150 pelajar dual ijazah UMP bertemu secara maya
PEKAN, 12 Jun 2021 – Pertemuan seramai 150 orang pelajar Kelab Komuniti UMP-Hochschule (UHCC), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam Program Hari Suai Kenal Pelajar Dual Ijazah yang diadakan secara dalam talian memberi peluang pelajar berkongsi maklumat tentang pengajian dan merapatkan hubungan di antara pelajar program kerjasama UMP-HsKA.
Pertemuan itu adalah anjuran bersama UMP-Hochschule Community Club (UHCC) dengan Pusat Kerjasama Akademik Jerman (GACC) dengan menggunakan aplikasi Microsoft Team. Program dual ijazah sering dimomokkan sebagai program yang mencabar, susah, dan tiada masa untuk perkara lain selain terpaksa belajar bahasa Jerman.
Namun, bagi Saidatul Marsyitah Aisyah Suhaime, ia bukanlah halangan malah menguatkan semangat buat beliau dan rakan-rakan pengajian untuk terus berjaya seperti pelajar yang lain.
“Program ini juga turut memberi motivasi kepada pelajar baharu dengan perkongsian pengalaman bersama pelajar senior sepanjang menuntut di UMP.
“Hasilnya dapat dilihat pelajar baharu mula berhubung dengan pelajar senior mengenai aktiviti-aktiviti yang boleh disertai termasuklah berpersatuan, menyertai pertandingan dan menimba pengalaman kampus seperti pelajar lain.
“Selain itu, program ini juga turut membantu pelajar tahun 1 khususnya yang baharu memulakan kehidupan sebagai mahasiswa untuk menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran dan kehidupan di universiti di samping memberi panduan kepada pelajar baharu,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Aduan dan Perkhidmatan merangkap Exco Kebajikan dan Kerohanian UHCC berkata, pelajar senior juga banyak membantu dan mengadakan kelas bagi kursus tertentu secara dalam talian sejak Perintah
Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid -19. Lebih menarik, mereka juga berpeluang mengikuti aktiviti secara berkumpulan dalam Engineering Pitching. Para peserta juga diberi enam produk untuk dinaik taraf atau diubah suai menjadi produk terbaharu. Peserta seterusnya akan membentangkan hasil produk meliputi objektif, teknik pemasaran, kos dan sebagainya.
Manakala aktiviti kedua iaitu Explorace memberikan pelajar peluang meningkatkan kemahiran dalam menyelesaikan masalah. Aktiviti ini menggalakkan komunikasi antara pelajar senior dan junior menerusi penggunaan bahasa Jerman.
Tambah Saidatul Marsyitah Aisyah lagi, program ini sepatutnya dijalankan pada cuti pertengahan semester pada bulan April yang lalu secara bersemuka namun terpaksa ditangguhkan sehingga ke bulan Jun serta dilaksanakan secara dalam talian.
“Ia merupakan pengalaman baharu buat pelajar dan sehingga kini, UHCC mempunyai seramai 198 orang ahli yang aktif,” katanya.
Turut serta Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin dan Pengarah GACC, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Ruzaimi Mat Rejab.
Profesor Ir. Dr. Wan Azhar turut memberikan kata-kata semangat kepada pelajar. Beliau menasihatkan pelajar agar menghargai pendidikan kerana ia menentukan kemenjadian seseorang untuk masa depan yang lebih cemerlang.
Beliau turut berkongsi mengenai peluang kerjaya untuk golongan muda bekerja di Jerman amatlah luas. Justeru, nasihatnya belajarlah bersungguh-sungguh, fokus kepada pelajaran dan galilah ilmu sebanyak mungkin sepanjang di universiti.
Pada masa yang sama katanya, kemahiran insaniah (soft skills) serta kemahiran teknikal juga perlu ditekankan dalam diri pelajar.
Selain itu, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Ruzaimi mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.
“Pastinya nasihat Naib Canselor UMP memberi suntikan semangat untuk terus berusaha gigih dalam mencapai kecemerlangan akademik dan pembangunan diri yang lebih holistik.
“Semoga usaha ini dapat merapatkan hubungan pelajar program dual ijazah kerjasama Jerman sama ada yang tinggal di UMP Pekan dan UMP Kampus Gambang,” ujarnya.
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 440 views