3 Syarikat Pemula UMPSA sedia tembusi pasaran teknologi berdaya saing global
GAMBANG, 12 Oktober 2025 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) meneruskan langkah proaktif dalam usaha pengkomersialan hasil penyelidikan universiti melalui Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Pelesenan Teknologi bersama tiga syarikat pemula universiti iaitu MNR Multitech Sdn. Bhd., Edgify Solutions Sdn. Bhd. dan TML Lab Sdn. Bhd.
Antara teknologi yang dilesenkan ialah ‘A Method of Producing A Food Grade Grease Composition’ oleh Ts. Mohd Najib Razali dari MNR Multitech Sdn. Bhd., ‘Elephant Intrusion Detector System Using Artificial Intelligence (GajahSafe)’ oleh Ts. Dr. Syafiq Fauzi Kamarulzaman dari Edgify Solutions Sdn. Bhd, dan ‘Codes To Detect Pathogenic Bacteria from Whole-Genome Data’ oleh Profesor Madya Ts. Dr. Hajar Fauzan Ahmad dari TML Lab Sdn. Bhd.
Melalui pelaksanaan perjanjian ini, UMPSA secara rasminya meluluskan pelesenan tiga harta intelek universiti yang telah dipaten dan didaftarkan kepada syarikat pemula berkenaan bagi tujuan pengkomersialan.
Langkah ini bukan sahaja melindungi hak milik intelektual universiti, malah memberi fleksibiliti kepada syarikat pemula UMPSA untuk mengembangkan produk berasaskan teknologi universiti secara lebih berdaya saing dan mampan.
Menurut Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias, pelesenan teknologi ini membuktikan keupayaan university untuk menterjemah hasil penyelidikan kepada nilai nyata yang memberi manfaat kepada masyarakat dan industri.
“UMPSA percaya bahawa hasil penyelidikan yang berkesan ialah yang mampu memberi manfaat kepada manusia dan persekitaran.
“Hasil inovasi universiti perlu dibawa keluar dari makmal untuk menyelesaikan masalah sebenar masyarakat dan industri.
“Proses pelesenan ini memberi hak eksklusif kepada syarikat untuk menggunakan, mengeluarkan, memasarkan serta mengkomersialkan teknologi universiti di pasaran tempatan dan antarabangsa,” tambahnya.
Beliau hadir dalam Majlis Perasmian Penutupan Festival Idea@Pahang di UMPSA yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib.
Profesor Dr. Yatimah turut bertukar dokumen pelesenan teknologi melibatkan tiga Harta Intelek universiti yang telah dipatenkan atau didaftarkan kepada syarikat pemula bagi tujuan pengkomersialan.
Turut hadir Penolong Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim yang Menjalankan Tugas Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan Ketua Seksyen Pengurusan Strategik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Mujahidah Khairun Nisak Rosli.
Festival Idea@Pahang yang berlangsung selama dua hari bermula 11 hingga 12 Oktober itu urut dimeriahkan dengan pelbagai acara termasuk AI Generation Festival (AiGenFest), Hari Pengkomersialan, Pameran TVET Termaju, serta Hari Terbuka Fakulti dan Makmal UMPSA.
Program berimpak tinggi ini menjadi platform sinergi antara akademia, industri, kerajaan dan komuniti dalam memperkukuh ekosistem inovasi serta melahirkan lebih ramai usahawan teknologi tempatan yang berdaya saing.
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 60 views
Reports by: