20 Pegawai TUDM tingkat kecekapan berbahasa Inggeris di UMP
PAYA BESAR, 15 Ogos 2022 - Seramai 20 pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengikuti latihan Let’s Fly High: Intermediate English for Officers (IEFO) yang dilaksanakan bersama Pusat Bahasa Moden (PBM) Universiti Malaysia Pahang (UMP) bagi memperkukuhkan bahasa Inggeris yang sinonim sebagai bahasa penerokaan pelbagai cabang ilmu dan merupakan bahasa komunikasi antarabangsa.
Program dirasmikan oleh Asisten Ketua Staf Tadbir TUDM, Brigedier Jeneral Haji Baharudin Haji Abu Hassan.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed, Dekan Pusat Bahasa Moden, Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi dan Pengarah Latih TUDM, Kolonel Mah Kok Leon.
Menurut Brigedier Jeneral Haji Baharudin, program ini merupakan inisiatif pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pegawai-pegawai TUDM di seluruh negara.
“Selain menjaga keamanan ruang udara Malaysia, pegawai TUDM juga terlibat dengan misi latihan ketenteraan dan keamanan di luar negara.
"Oleh itu, penguasaan bahasa Inggeris sangat penting untuk membolehkan pegawai TUDM mempunyai kemahiran yang tinggi untuk berinteraksi dengan pegawai tentera dari negara luar.
“Latihan ini disertai oleh 20 orang pegawai TUDM dari pelbagai bidang seperti juruterbang, Pegawai Trafik Udara, Pegawai Pertahanan Udara, Jurutera dan Pegawai Tadbir,” katanya.
Beliau mengharapkan semua peserta yang mengikuti latihan ini dapat meningkatkan keyakinan diri ketika membuat pembentangan dan berinteksi di dalam bahasa Inggeris.
“Selain itu, gunakan peluang ini sebaik mungkin agar dapat membantu peserta membuat persediaan dalam membuat laporan, latihan dan taklimat diperingkat oeprasi strategik dan teknikal,” katanya.
Sementara itu, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim pula menzahirkan ucapan terima kasih atas kepercayaan TUDM memilih Pusat Bahasa Moden (PBM) UMP untuk mengendalikan latihan bahasa.
“Ia selaras dengan hasrat universiti yang ingin berkongsi kepakaran dengan masyarakat setempat.
“Tahniah juga kepada pihak TUDM yang sentiasa berusaha keras dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada negara dan semoga usaha ini dapat memberi inspirasi kepada agensi lain,” katanya.
Latihan ini akan dijalankan selama tiga bulan sejak bulan Julai lalu dengan kendalian pensyarah PBM yang dijalankan setiap hari Isnin dan Selasa bermula dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang di Makmal Bahasa Multimedia di Blok X, UMP Kampus Gambang.
Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 115 views