UMPSA Buktikan Kemampuan Lahirkan Graduan untuk Masyarakat
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) sebagai sebuah universiti awam (UA) yang boleh diumpamakan ‘setahun jagung’ jika dibandingkan dengan UA yang lain yang telah lama bertapak seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan lain-lain. Kajian oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terhadap pengesanan graduan pelajar UMPSA yang mengagumkan telah membuktikan bahawa kemampuan universiti ini sebagai sebuah universiti yang baharu.
Kejayaan UMPSA ini sebenarnya ada dua iaitu pertama mampu melahirkan graduan yang menjadi rebutan majikan dan yang kedua kemampuan graduan UMPSA untuk berdikari membina kerjaya sendiri seperti membina empayar perniagaan sendiri. Pendek kata, majoriti graduan UMPSA tidak ada yang ketinggalan dan tertinggal dalam memberi sumbangan kepada masyarakat dan industri.
Penulisan ini cuba mengimbau semula antara usaha-usaha yang telah dilakukan oleh UMPSA sejak 22 tahun yang lalu. Sesuai dengan slogan UMPSA iaitu ‘Teknologi untuk Masyarakat’ membawa maksud membangun teknologi untuk kegunaan masyarakat dan industri sangat membantu usaha-usaha ini.
Berdasarkan kepada perangkaan yang diberikan oleh KPT di atas adalah 99.1% Kadar Bekerja Graduan (GE) dan 99.0% Kadar Kebolehpasaran Graduan (GM) bagi tahun 2024. Ini adalah peratus yang sangat tinggi. Persoalan yang timbul adalah adakah peratus kejayaan ini disebabkan oleh peranan universiti atau pelajar itu sendiri? Bak kata pepatah Melayu, ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’. Perumpamaan ini rasanya sudah menjawab persoalan di atas. Mari kita lihat dan nilai semula apakah yang telah dilakukan oleh UMPSA setakat ini. Pertama sekali adalah keupayaan tenaga pengajarnya. Di sebalik universiti yang gah, pastinya peranan pensyarah sangat penting sebagai pendidik. Acuannya adalah para pensyarahnya.
Tidak dinafikan, UMPSA memiliki pensyarah dan staf pengajar yang berkualiti, berinspirasi, bervisi, bermotivasi dan mempunyai semangat patriostisme yang tinggi. Staf akademik yang berkualiti telah menghasilkan penyelidikan yang berkualiti, penerbitan yang berimpak tinggi dan akhirnya melahirkan para graduan yang cemerlang, berinovasi, berkemahiran tinggi serta berdaya saing. Kesemua nilai-nilai ini teradun dalam penyampaian mereka di dalam dan luar kelas. Percaya atau tidak, semangat patriotisme yang tinggi menjadi asas kepada semangat untuk mendidik anak bangsa. Tanpa semangat patriotisme yang tinggi, tidak mungkin para pensyarah mampu mengangkat UMPSA seperti mana hari ini. Semenjak penubuhannya, pensyarah UMPSA telah mencapai banyak anugerah penyelidikan di dalam dan luar negara. Hasil penyelidikan inilah yang membuktikan bahawa seramai 12 orang pensyarah UMPSA ini telah mendapat pengiktiran sebagai saintis terbaik dunia dalam bidang masing-masing.
Yang kedua ialah beberapa kursus yang ditawarkan di UMPSA juga turut diiktiraf oleh dunia. Ini bukan calang-calang penghargaan untuk UA di Malaysia di bawah 20 tahun. Enam subjek ditawarkan UMPSA tersenarai antara terbaik di dunia berdasarkan penarafan QS World University Rankings (QSWUR) by Subject bagi tahun 2022. Dalam hal ini, subjek Kejuruteraan Kimia berada pada kelompok 150-200 terbaik dunia dan antara lima terbaik di negara ini manakala Kejuruteraan dan Teknologi di tangga ke-357, subjek Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan pembuatan (301-350), Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (401-450) dan Kimia (451-500) dalam kelompok terbaik dunia dan ke-10 terbaik di Malaysia. Manakala subjek Sains Komputer dan Sistem Maklumat berada di kedudukan 601-650 terbaik dunia dan berada dalam kelompok 15 terbaik negara.
Yang ketiga, UMPSA juga tidak ketinggalan mendapat tempat dalam ranking dunia. Ini telah menjadi tarikan kepada majikan di luar sana terhadap graduan UMPSA. Antaranya, UMPSA diiktiraf dunia sebagai universiti ke-146 terbaik dunia di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024. Pencapaian ini secara tidak langsung meletakkan UMPSA berada di kedudukan nombor satu terbaik dalam kalangan Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan ketiga terbaik di Malaysia. UMPSA juga telah menerima pengiktirafan kebolehpasaran dalam bidang Automotif dengan 6 bintang Employers' Choice of University oleh Talentbank.
Pada tahun 2025, UMPSA telah membanggakan masyarakat sekali lagi apabila tersenarai 163 terbaik di Asia dengan merujuk kepada penarafan Times Higher Education Asia University Rankings 2025 (THE AUR 2025) dan masih mengekalkan tempat terbaik antara MTUN di Malaysia. Penilaian 2025 ini juga membuktikan bahawa UMPSA telah berjaya memperbaiki kedudukan daripada 166 terbaik Asia kepada 163 terbaik Asia dan ini turut meletakkan UMPSA di kedudukan kesembilan di Malaysia.
Yang keempat, pengajaran dan pembelajaran di UMPSA juga sangat membantu dalam melahirkan graduan yang berinovatif, kreatif, profesional, beretika dan beradab. Pengalaman yang pelajar UMPSA peroleh di sini sangat mahal. Selain pengajaran dan pembelajaran (PnP) secara bersemuka dan dalam talian (online), pelajar UMPSA juga telah didedahkan dengan global classroom, hands on, problem solving, soft skills serta turun padang bersama komuniti.
Yang kelima, hubungan yang erat dengan pihak industri dengan mengadakan kerjasama penyelidikan dan kemahiran telah berjaya memberikan pelajar dunia realiti sebenar alam pekerjaan khususnya di sektor perindustrian. Apabila pelajar ini keluar atau masih dalam latihan industri, majikan sudah cop untuk terus bekerja dengan mereka.
Yang keenam, UMPSA merupakan UA pertama di Malaysia yang berkolaborasi dengan rakan kerjasama universiti luar negara melibatkan Jerman, China dan Kazakhstan bagi Program Kerjasama Akademik Ijazah Dual. Pengantarabangsaan program ijazah dual telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya dan apa yang membanggakan, hasil dari program ini kebolehpasaran graduan telah berjaya di mana 96 peratus mendapat pekerjaan. Program tersebut adalah program Ijazah Dual Sarjana Muda Kejuruteraan Automotif dan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik UMPSA dengan Karlsruhe University of Applied Science (HKA) Jerman. Ia mencerminkan kejayaan universiti ini dalam usaha meluaskan jaringan kerjasama antarabangsa.
Merenung semula pepatah Melayu, ‘yang bulat tidak akan datang bergolek’ dan ‘tidak selamanya kita akan berada di kemuncak’ perlu menjadi pegangan universiti selamanya. Ini bermakna, kita perlu selalu perbaiki kesilapan, sentiasa membuat pembaharuan dan mencari jalan bagaimana untuk terus kekal relevan sepanjang zaman. Dalam hal ini, adalah penting untuk mengekalkan jati diri, identiti dan tidak mengikut telunjuk orang lain. UMPSA akan terus kekal sebagai salah satu MTUN yang mempunyai identiti tersendiri dan sentiasa mewujudkan hubungan rapat dengan pihak industri dan komuniti setempat.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
E-mel: hasnah@umpsa.edu.my
- 201 views