Ziarah Prihatin UMPSA santuni mahasiswa melangkah masuk universiti
Bagi kebanyakan keluarga, menerima surat tawaran melanjutkan pengajian ke universiti merupakan detik yang amat membanggakan. Namun, bagi sebahagian yang lain, kegembiraan itu sering disusuli dengan pelbagai persoalan mengenai kemampuan untuk menyediakan perbelanjaan awal kemasukan ke universiti, termasuk yuran pengajian, kos perjalanan, penginapan, komputer riba dan keperluan pembelajaran yang lain.
Menyedari hakikat bahawa faktor kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pendidikan tinggi, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengambil pendekatan proaktif dengan turun padang melalui Program Ziarah Prihatin, iaitu satu inisiatif yang mendekati sendiri bakal mahasiswa dan keluarga mereka bagi mengenal pasti keperluan sebenar serta menyalurkan bantuan secara bersasar.
Lebih daripada sekadar sebuah program kebajikan, Ziarah Prihatin menjadi lambang komitmen UMPSA dalam memastikan setiap pelajar yang berjaya menerima tawaran pengajian mempunyai peluang yang sama untuk melangkah ke menara gading tanpa dibelenggu kekangan kewangan.
Program yang dilaksanakan lebih sepuluh tahun ini juga memperlihatkan pendekatan kepimpinan universiti yang meletakkan nilai ihsan, empati dan kebersamaan sebagai asas utama dalam membentuk ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif dan mampan. Pendekatan turun padang menjadi antara keutamaan dalam memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa diberikan perhatian.
Baru-baru ini, Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias sendiri mengetuai siri Program Ziarah Prihatin ke seluruh negara bersama barisan pengurusan universiti, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Yayasan UMPSA serta wakil fakulti bagi menyantuni bakal pelajar yang dikenal pasti memerlukan bantuan.
Setiap lawatan bukan sekadar bertujuan menyampaikan sumbangan, malah menjadi ruang untuk memahami sendiri realiti kehidupan keluarga pelajar, mengenal pasti cabaran sebenar yang mereka hadapi dan memastikan universiti dapat menyediakan bentuk bantuan yang bersesuaian.
Pendekatan ini selari dengan aspirasi UMPSA yang mahu memastikan tiada pelajar tercicir daripada sistem pendidikan tinggi hanya kerana faktor ekonomi.
Malah, UMPSA turut memberi jaminan bahawa pelajar boleh mendaftar terlebih dahulu walaupun masih berdepan kekangan kewangan, sementara urusan bantuan dan pembayaran diselaraskan kemudian melalui pelbagai skim kebajikan yang disediakan oleh universiti.
Program Ziarah Prihatin bukanlah tertumpu di sekitar Pahang semata-mata, sebaliknya dilaksanakan secara menyeluruh mengikut zon di seluruh Malaysia. Pasukan Ziarah Prihatin telah menjelajah ke Kuantan, Johor Bahru, Kota Bharu, Ketereh, Tanah Merah, Melaka, Kedah, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan serta beberapa lokasi di Sabah dan Sarawak bagi menemui sendiri bakal mahasiswa yang bakal mendaftar di UMPSA.
Setiap lawatan memberi peluang kepada pihak universiti melihat sendiri keadaan rumah, latar belakang keluarga, sumber pendapatan ibu bapa serta cabaran sebenar yang dihadapi sebelum menentukan bentuk bantuan yang sesuai. Pendekatan ini menjadikan bantuan yang disalurkan lebih tepat, bersasar dan memberi impak yang lebih besar kepada kehidupan pelajar.
Di sebalik setiap kejayaan pelajar melanjutkan pengajian ke universiti, tersimpan pelbagai kisah perjuangan yang menyentuh hati. Antara yang mendapat perhatian ialah kunjungan Naib Canselor ke kediaman keluarga kartunis terkenal, Kartunis Cendol, bagi menyantuni anak beliau, Arysha Rania yang berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang Diploma Kejuruteraan Elektrik di UMPSA.
Lawatan itu bukan sahaja membawa sumbangan, malah menjadi suntikan semangat kepada Arysha dan keluarganya untuk meneruskan cita-cita dalam bidang Kejuruteraan.
Begitu juga kisah Muhammad Hazri Hakim yang memilih UMPSA sebagai destinasi untuk mengejar impian mengubah nasib keluarga. Kisah beliau membuktikan bahawa pendidikan mampu menjadi pemangkin mobiliti sosial, khususnya bagi anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah.

Manakala kunjungan beberapa tahun lalu, menziarahi Muhammad Hakimie Haikal Kamarudin yang menerima Insentif Kecemerlangan Yayasan UMPSA kini membuktikan pelajar ini terus cemerlang apabila berjaya muncul antara pelajar terbaik dengan Purata Nilai Gred (PNG) 4.0 bagi tiga semester berturut-turut dan kini aktif dalam aktiviti kesukarelawanan menerusi Yayasan UMPSA membantu insan lain.
Setiap kisah yang ditemui sepanjang Program Ziarah Prihatin mengingatkan warga universiti bahawa kejayaan seseorang mahasiswa bukan hanya bergantung kepada pencapaian akademik, malah turut dipengaruhi oleh sokongan moral, emosi dan kewangan yang diterima sepanjang perjalanan mereka.
Di sebalik kejayaan pelaksanaan Program Ziarah Prihatin ialah peranan besar JHEPA yang menjadi penyelaras utama kebajikan mahasiswa di UMPSA. Melalui kerjasama rapat bersama Yayasan UMPSA, fakulti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), agensi kerajaan, badan korporat dan penyumbang, JHEPA menjalankan saringan bagi mengenal pasti pelajar yang benar-benar memerlukan bantuan.
Maklumat yang diperoleh melalui lawatan rumah atau ziarah ini membolehkan universiti menilai secara menyeluruh aspek sosioekonomi keluarga, bilangan tanggungan, keadaan kediaman, kemudahan pembelajaran dan cabaran yang bakal dihadapi oleh pelajar apabila memasuki universiti. Hasil penilaian tersebut membolehkan bantuan disalurkan secara lebih sistematik dan berimpak tinggi.
Keistimewaan Program Ziarah Prihatin juga menjadi pintu masuk kepada pelbagai bentuk bantuan kebajikan yang disediakan oleh UMPSA. Antara bantuan utama ialah Bantuan Awal Pendidikan yang membantu pelajar menyediakan keperluan awal seperti pengangkutan semasa pendaftaran dan kelengkapan asas sebelum memulakan pengajian bagi yang memerlukan.
Malahan universiti turut menyediakan Bantuan Komputer Riba supaya mereka dapat mengikuti pembelajaran digital sebaik sahaja mendaftar bagi pelajar yang tidak memiliki kemudahan pembelajaran.
Dalam usaha mengurangkan beban kewangan keluarga B40, UMPSA turut menawarkan Dermasiswa B40 TVET yang menanggung sepenuhnya yuran pengajian dan menyediakan elaun sara diri bulanan kepada pelajar yang layak.

Selain itu, Yayasan UMPSA turut menawarkan Insentif Kecemerlangan kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dan memilih UMPSA sebagai pilihan pertama. Pelajar yang benar-benar memerlukan juga boleh memohon bantuan zakat, bantuan sara diri, bantuan musibah, bantuan kecemasan dan pelbagai skim kebajikan lain yang disediakan oleh universiti.
Bagi memastikan tiada mahasiswa berdepan isu keselamatan makanan, UMPSA memperkenalkan UMPSA Express Meal melalui inisiatif food@campus (UMPSA Campus Pantry) selain menyediakan Menu Siswa Madani pada harga berpatutan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar.
Dalam masa yang sama, universiti turut menyediakan peluang pekerjaan sambilan menerusi Job on Campus (JoC) yang membolehkan mahasiswa menjana pendapatan tambahan tanpa menjejaskan komitmen akademik. Keseluruhan inisiatif ini membentuk satu ekosistem kebajikan yang komprehensif, bermula sebelum pelajar mendaftar sehingga mereka menamatkan pengajian.
Komitmen UMPSA terhadap kebajikan mahasiswa tidak berakhir selepas mereka bergelar pelajar. Universiti sentiasa memantau kebajikan mahasiswa dan akan segera menghulurkan bantuan apabila mereka berdepan situasi luar jangka. Antara contoh yang mencerminkan keprihatinan ini ialah bantuan yang disalurkan kepada pelajar yang menjadi mangsa kebakaran rumah. Bantuan segera diberikan bagi memastikan mereka dapat meneruskan pengajian tanpa gangguan walaupun berdepan musibah.
Pendekatan ini membuktikan bahawa UMPSA sentiasa bersama mahasiswa bukan sahaja ketika mereka melangkah masuk ke universiti, malah sepanjang tempoh pengajian sehingga bergelar graduan.
Semangat keprihatinan yang diterapkan melalui Program Ziarah Prihatin turut diterjemahkan kepada masyarakat luar kampus. Melalui Program Kembara Lestari UMPSA, warga universiti menyantuni komuniti di seluruh semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan dengan membawa pelbagai bentuk bantuan, pemindahan teknologi, pendidikan TVET serta program pembangunan komuniti.
Program-program ini membuktikan bahawa budaya prihatin yang diterapkan dalam kalangan warga universiti bukan sahaja tertumpu kepada mahasiswa, malah diperluaskan kepada masyarakat sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial institusi.
Program Ziarah Prihatin hari ini bukan lagi sekadar satu aktiviti lawatan kebajikan, sebaliknya telah berkembang menjadi satu ekosistem sokongan mahasiswa yang menyeluruh di UMPSA.
Bermula dengan kunjungan ke rumah bakal mahasiswa, disusuli penyaluran bantuan kewangan, komputer riba, dermasiswa, bantuan zakat, bantuan sara diri, bantuan makanan, peluang pekerjaan sambilan sehingga bantuan ketika ditimpa musibah, setiap inisiatif dirangka bagi memastikan tiada pelajar yang terpaksa menangguhkan impian ke menara gading hanya kerana kekangan kewangan.
Di bawah kepimpinan Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, dengan sokongan padu Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Yayasan UMPSA serta seluruh warga universiti, budaya menyantuni mahasiswa terus diperkukuh melalui pendekatan turun padang yang menyentuh hati dan memberi impak besar kepada kehidupan pelajar.
Lebih penting lagi, Program Ziarah Prihatin telah memperlihatkan wajah sebenar UMPSA sebagai sebuah universiti yang bukan sahaja mengejar kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi, malah mengangkat nilai ihsan sebagai teras pembinaan insan.
Bagi universiti ini, kejayaan sesebuah universiti tidak hanya diukur melalui kedudukan dalam penarafan dunia atau kecemerlangan akademik semata-mata, tetapi juga melalui keupayaannya memastikan setiap mahasiswa diberi peluang yang adil untuk berjaya.
Selagi masih ada pelajar yang memerlukan, selagi itulah UMPSA akan terus hadir mengetuk pintu rumah mereka, menghulurkan bantuan dan menyampaikan mesej yang cukup bermakna iaitu setiap mahasiswa adalah sebahagian daripada keluarga besar UMPSA, dan tiada seorang pun akan dibiarkan berjuang bersendirian dalam mengejar impian mereka.
Di UMPSA juga, kebajikan pelajar sentiasa menjadi keutamaan. Pelbagai bentuk bantuan disediakan termasuk bantuan pendidikan, bantuan makanan, zakat dan inisiatif pendidikan serta bantuan lain termasuk bagi pelajar yang memerlukan keperluan semasa pendaftaran. Jika anda menghadapi sebarang kesulitan untuk mendaftarkan diri ke UMPSA atas faktor kebajikan, jangan tunggu sehingga hari pendaftaran. Hubungi segera talian JHEPA (09-4315054) atau e-mel di kebajikanpelajar@umpsa.edu.my untuk makluman lanjut.
Penulis ialah Eksekutif di Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
E-mel: naqiah@umpsa.edu.my
- 30 views
Reports by: