Skip to main content

Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Legasi Keunggulan Tamadun Melayu

Pada 20 Julai 2024, telah berlangsung Istiadat Pertabalan Agong yang ke-17 di Istana Negara, Kuala Lumpur. Istiadat Pertabalan Agong merupakan sebuah majlis yang penuh istiadat bagi merasmikan penaikan takhta seseorang raja pemerintah yang telah dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong di Malaysia. Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan pelantikan ini berlangsung selama lima tahun berkuat kuasa mulai 31 Januari 2024. 

Bagi negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat, kewujudan institusi YDPA merupakan satu-satunya jawatan yang unik di dunia. Yang di-Pertuan Agong dipilih oleh Majlis Raja-raja dalam kalangan sembilan Raja Melayu bagi tempoh lima tahun, sekali gus tidak memegang jawatan itu seumur hidup seperti raja lain di dunia. 

 Gambar Sumber dari ASTRO Radio News
Gambar Sumber dari ASTRO Radio News

Institusi YDPA merupakan legasi ketuanan Melayu dan peradaban Melayu di Alam Melayu sejak sekian lama. Sebagaimana yang diketahui umum, Kerajaan Melayu Melaka menjadi lambang keunggulan Kesultanan Melayu di Alam Melayu sejak abad ke-15. Tanah Melayu pada waktu itu dikunjungi oleh pedagang dari pelbagai negara bukan sahaja kerana kepentingan perdagangan, malahan keunggulan dan kegemilangan sistem pemerintahan kerajaan Melayu yang diterajui oleh kerajaan Melaka telah menjadi faktor tarikan penting pedagang untuk datang ke sini. 

Semasa Tanah Melayu diduduki oleh British, kedudukan institusi beraja masih dikekalkan. Selepas kemerdekaan, sehingga hari ini, institusi YDPA tetap signifikan dalam sistem pemerintahan negara dan rakyat. Kedudukan YDPA disanjung tinggi dan berperanan penting dalam kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Bagi sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dengan Raja Berperlembagaan, 

YDPA merupakan institusi tertinggi berdasarkan Perlembagaan yang mengetuai Persekutuan Malaysia sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 32(1) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, sebagai ketua negara, YDPA mempunyai peranan yang sangat besar terhadap tiga cabang utama negara, iaitu Eksekutif, Perundangan dan juga Kehakiman. Kewujudan institusi YDPA dan Majlis Raja-r aja sangat penting bagi menjaga Perlembagaan Persekutuan, mempertahankan agama Islam, bahasa Melayu dan keistimewaan orang Melayu dan hak kewarganegaraan orang bukan Melayu. Dengan lain perkataan, perkara asas kepada keunggulan tamadun Melayu terpelihara di bawah pemerintahan YDPA.

 

Sumber Gambar: https://www.utusan.com.my/nasional/2024/07
Sumber Gambar: https://www.utusan.com.my/nasional/2024/07

Selain itu, peranan penting YDPA adalah menjadi lambang perpaduan dan kesetiaan rakyat kepada negara. Jika kita lihat kepada Kewujudan Ruku Negara, Prinsip Kedua adalah Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Ini merupakan perkara asas yang perlu ada dalam diri setiap warganegara Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum, agama dan latar belakang. 

Dalam era moden ini, cabaran seperti polarisasi kaum, politik dan agama sering kali timbul. Jadi, adalah menjadi peranan YDPA untuk menyampaikan mesej-mesej yang menggalakkan perpaduan dan toleransi. Ini penting dalam mengekalkan keharmonian di negara ini. Selain itu, tradisi turun padang perlu menjadi kebiasaan bagi pemerintah bagi merapatkan lagi kesetiaan rakyat kepada raja dan negara. Pemerintah perlu setiap masa mengambil tahu keadaan rakyat dan permasalahan rakyat tidak kira waktu. Mengambil contoh sahabat Rasulullah SAW iaitu Saidina Umar al-Khattab yang sentiasa prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya di mana beliau turun ke jalan di Madinah serta kampung pada waktu malam hanya untuk melihat keadaan hal ehwal rakyat. Selain itu, kisah beliau yang sanggup memikul guni gandum dan memasak makanan untuk rakyat miskin juga perlu dijadikan teladan. 

Oleh itu, pemimpin hebat pada masa kini juga perlu bersikap prihatin seperti Saidina Umar di mana kesejahteraan rakyat atau masyarakat diberi keutamaan. Walaupun kisah ini sudah menjadi lipatan sejarah, namun ia tetap relevan terpakai sehingga ke hari ini. Matlamat tetap sama, cuma pendekatan mungkin berbeza sesuai dengan situasi semasa. Dalam hal ini, kepemimpinan negara ini perlu menepati ciri-ciri berkenaan bagi menjiwai Rakyat dan Pemimpin berpisah tiada. 

Sebagai Ketua Negara, baginda berperanan penting dalam memastikan pentadbiran negara berada dalam landasan betul mengikut acuan Perlembagaan Persekutuan. Baginda mesti tegas dalam mempertahankan kesucian agama Islam agama Persekutuan dan perkara berkaitan kenegaraan bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara. 

Salah satu ciri penting bagi seorang pemimpin di era millennium ini adalah ketegasan dan kebijaksanaan. Ciri ini perlu ada dalam diri setiap pemimpin bagi memastikan anasir luar tidak mudah menganggu gugat kedaulatan dan kemerdekaan negara.  Oleh itu, semua pihak perlu menghormati institusi YDPA untuk kesinambungan keamanan dan kemakmuran negara.

Saya akhiri penulisan ini dengan serangkap pantun. 

Dari Johor sampai ke Tumpat
Semua negeri sudah berdaulat
Malaysia masyhur di serata tempat
Di bawah pemerintahan Agong yang tepat

Malaysia Madani, Negara Disegani
Daulat Tuanku

Dr. Hasnah Hussiin, SMP
Dr. Hasnah Hussiin, SMP

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). 
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian rasmi Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

E-mel    : hasnah@umpsa.edu.my

Reports by:
Admin UMP News