Skip to main content

3 Pegawai Kadet UMPSA dinobat sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES

PEKAN, 24 September 2024 – Seramai tiga orang pegawai kadet PALAPES Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menerima anugerah tertinggi sebagai Pegawai Kadet Terbaik dalam kategori PALAPES Darat, Laut dan Udara sempena Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Ke-42 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini.

Pada majlis istiadat itu, Sultan Perak, DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Shah Al-Maghfur-Lah yang mewakili Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan mentauliah 1,435 PALAPES daripada 20 UA termasuk 35 pegawai yang menerima Anugerah Pegawai Terbaik iaitu 16 (Darat), 11 (Laut) dan lapan (Udara).

Leftenan Muda Ahmad Haziq Zulkifle, yang sedang mengikuti pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektronik (Sistem Komputer) dengan Kepujian, merangkul anugerah Pegawai Kadet Terbaik PALAPES (Darat).

3 Pegawai Kadet UMPSA dinobat sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES

Manakala Leftenan Muda Nor Irfan Syamil Nor Azmi, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Projek pula dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES (Laut) dan Leftenan Muda Muhamad Yani Juriany, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal diiktiraf sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES (Udara).

3 Pegawai Kadet UMPSA dinobat sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES

Menurut Leftenan Muda Muhamad Yani Juriany, anugerah diterima merupakan Anugerah Pedang Kehormat kerana terpilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UMPSA bagi perkhidmatan Udara.

“Anugerah Pedang Kehormat ini diberikan kepada 35 Pegawai Kadet Terbaik dari 20 UA bagi setiap perkhidmatan Darat, Laut dan Udara. 

“Saya juga turut menerima Sijil Penghargaan daripada Panglima Tentera Udara atas anugerah sebagai Pegawai Kadet Terbaik dari unit PALAPES Udara UMPSA yang disampaikan dalam Majlis Makan Beradat sempena Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Muda PALAPES UA Kali Ke-42 Tahun 2024.

3 Pegawai Kadet UMPSA dinobat sebagai Pegawai Kadet Terbaik PALAPES

“Saya sangat terharu dan sebak atas penerimaan anugerah tersebut dan bersyukur serta gembira kerana ia merupakan anugerah tertinggi dalam istiadat tersebut,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, pengalaman indah baginya adalah apabila menerima anugerah tersebut daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah. 

Menurut Leftenan Muda Ahmad Haziq Zulkifle pula, UMPSA banyak memberi sokongan dan dorongan kepada pasukan PALAPES.

“Inisiatif yang diberikan UMPSA kepada PALAPES adalah dengan memberikan kemudahan dan kelancaran ketika PALAPES Darat mengadakan aktiviti. 

“Ia memudahkan lagi setiap pelancaran aktiviti yang dilakukan oleh PALAPES Darat dengan kerjasama Akademi A.D.A.B. UMPSA,” katanya.

Bercerita lanjut tentang cita-citanya dalam bidang ketenteraan, beliau berharap akan meneruskan khidmatnya kepada negara dalam bidang ketenteraan sejurus tamat pengajian nanti.

“Harapan saya pada masa akan datang adalah untuk terus berada dalam bidang ketenteraan selepas tiga tahun menyertai PALAPES Darat ini. 

“Banyak ilmu dan pengetahuan tentang askar yang telah saya pelajari. 

“Untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang pegawai tentera akan saya teruskan,” katanya.

Manakala menurut Leftenan Muda Nor Irfan Syamil Nor Azmi pula, ayahnya yang merupakan Leftenan Komander Nor Azmi Ibrahim, Ketua Sekolah Pentadbiran dan Kewangan yang sedang berkhidmat di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia menjadi idolanya sejak kecil untuk terus terlibat dalam bidang ketenteraan.

“Beliau yang mendorong saya ke arah bidang ketenteraan ini.

“Tambahan pula saya menetap di dalam kawasan tentera dan ia secara tidak langsung ia turut memberikan saya semangat serta dorangan bagi menceburi bidang ketenteraan dengan lebih mendalam.

“Selepas menamatkan pengajian di UMPSA, saya berhasrat untuk meneruskan lagi kerjaya sebagai seorang pegawai tentera dengan menyertai skim pegawai kadet graduan yang akan mengambil masa selama sembilan bulan untuk bergelar pegawai tetap Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya. 

Sementara itu, Leftenan Muda Nor Irfan Syamil Nor Azmi turut menasihati para pelajar yang berminat untuk menyertai PALAPES agar meneruskan hajat mereka tanpa ragu-ragu dan gentar.

“Jika anda berminat untuk menyertai PALAPES, jangan tunggu dan terus sahaja menyertainya kerana bukan sahaja kelebihan yang ditawarkan tetapi ia juga dapat membentuk jati diri anda untuk menjadi yang lebih baik. 

“Jangan ragu-ragu untuk sertai PALAPES. 

“Untuk menjadi pegawai kadet terbaik pula, jangan berputus asa dalam apa jua keadaan, sentiasa berani dan cekal dalam menghadapi cabaran dan akhir sekali ialah perlu menitikberatkan semangat berpasukan,” tambahnya.

Pada istiadat itu juga, seramai 63 orang kadet PALAPES UMPSA telah ditauliahkan yang terdiri daripada 19 orang kadet PALAPES Darat, 22 orang kadet PALAPES Laut dan 22 orang kadet PALAPES Udara.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Naqiah Puaad