Skip to main content

16 warga UMPSA terima kenaikan pangkat, terus pacu kecemerlangan universiti

PEKAN, 15 Julai 2026 - Seramai 16 orang warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima surat kenaikan pangkat dalam satu Sesi Penyerahan Surat Kenaikan Pangkat yang berlangsung di universiti hari ini sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan prestasi, komitmen serta sumbangan mereka kepada pembangunan universiti.

Majlis penyerahan surat kenaikan pangkat itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang menyampaikan surat kenaikan pangkat kepada sepuluh staf akademik dan enam staf pentadbiran melibatkan Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima dan menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu penghormatan atas dedikasi serta usaha berterusan mereka dalam menyumbang kepada kecemerlangan universiti.

“Kenaikan pangkat bukan sekadar pengiktirafan terhadap pencapaian dan komitmen yang telah ditunjukkan, malah turut membawa tanggungjawab yang lebih besar untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik serta menyumbang kepada kemajuan universiti.

"Semoga kenaikan pangkat ini menjadi pemangkin kepada peningkatan motivasi, semangat dan usaha yang lebih tinggi dalam memberikan perkhidmatan terbaik. 

“Saya juga yakin semua penerima akan terus mengharumkan nama UMPSA dan memainkan peranan penting dalam meneruskan kecemerlangan universiti pada masa akan datang," ujarnya. 

Bagi Kluster Akademik, seorang staf telah dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor Gred Khas C (VK7), iaitu Profesor Ir. Ts. Dr. Faiz Mohd Turan dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).

Sementara itu, seramai lapan orang staf akademik menerima kenaikan pangkat ke jawatan Profesor Madya Gred DS14 yang melibatkan Profesor Madya Ts. Dr. Farah Hanani Zulkifli, Profesor Madya Dr. Nurlin Abu Samah dan Profesor Madya Ts. Dr. Nurjannah Salim dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI).

16 warga UMPSA terima kenaikan pangkat, terus pacu kecemerlangan universiti

Turut menerima kenaikan pangkat ke gred yang sama ialah Profesor Madya Ts. Dr. Tuty Asmawaty Abdul Kadir, Profesor Madya Ts. Dr. Zalili Musa dan Profesor Madya Ts. Dr. Junaida Sulaiman dari Fakulti Komputeran (FK), selain Profesor Madya Ts. Dr. Noormazlinah Ahmad dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) serta Profesor Madya Ts. Dr. Zulhelmi Ismail dari FTKPM.

Seorang lagi staf akademik, Dr. Rahiwan Nazar Romli dari FK telah menerima kenaikan pangkat sebagai Pensyarah Universiti Gred DS13.

Bagi Kluster Pentadbiran pula, lima staf daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional menerima kenaikan pangkat iaitu Azman Md Diah sebagai Pereka Gred B12,  Al-Muhaimin Ali sebagai Pegawai Belia dan Sukan Gred S12 serta tiga Pegawai Teknologi Maklumat Gred F12 iaitu Ts. Arifin Salleh, Amir Azhar Baharudin dan Hanizam Abdul Kassim.

Manakala bagi Kumpulan Pelaksana, Hamizaliza Hamizan menerima kenaikan pangkat secara Time-Based Kecemerlangan (TBK) sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N2.

Majlis penyerahan surat kenaikan pangkat itu turut dihadiri oleh dekan-dekan fakulti, pengarah-pengarah Pusat Tanggungjawab (PTJ), serta pengarah dan pengurus kanan Jabatan Pendaftar yang diketuai oleh Abdul Shukur Ishak.

Penganugerahan kenaikan pangkat itu mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam menghargai kecemerlangan warganya serta memperkukuh budaya kerja berprestasi tinggi ke arah merealisasikan aspirasi universiti sebagai institusi pendidikan tinggi teknikal dan teknologi terkemuka di peringkat global.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri