilah haji yang hidup. Haji yang bukan sekadar dilaksanakan, bukan hanya diterjemahkan dalam melakukan aktiviti fizikal, tetapi dihayati serta difahami. Haji yang menjadikan kita insan yang lebih peka, sabar, dan ikhlas. Dalam khidmat yang kecil itu, kini menemui makna cinta Ilahi yang sebenar. Semoga usaha yang tidak seberapa ini diterima Allah, amalan kita ketika mengerjakan haji diangkat dan direzekikan haji yang mabrur.
~Sahabat Tabung Haji: Wira tidak didendang~
Disediakan Oleh: HAJAH NOOR AZLINDA ZAINAL ABIDIN
E-mel: azlinda@umpsa.edu.my
Penulis merupakan Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Sahabat Tabung Haji 2014.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
- 292 views