UMPSA dalam Arus Globalisasi Pendidikan Tinggi berasaskan SPIROS
Universiti Tanpa Sempadan
Dalam dunia yang semakin terhubung, universiti tidak lagi wajar dilihat sebagai menara gading yang terasing. Ia kini menjadi gerbang peluang, membentuk idea, bakat, dan jaringan kerjasama yang merentas sempadan.
Di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), perjalanan ini dipandu oleh falsafah Skills, Perfection, Impact, Resilience, Optimisation, Sustainability (SPIROS). Pengantarabangsaan bagi UMPSA bukan sekadar angka atau kedudukan dalam penarafan, tetapi usaha mewujudkan pengalaman manusiawi yang bermakna, sebuah ruang di mana pelajar, akademia, dan komuniti berkembang bersama melalui perkongsian ilmu serta budaya.
Setiap perbincangan di bilik kuliah, setiap kolaborasi di makmal, dan setiap detik santai di kafe kolej kediaman adalah momen kecil yang membawa dunia ke UMPSA dan sebaliknya.
Diversiti: Teras Kekuatan Kita
Kehadiran pelajar antarabangsa di UMPSA memperkaya suasana pembelajaran, menambah horizon baharu, serta membuka ruang interaksi rentas budaya.
Pelajar antarabangsa hadir melalui laluan khas dengan bayaran yuran penuh, sementara pelajar tempatan tetap menjadi nadi utama kampus. Namun, kehadiran rakan dari Asia, Timur Tengah, Afrika, dan rantau lain menjadikan persekitaran pembelajaran lebih hidup dan berwarna. Mereka membawa bersama budaya, perspektif, dan pengalaman berbeza, melahirkan empati, toleransi, dan pandangan global dalam kalangan pelajar Malaysia. Nilai-nilai ini tidak mungkin diperoleh hanya daripada buku.
Inilah terjemahan sebenar SPIROS: Skills diasah melalui kerjasama rentas budaya, manakala Perfection diperkukuh dengan kepelbagaian perspektif. Diversiti bukan sekadar kewujudan perbezaan, tetapi sumber kekuatan untuk melahirkan insan matang, terbuka, dan berdaya saing di pentas global.
Sumbangan Ekonomi dan Autonomi Kewangan
Selain memperkayakan ilmu, pelajar antarabangsa turut menjadi rakan strategik dalam menjamin kelestarian universiti. Yuran penuh yang dibayar menyumbang kepada daya tahan kewangan UMPSA, membolehkan universiti menambah baik kemudahan serta memperkukuh penyelidikan tanpa bergantung sepenuhnya pada dana kerajaan.
Kehadiran mereka juga menggerakkan ekonomi setempat, daripada perumahan, makanan, pengangkutan hingga kepada perkhidmatan komuniti. Inilah gambaran Resilience dan Optimisation dalam SPIROS – keupayaan UMPSA mengurus sumber secara lestari, sambil kekal berdaya saing.
Duta Kecil UMPSA
Apabila pelajar antarabangsa menamatkan pengajian, mereka tidak sekadar membawa ijazah, mereka membawa nama UMPSA dan Malaysia ke persada dunia. Mereka menjadi duta kecil, membina jaringan sepanjang hayat di tanah air masing-masing.
Hubungan ini berkembang menjadi kerjasama penyelidikan, projek inovasi rentas negara, serta pertukaran akademik baharu. Alumni antarabangsa adalah jambatan hidup di antara UMPSA dengan dunia. Inilah Impact sebenar pengantarabangsaan.
Malaysia Sebagai Pemain Global yang Berwibawa
Permintaan global terhadap pendidikan tinggi semakin meningkat. Negara-negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Australia telah lama memanfaatkan peluang ini. Malaysia kini muncul sebagai hab pendidikan tinggi yang diyakini dengan kombinasi unik kualiti, kos berpatutan, dan kepelbagaian budaya.
UMPSA menyumbang kepada agenda ini dengan menawarkan program akademik mapan, laluan mobiliti global, serta jaringan penyelidikan berimpak. Fokus universiti bukan pada perlumbaan angka semata-mata, tetapi pada kualiti, relevansi, dan nilai kemanusiaan.
Internationalisation at Home: Kampus Sebagai Ruang Global
Tidak semua pelajar mampu keluar negara. Namun, di UMPSA, pengalaman global tersedia di kampus sendiri. Konsep internationalisation at home menjadikan diversiti sebahagian daripada kehidupan seharian.
Sama ada melalui perbincangan kelas, pertandingan inovasi, atau sekadar perbualan santai di kantin, pelajar UMPSA memperoleh pendedahan global tanpa perlu meninggalkan Pekan atau Gambang. Graduan UMPSA bukan sahaja jurutera, saintis atau pengurus, tetapi juga pemimpin yang bersedia menghadapi dunia VUCA (Volatile, Uncertain, Complex, Ambiguous). Inilah inti pati Skills dan Resilience dalam SPIROS.

Kualiti dan Pengiktirafan: Daya Tarikan Global
UMPSA terus menjadi pilihan pelajar antarabangsa kerana kualiti akademik serta pengiktirafan bertaraf dunia yang dimiliki:
I. QS World University Rankings (QSWUR) 2025: UMPSA berada di kedudukan ke-609 terbaik dunia, mencerminkan peningkatan berterusan dalam reputasi akademik dan kualiti penyelidikan.
II. THE World University Rankings (THE WUR) 2025: UMPSA tersenarai dalam julat 601–800, mengukuhkan lagi kedudukan dalam kalangan universiti berprestij dunia.
III. THE Impact Rankings 2025: UMPSA mencapai kedudukan ke-38 dunia untuk SDG 1 (No Poverty), membuktikan komitmen terhadap agenda sosial, kelestarian, dan impak positif kepada komuniti.
IV. UI GreenMetric World University Rankings 2025: UMPSA berada di tangga ke-62 dunia, sekali gus menegaskan kedudukan sebagai universiti teknikal lestari berteraskan agenda hijau.
Dengan pencapaian ini, UMPSA terus unggul sebagai universiti teknikal terkemuka dalam rangkaian MTUN, memperkukuh keyakinan pelajar antarabangsa terhadap kualiti pendidikan dan masa depan yang lestari.
Kejayaan ini bukan soal prestij semata, tetapi soal kepercayaan bahawa UMPSA mampu menawarkan pendidikan berkualiti, penyelidikan berimpak, dan masa depan yang lestari.

Global dengan Tujuan
Bagi UMPSA, pengantarabangsaan bukan untuk menggantikan pelajar tempatan, tetapi untuk memperkasa semua pelajar, memperluas wawasan, dan melahirkan graduan yang mampu berdiri megah di pentas dunia.
SPIROS kekal sebagai kompas kami:
Skills untuk tenaga kerja tanpa sempadan,
Perfection melalui standard tinggi,
Impact yang melampaui penarafan,
Resilience menghadapi ketidaktentuan,
Optimisation dalam pengurusan sumber, dan
Sustainability demi generasi masa depan.
UMPSA tidak mengejar angka, tetapi membina modal insan, memperkasa jaringan, dan menegakkan tujuan. Kami membina jambatan ilmu, mengukuhkan diplomasi melalui pendidikan, dan menjadikan Malaysia sebuah hab pendidikan tinggi yang diyakini dunia.
UMPSA: Global dengan Tujuan, Global dengan Kemanusiaan, Global dengan Impak.

Oleh: PROFESOR MADYA TS. DR. HERMA DINA SETIABUDI
E-mel: herma@umpsa.edu.my
Pengarah
UMPSA Global
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
Oleh: NUR EZZATI MOHD NASIR
E-mel: nurezzati@umpsa.edu.my
Eksekutif
UMPSA Global
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)
- 132 views