Skip to main content

Ulul Albab UMPSA: Mengenal Al-Quran, Mendekati Bahasa Arab, Membina Jiwa Mahasiswa

Kita boleh berbincang tentang teknologi, kejuruteraan, kecerdasan buatan dan pelbagai istilah akademik dengan penuh yakin. Namun, apabila ditanya tentang al-Quran, kita kadang-kadang terdiam seketika. Bukan kerana kita tidak mencintainya. Mungkin kerana kita belum benar-benar mengenalinya. Bagi mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), al-Quran sepatutnya tidak berada jauh daripada kehidupan kampus. Kita datang ke universiti untuk membina ilmu, kemahiran, karakter dan masa depan. Dalam perjalanan itu, kita juga memerlukan panduan yang membina hati. Al-Quran bukan sekadar kitab yang dibaca ketika Ramadan. Ia bukan sekadar bacaan dalam solat. Al-Quran ialah petunjuk yang membantu kita memahami kehidupan. Menariknya, semakin kita mengenali al-Quran, semakin banyak perkara yang membuat kita kagum.

Daripada 114 surah dalam al-Quran, secara umum 86 surah dikategorikan sebagai Makkiyyah dan 28 surah sebagai Madaniyyah. Pembahagian ini membantu kita memahami perjalanan dakwah Rasulullah SAW. Ayat Makkiyyah banyak menekankan tauhid, iman dan pembinaan jiwa. Ayat Madaniyyah pula banyak menyentuh kehidupan bermasyarakat, hukum dan pembentukan umat.  Al-Quran juga mempunyai 29 surah yang dimulakan dengan huruf muqattaah seperti الم, الر dan حم. Sebanyak 14 huruf digunakan dalam rangkaian huruf tersebut. Terdapat tujuh surah yang bermula dengan حم, lima dengan الر dan dua dengan طسم. Hampir setiap surah pula dimulakan dengan بسم الله الرحمن الرحيم. Surah al Taubah menjadi pengecualian. Menariknya, basmalah muncul sekali lagi dalam ayat 30 Surah al Naml. Sebab itu basmalah disebut sebanyak 114 kali dalam keseluruhan al-Quran.

Al-Quran juga mempunyai 30 juzuk dan 60 hizb. Pembahagian ini memberikan ruang kepada kita untuk menyusun bacaan mengikut kemampuan. Kita tidak perlu menunggu cuti semester. Tidak perlu menunggu Ramadan. Tidak perlu menunggu menjadi seorang yang sempurna. Mulakan dengan satu halaman sehari. Kemudian dua halaman. Baca sedikit tetapi istiqamah. Ada pula 15 tempat sujud tilawah menurut kiraan yang masyhur. Surah al Hajj mempunyai dua tempat sujud. Al-Quran bukan hanya dibaca dengan lidah. Pada tempat tertentu, ia mengajar kita untuk tunduk kepada Allah SWT. 

Surah al-Fatihah pula dikenali sebagai Umm al-Kitab. Kita membacanya dalam setiap rakaat solat. Namun, berapa kali kita benar-benar berhenti dan memahami maksudnya? Kita memuji Allah SWT, menyatakan pengabdian kepada-Nya, memohon pertolongan dan meminta petunjuk ke jalan yang lurus. Surah al-Baqarah dan Ali Imran pula dikenali sebagai al-Zahrawan. Kedua-duanya membawa panduan besar tentang iman, ilmu, kehidupan, keluarga dan masyarakat. Inilah yang menarik tentang al-Quran. Kita bermula dengan mengenali fakta. Kemudian kita mengenali surah. Kita membaca terjemahan. Kita memahami mesej. Akhirnya, kita mula bertanya kepada diri sendiri, “Apa yang Allah SWT mahu aku ubah melalui ayat ini?”

Persoalannya, bagaimana mahasiswa UMPSA yang sibuk dengan kuliah, tugasan, projek, peperiksaan, persatuan dan kehidupan kampus boleh membina hubungan yang lebih dekat dengan al-Quran? Jawapannya ialah dengan menyediakan ruang yang tersusun dan fleksibel untuk belajar. Berita baiknya, peluang itu kini ada. Bagi mahasiswa yang sudah lama menyimpan impian untuk menghafaz al-Quran, tetapi tidak tahu bagaimana hendak bermula, inilah masanya. Bagi yang sudah menghafaz beberapa juzuk tetapi memerlukan bimbingan untuk mengukuhkan hafazan, peluang ini juga terbuka. Bagi yang mahu memahami asas Ulum Al-Quran, terdapat ruang untuk mempelajarinya secara lebih sistematik.

Melalui tawaran pengajian Tahfiz Al-Quran di UMPSA, peserta boleh mengikuti pakej pembelajaran 1 hingga 30 juzuk secara fleksibel dengan bimbingan tenaga pengajar berpengalaman. Program ini merangkumi tiga komponen utama, iaitu Hafazan Al-Quran, Pengajian Asas Ulum Al-Quran dan latihan pengukuhan hafazan melalui daurah. Lebih menarik, program ini selari dengan hasrat membangunkan pendidikan yang menggabungkan pengajian profesional dan pengajian al-Quran melalui pendekatan TVET Tahfiz. Ia juga membuka ruang kepada mahasiswa untuk membina diri sebagai insan berilmu, berkemahiran dan mempunyai asas nilai yang kukuh.

Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) turut membantu menyediakan Program Pensijilan Ulul Albab di UMPSA. Ini memberikan satu lagi ruang kepada warga universiti yang mahu memperkukuh hubungan dengan al-Quran tanpa perlu meninggalkan bidang profesional yang sedang diceburi. Dengan yuran yang ditawarkan serendah RM550 bagi setiap semester, peluang ini wajar dipertimbangkan oleh mahasiswa UMPSA yang benar benar mahu memulakan langkah.

Jangan fikir, “Aku sibuk.”

Mungkin kita memang sibuk. Tetapi beberapa minit yang kita luangkan bersama al-Quran mungkin menjadi antara masa paling bernilai dalam kehidupan kita di universiti. Ketika gagal dalam peperiksaan, al-Quran mengajar kita tentang sabar. Ketika berjaya, al-Quran mengajar kita tentang syukur. Ketika keliru menentukan masa depan, al-Quran mengingatkan kita tentang petunjuk. Ketika kecewa dengan diri sendiri, al-Quran mengajar kita supaya tidak berputus asa daripada rahmat Allah SWT. 

Kita tidak perlu menunggu menjadi hafiz untuk mencintai al-Quran. Kita tidak perlu menunggu pandai membaca untuk bermula. Kita tidak perlu menunggu masa lapang. Kita bermula dengan apa yang kita mampu. Kenal al-Quran. Baca al-Quran. Fahami al-Quran. Hafaz al-Quran.  Amalkan al-Quran. Sebagai mahasiswa UMPSA, kita sedang membina masa depan dengan ilmu dan kemahiran. Maka, marilah kita bina masa depan itu bersama petunjuk wahyu. Kalau selama ini al-Quran hanya berada di rak, mungkin sudah tiba masanya ia berada lebih dekat di hati. Jom sertai pengajian Tahfiz Al-Quran UMPSA. Mungkin satu halaman yang kita baca hari ini menjadi titik perubahan besar dalam hidup kita esok.

Penulis ialah Guru Bahasa Kanan, Pusat Bahasa Moden (PBM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).Rencana ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Baihaqi

Oleh: Mohammad Baihaqi Hasni 
E-mel: baihaqi@umpsa.edu.my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri