10 pemandu UMP tunai tanggungjawab sukarelawan
PEKAN, 17 Julai 2021 - Setiap profesion dan setiap individu daripada pelbagai latar belakang kerjaya memainkan peranan dalam memerangi ancaman virus COVID-19 demi memastikan rakyat dan negara sentiasa berada dalam keadaan selamat sejahtera.
Selain petugas kesihatan dan keselamatan, terdapat juga kumpulan adiwira atau hero yang turut sama menyokong usaha dan menyumbang bakti ketika negara masih dilanda penularan pandemik COVID-19.
Situasi berpanas selama lima jam dengan memakai kelengkapan perlindungan diri (personal protective equipment, PPE) ketika melaksanakan tugasan pergerakan pemindahan pesakit COVID-19 dari Kuantan masuk ke Pusat Kuarantin Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Muadzam Shah menjadi pengalaman yang sangat berharga kepada pemandu UMP, Affandi Kholek yang diberi tanggungjawab melaksanakan tugasan ini.
Beliau merupakan salah seorang daripada 10 orang Pemandu UMP yang menjadi sukarelawan dalam urusan penghantaran pesakit COVID-19 ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini.
Menurut Affandi, 45, walaupun telah banyak melaksanakan tugasan memandu namun pada kali ini ia adalah amat berbeza sekali.
“Ia memerlukan cara pengendalian kenderaan yang lebih berhati-hati untuk sampai ke destinasi dalam masa yang ditetapkan.
“Tidak dinafikan pengalaman membawa pesakit COVID-19 ini merupakan pengalaman paling mencabar sepanjang tempoh kerjayanya kerana berhadapan dengan bahaya virus maut itu dan pada masa sama memastikan keselamatan pesakit yang berada di dalamnya.
“Sepanjang perjalanan kami perlu memakai PPE dengan lengkap termasuklah sarung tangan dan alas kasut yang sememangnya agak janggal pada mulanya, tetapi alhamdulillah saya dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan,” katanya.
Tambahnya, sepanjang 13 tahun berkhidmat di UMP, inilah pengalaman yang paling mencabar namun amat berharga untuk dikenang.
“Saya amat bersyukur dapat melaksanakan tugas dengan baik dan berpeluang merasai pengalaman dalam membantu negara yang sedang bergelut dalam memerangi COVID-19.
“Jika sebelum ini saya sering melihat barisan hadapan yang memakai PPE melaksanakan tugas, namun pada kali ini saya akui ia merupakan satu pengorbanan yang besar yang bukan sahaja panas malah seluruh tubuh badan juga basah.
“Saya juga amat kagum dengan barisan hadapan yang lebih setahun melalui pengalaman memakai PPE ini,” ujar anak jati Kedah ini.
Ketika ditanya mengenai pengalamannya, beliau memberitahu bahawa sepanjang perjalanan, mereka tidak dibenarkan makan atau minum malahan dilarang berhenti termasuklah ke tandas.
“Namun, perjalanan lancar apabila pergerakan turut diiringi pihak polis.
“Setibanya di destinasi, kami perlu membersihkan diri dan berehat sebentar di ruangan yang disediakan sementara menanti bas disanitasi untuk kembali ke Kuantan,” katanya.
Manakala rakannya, Kamarulanua Abd Rahman, 47, berkata, pastinya sesiapa sahaja akan merasa risau untuk berdepan dengan situasi ini.
“Namun kegusaran mula hilang apabila mula yakin dengan diri dan seterusnya berdoa kepada Allah SWT.
“Saya menganggap inilah sumbangan yang dapat diberikan untuk UMP dan masyarakat.
“Sepanjang melaksanakan tugas yang diberikan kami juga amat menitikberatkan keselamatan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Katanya, mereka juga tidak dibenarkan menghidupkan pendingin hawa di sepanjang perjalanan.
“Sebagai inisiatif sendiri selepas pulang dari bertugas, saya tidak terus pulang ke rumah tetapi tinggal di bilik pemandu yang disediakan pihak universiti sebagai langkah berjaga-jaga,” kata bapa kepada empat orang anak ini.
Beliau turut menyeru kepada semua pihak agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan kasihanilah barisan hadapan yang sentiasa berhadapan dengan situasi yang amat menyedihkan.
Hakikatnya, ini hanyalah sebahagian daripada kisah pengorbanan pemandu UMP yang memikul peranan lebih daripada tanggungjawab hakiki mereka.
Turut sama sebagai sukarelawan ialah Mohd Zaidi Mohamad Zaki, Kaharuddin Abdul Karim, Azahar Abd Rahim, Pauzi Husain, Mohd Azman Daud, Muhamad Nazri Ismail, Shahnizam Abdul Rani dan Hisamudin Hamid.
Kerjasama ini diselaras Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Cawangan Kejuruteraan Mekanikal selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Logistik COVID-19 Negeri Pahang.
Dalam pada itu, sejak minggu lalu (15 Julai), barisan pemandu UMP turut sama terlibat dalam urusan penghantaran pulang pelajar ke kampung halaman secara berjadual bersempena cuti Semester 2020/2021 yang diselaras pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dalam memastikan pelajar selamat tiba di destinasi masing-masing.
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 297 views