230 pelajar baharu terima Insentif Pendidikan dan Kecemerlangan Yayasan UMPSA
PEKAN, 27 September 2026 - Seramai 230 pelajar baharu Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdulllah (UMPSA) melibatkan seramai 50 pelajar menerima Insentif Bantuan Awal Pendidikan dan seramai 180 pelajar menerima Insentif Kecemerlangan Yayasan UMPSA dalam Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan dan Pendidikan Yayasan UMPSA 2026 yang berlangsung di Dewan Cendekia Siswa, UMPSA Pekan, baru-baru ini.
Insentif Bantuan Awal Pendidikan bertujuan membantu pelajar daripada keluarga berkeperluan bagi meringankan beban keluarga bagi memulakan pengajian di universiti.
Manakala Insentif Kecemerlangan diberikan kepada lepasan diploma, matrikulasi, politeknik, Kolej Vokasional dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang cemerlang dan terpilih mengikuti pengajian di UMPSA menerima Insentif Kecemerlangan Yayasan UMPSA bagi sesi akademik pada tahun ini.
Hadir dalam majlis Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar merangkap Pengerusi Yayasan UMPSA.

Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan UMPSA.
Turut serta para Pemegang Amanah Yayasan UMPSA, Dato’ Ir. Ts. (Dr.) Izwan Hasli Mohd Ibrahim, Tok Muda Dato’ Ahmad Hairi Haji Hussain, Tok Puan Indera Datin Nur Sharmila Shaheen, Dato’ Sri Darwis Abd Rasak@Abd Razak, dan Pendaftar UMPSA, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim.
Dalam ucapan, Dato’ Seri Abdul Razak berkata, Yayasan UMPSA memainkan peranan penting dalam menyokong kebajikan pelajar serta membiayai program pendidikan dan keperluan pembelajaran bagi memastikan para pelajar yang layak terus mendapat sokongan dalam meneruskan pengajian mereka.
“Melalui penyerahan Insentif Pendidikan, Insentif Kecemerlangan, Biasiswa dan Dermasiswa, kita berharap bantuan yang diberikan dapat meringankan beban kewangan pelajar serta keluarga, di samping memberikan dorongan kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan tahniah dan penghargaan kepada semua penerima yang diraikan atas pencapaian dalam bidang akademik serta kokurikulum.
Menurut beliau lagi, pencapaian merupakan hasil usaha, kesungguhan dan komitmen yang telah dicurahkan oleh para penerima, manakala pengiktirafan yang diberikan diharapkan dapat menjadi motivasi untuk mereka terus melangkah lebih jauh.
“Pada masa yang sama, bagi para pelajar yang menerima bantuan atas faktor keperluan kewangan, saya berharap insentif ini dapat sedikit sebanyak membantu keperluan pembelajaran dan mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga.
“Penganjuran majlis seumpama itu turut memainkan peranan penting dalam membina budaya kecemerlangan dalam kalangan mahasiswa.
“Pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian pelajar dapat menjadi sumber inspirasi kepada mahasiswa lain untuk terus berusaha mencapai potensi masing-masing,” jelasnya.
Namun begitu katanya, kecemerlangan yang ingin dilahirkan tidak hanya tertumpu kepada pencapaian akademik, sebaliknya turut merangkumi pembentukan sahsiah yang baik, disiplin, semangat kepimpinan serta kesediaan untuk menyumbang kepada masyarakat.
Beliau berharap para penerima akan terus mengekalkan semangat untuk belajar dan memperbaiki diri. Jadikanlah pencapaian pada hari ini sebagai satu permulaan kepada kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.
Pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada UMPSA, Yayasan UMPSA, para penaja, rakan strategik, ibu bapa serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha pembangunan dan kebajikan mahasiswa.
Beliau turut berharap inisiatif yang dilaksanakan dapat terus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan serta memberikan manfaat kepada lebih ramai pelajar UMPSA.
Pihak UMPSA memberi jaminan bahawa kebajikan pelajar, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan akan terus menjadi keutamaan UMPSA dan memastikan setiap pelajar memperoleh peluang pendidikan yang setara dan berkualiti.

Pihak universiti akan terus menyediakan bantuan kewangan, sokongan akademik dan pelbagai inisiatif bagi memastikan mereka dapat mengejar impian tanpa sebarang halangan.
Antara inisiatif yang disediakan termasuk Bantuan Dermasiswa B40 TVET Kementerian Pendidikan Tinggi bagi pelajar yang layak, yang meliputi kos yuran pengajian serta elaun wang saku sepanjang tempoh pengajian.
Turut sama hadir Ketua Pegawai Eksekutif UMPSA Advanced, Dr. Ahmad Johari Mohamad dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA, Profesor Chm. Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim, selain pengurusan tertinggi, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai serta para penerima manfaat Yayasan UMPSA.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 21 views
Reports by: