Skip to main content

20 pensyarah UMPSA sertai Latihan Pensijilan ESG kukuhkan Agenda Kelestarian Universiti

GAMBANG, 14 Ogos 2025 – Seramai 20 pensyarah Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)  telah menyertai Program Latihan Pensijilan Level 1 - Empowered for ESG Professional bertempat di Dewan Bankuet, UMPSA Kampus Gambang. 

Kursus yang  berlangsung selama dua hari itu dikendalikan oleh Green Growth Asia Foundation (GGAF) dengan menampilkan penceramah dan juga pakar dari luar negara yang berkongsi kepakaran dalam bidang Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). 

Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC), Dr. Suhaidah Hussain mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan universiti khususnya Jabatan Pendaftar yang menyokong SDC dalam menganjurkan kursus tersebut. 

“Kursus ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan persijilan profesional kepada pensyarah berkaitan prinsip dan amalan SDG dan ESG (Environmental, Social dan Governance) melalui pengajaran dan pembelajaran. 

“Malah, kursus ini juga menampilkan tiga penceramah hebat yang terdiri daripada Pengarah Eksekutif Green Growth Asia Foundation (GGAF), Datuk Ir. Ts. Dr Mahadi Mohamad, Ketua Eksekutif GGAF, Dr. Balamurugan Ratha Krishnan dan Ketua Serantau-Sustainability Business Line, Applus Certification, Dr. Abhineet Kumar Jha,” ujarnya. 

“Sebanyak sembilan modul yang dibentangkan merangkumi pelbagai konsep antaranya GCAP and Education Sector Alignment, Greening Education Partnership dan Eco-Campus & SUCRS Global ESG Frameworks,” ujarnya. 

Manakala menurut Pengarah Eksekutif GGAF, Datuk Ir. Ts. Dr Mahadi Mohamad, inisiatif ini merupakan usaha ke arah menjadikan UMPSA sebagai Eco-Campus.   

20 pensyarah UMPSA sertai Latihan Pensijilan ESG kukuhkan Agenda Kelestarian Universiti

“Kursus ini juga menampilkan kepakaran antarabangsa iaitu Dr. Abhineet Kumar Jha yang merupakan pakar kelestarian dan ESG bertauliah antarabangsa dengan pengalaman luas dalam khidmat nasihat, jaminan dan audit di peringkat global.

“Kita amat berbesar hati apabila suatu ketika nanti UMPSA akan menjadi satu tanda aras kepada universiti lain di Asia.

“Saya melihat UMPSA telahpun menjiwai dan menghayati amalan SDG dan ESG di universiti,” katanya.

Justeru, beliau berharap semua pensyarah akan dapat menjadikan kursus ini sebagai platform untuk meningkatkan pemahaman dan dapat berkongsi bersama pelajar. 

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri