Selamat Datang Pelajar Baharu Adab dan Etika Mahasiswa: Membina Insan Berilmu dan Berintegriti
CGPA sentiasa menjadi ukuran tentang kejayaan pelajar di menara gading pada hari ini. Ia diiringi pula dengan anugerah dan pingat serta sijil-sijil kokurikulum. Semua ini sangat penting tetapi ia belum cukup untuk menjadikan mahasiswa manusia yang sebenarnya. Apakah ia? Ia adalah adab dan etika yang mana ia tidak tercatat dalam transkrip dan pencapaian akademik.
Seorang mahasiswa mungkin cemerlang dalam peperiksaan, tetapi bagaimana jika dia tidak menghormati pensyarah? Mungkin hebat dalam pembentangan, tetapi tidak jujur dalam tugasan? Mungkin aktif di media sosial, tetapi menggunakan bahasa yang menyakiti orang lain? Inilah asas kepada pentingnya adab dan etika kepada mahasiswa universiti pada hari ini.
Sebagai mahasiswa universiti, pencapaian akademik perlu disertai dengan adab, etika dan integriti. Mahasiswa yang cemerlang bukan hanya dinilai berdasarkan keputusan peperiksaan, tetapi juga melalui cara mereka berfikir, berkomunikasi, membuat keputusan, menghormati orang lain, jujur dan bertanggungjawab.
Perkataan adab adalah merujuk kepada tingkah laku yang baik dan sopan dalam hubungan sesama manusia. Manakala etika pula merujuk kepada prinsip dan nilai yang baik yang membimbing seseorang dari melakukan perkara yang tidak baik.
Adab dalam Menuntut Ilmu
Perkara pertama yang perlu mahasiswa fahami adalah adab dalam menuntut ilmu. Haruslah diketahui bahawa menyambung pengajian di peringkat universiti bukan sekadar untuk mendapat markah dan juga ilmu. Malahan adab menuntut ilmu juga perlu diketahui dan diamalkan seperti menghadiri kuliah, membuat persediaan (banyak membaca dan membuat rujukan) memberi perhatian di dalam kelas, mematuhi masa, menghormati pensyarah, menjaga kebersihan dewan kuliah, tidak meniru dalam peperiksaan, mengelakkan plagiarisme, tidak merosakkan harta benda universiti, menjaga nama baik universiti dan patuh pada arahan universiti dari semasa ke semasa. Perkara yang perlu dielakkan contohnya seperti meniru tugasan senior atau pelajar lain, melakukan plagiarisme, menyalin jawapan atau menyerahkan hasil kerja orang lain sebagai karya sendiri serta melakukan ‘copy-paste’ dengan mengambil keseluruhan bahan dari sumber lain tanpa rujukan dan penambahbaikan. Mungkin ini memberikan keuntungan jangka pendek, tetapi ia tidak membina ilmu, kemahiran atau karakter seseorang. Kejayaan akademik yang sebenar adalah dari usaha sendiri.
Adab terhadap Pensyarah
Hubungan yang baik perlu ada antara mahasiswa dan pensyarah bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif. Mahasiswa perlu menjaga adab bila bercakap dengan pensyarah, menggunakan perkataan yang sopan bila berbicara, menghormati privacy pensyarah iaitu tidak menganggu pensyarah di luar waktu kerja seperti menghantar mesej kepada pensyarah pada tengah malam. Pelajar perlu berhujah secara berhemah dengan pensyarah dan sentiasa bekerjasama dengan pensyarah. Dalam era digital, hampir semua maklumat boleh dicari dalam beberapa saat dari pelbagai sumber. Namun, hubungan antara mahasiswa dengan pensyarah tetap penting. Pensyarah perlu dirujuk dalam mendapatkan ilmu dan membimbing mahasiswa memahami sesuatu perkara dengan lebih kritis dan mendalam. Pelajar harus menghormati pensyarah dengan cara memberikan alasan yang munasabah jika lewat datang kelas atau tidak dapat hadir kuliah. Tidak salah pelajar menggunakan teknologi untuk berkomunikasi dengan pensyarah, yang penting ialah cara kita berkomunikasi.

Pensyarah adalah pembimbing pelajar
Adab dengan Rakan-rakan
Pelajar akan mempelajari pelbagai teori dan konsep di bilik kuliah dan kemahiran di bilik makmal. Pelajar tidak dapat lari dari membuat tugasan berkumpulan dan di sinilah kita belajar bekerjasama. Pelajar akan berdepan dengan perbezaan pendapat dan pemikiran. Selain itu, kerja berkumpulan akan melatih belajar menghormati pendapat dan pandangan orang lain. Dalam kerja berkumpulan, jangan hanya mahu menjadi ketua. Belajarlah menjadi pendengar. Jangan hanya mahu idea sendiri diterima. Berikan ruang kepada idea orang lain. Ini kerana dalam dunia sebenar, kejayaan jarang dicapai seorang diri. Mahasiswa sudah pastinya akan bertemu dan berkenalan dengan pelbagai sahabat dari pelbagai negeri, pemikiran, agama dan budaya. Untuk itu, mahasiswa perlu ada sikap saling menghormati, bekerjasama dan bertolak ansur. Mahasiswa perlu menggunakan peluang ini untuk belajar memahami orang lain, bukannya menjadi punca konflik atau perpecahan.

Kerja Berkumpulan merupakan salah satu elemen penting dalam memupuk kerja berpasukan
Etika menggunakan teknologi
Kehidupan mahasiswa hari ini tidak dapat lari daripada media sosial dan komunikasi digital. Oleh itu, adab dan etika juga perlu diamalkan dalam ruang maya. Dalam hal ini, mahasiswa perlu berhati-hati ketika berkongsi maklumat, menulis komen atau berkomunikasi melalui aplikasi seperti WhatsApp, Telegram, Threads dan lain-lain media sosial. Mahasiswa perlu mengelak dari menggunakan bahasa yang kasar, memberikan maklumat palsu, penghinaan, serta pendedahan maklumat peribadi tanpa kebenaran boleh menjejaskan imej diri sendiri dan juga universiti.
Integriti sebagai Mahasiswa
Integriti bermaksud kejujuran, amanah dan tanggungjawab walaupun tiada orang yang melihat. Dalam konteks universiti, integriti dapat dilihat melalui kejujuran dalam menyiapkan tugasan, peperiksaan, penulisan, penyelidikan, kehadiran ke kelas serta penggunaan sumber dalam menyiapkan tugasan akademik. Adab dan etika yang dipelajari di universiti akan di bawa ke alam pekerjaan dan hidup bermasyarakat nanti. Nilai integriti merupakan nilai yang diperlukan dalam semua bidang pekerjaan. Pengenalan subjek Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) diharap menjadi asas dalam memperkenalkan pelajar kepada kepentingan integriti dalam konteks yang lebih luas.
Adab dan Etika di Era Kecerdasan Buatan (AI)
Dalam Era Kecerdasan Buatan (AI), teknologi semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan akademik mahasiswa. AI boleh membantu mencari idea, memahami konsep, memperbaiki bahasa dan meneroka sesuatu topik. Namun, AI hanyalah alat, integriti tetap tanggungjawab manusia. Mahasiswa perlu memastikan setiap hasil kerja benar-benar mencerminkan pemahaman, usaha dan kejujuran diri sendiri. Maklumat yang dijana AI juga perlu disemak ketepatannya dan penggunaannya mestilah mematuhi polisi akademik universiti. AI boleh membantu menghasilkan jawapan, tetapi hanya manusia yang menentukan nilai di sebalik jawapan itu.
Secara keseluruhannya, kecemerlangan seorang mahasiswa tidak hanya diukur melalui keputusan peperiksaan semata-mata, sebaliknya tercermin melalui pembentukan adab, etika, dan integriti yang utuh, sama ada dalam interaksi bersama pensyarah, kerjasama dalam kerja berkumpulan, penggunaan media sosial, mahupun pemanfaatan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), nilai-nilai murni ini menjadi panduan penting dalam memastikan ilmu yang dituntut benar-benar memberi manfaat. Kejayaan akademik yang dicapai melalui usaha sendiri serta nilai kejujuran bukan sahaja membina karakter mahasiswa yang terpuji di universiti, malah menjadi bekalan utama dalam mendepani alam pekerjaan serta kehidupan bermasyarakat kelak.
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Oleh: Dr. Hasnah Hussiin
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my
- 49 views
Reports by: