3 projek inovasi digital mahasiswa UMPSA angkat warisan tempatan di DICE 4.0
PUTRAJAYA, 18 November 2026 - Kreativiti dan keupayaan mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam menghasilkan inovasi digital yang mengangkat warisan tempatan terserlah menerusi penyertaan tiga projek dalam Program Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 4.0 bersempena dengan Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) 2026.
Tiga projek berkenaan ialah VR Warisan Kepahlawanan – Mat Kilau, RENTAS: Pahang Heritage Grandprix dan Jejak Warisan: Laksa Gebok yang menggabungkan teknologi realiti maya (VR), pembangunan permainan digital serta animasi tiga dimensi (3D) bagi memperkenalkan sejarah, budaya dan identiti tempatan melalui pendekatan kreatif dan interaktif.
Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, penghasilan projek berkenaan membuktikan keupayaan mahasiswa menggabungkan kreativiti, penguasaan teknologi dan inovasi dalam menghasilkan produk digital yang mempunyai nilai tambah serta potensi untuk dikembangkan ke peringkat industri.

“Lebih membanggakan, projek-projek ini bukan sahaja mengetengahkan kemahiran teknikal mahasiswa, malah mengangkat warisan, sejarah dan identiti tempatan melalui pendekatan kreatif yang lebih dekat dengan generasi muda.
“Inilah antara nilai penting yang ingin diterapkan dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dalam bidang masing-masing, tetapi turut berupaya mencipta peluang dan meneroka bidang keusahawanan,” ujarnya.
Projek VR Warisan Kepahlawanan – Mat Kilau dibangunkan oleh kumpulan ATMA DEV SOLUTION dengan mengetengahkan pengalaman pembelajaran sejarah secara imersif menerusi teknologi Virtual Reality (VR), pembangunan permainan 3D dan elemen interaktif.
Inovasi itu membolehkan pengguna meneroka persekitaran kampung tradisional Melayu, mengalami aksi seni mempertahankan diri silat serta menghayati latar sejarah perjuangan pahlawan Melayu, Mat Kilau.
Kumpulan ini terdiri daripada Muhammad Irfanuddin Shaharinn, Muhammad Soleh Hamdan, Amirul Iqhwan Mohd. Radzi Mohamad Hazriq Haqimi Mohamad Hairy, dengan Noraniza Samat sebagai mentor projek.
Sementara itu, RENTAS: Pahang Heritage Grandprix hasil pembangunan kumpulan TAKA Creative Studio dari Fakulti Komputeran (FK) UMPSA mengetengahkan permainan mudah alih berkonsepkan perlumbaan go-kart yang menggabungkan elemen warisan dan lokasi ikonik negeri Pahang.

Permainan tersebut membolehkan pemain meneroka lokasi seperti Bandar Diraja Pekan dan Tasik Chini serta mengenali seni tenunan tradisional Pahang sambil mengumpul artifak warisan sepanjang perlumbaan.
Projek ini dibangunkan oleh Muhammad Fareezul Hafiz Mohd Nasir, Amar Razin Hamidon, Zulakmal Danish Zulfadzli dan Lim Kah Zheng, dengan bimbingan pensyarah FK, Ts. Dr. Nor Saradatul Akmar Zulkifli.
Turut diketengahkan ialah Jejak Warisan: Laksa Gebok, sebuah projek animasi naratif pendek 3D yang dibangunkan oleh kumpulan SYNEXIS DIGITAL dari FK UMPSA.
Menggunakan gaya visual 3D Low Poly, animasi ini membawa penonton mengembara merentasi masa untuk mengenali sejarah dan keunikan Laksa Gebok, termasuk teknik tradisional pembuatan mi laksa serta penggunaan peralatan gebok.
Pembangunan projek turut melibatkan penyelidikan di Muzium Pahang dan sesi temu bual bersama pengusaha Laksa Gebok Aki Pian bagi mendapatkan maklumat berkaitan sejarah, teknik serta penggunaan peralatan tradisional tersebut.
Kumpulan SYNEXIS DIGITAL terdiri daripada Ahmad Nadim Muhammad Hairi, Muhammad Azad Zuhaily Mohd Azli, Muhammad Ilyas I’mran dan Muhammad Adwa’ Ikhwan Mohd Nizam, dengan bimbingan pensyarah FK, Ts. Siti Normaziah Ihsan.
Projek ini turut mendapat kerjasama industri daripada Laksa Gebok Aki Pian.
Ketiga-tiga projek berkenaan memperlihatkan bagaimana teknologi digital dapat dimanfaatkan sebagai medium kreatif untuk mendokumentasikan, memperkenalkan dan memelihara warisan tempatan agar terus dikenali oleh generasi akan datang.
Majlis penutupan DICE 4.0 disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dan turut dihadiri Ketua Setiausaha KPT, Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Ahmad Rizal Adnan dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman.
Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMPSA, Profesor ChM. Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
- 17 views