4 pasangan suami isteri antara 24 staf UMP dipilih menjadi Dhuyufurrahman
PEKAN, 25 Mei 2023 – Seramai 24 staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal menunaikan ibadah haji setelah menerima tawaran untuk menunaikan Rukun Islam kelima pada tahun ini.
Mereka dirai dalam Majlis Doa Selamat anjuran Jabatan Pendaftar yang berlangsung di UMP Pekan baru-baru ini.
Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin mengucapkan tahniah kepada staf yang terpilih menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Beliau turut menasihatkan agar mereka sentiasa bersabar ketika melakukan ibadah di samping menjaga kesihatan agar dapat mencapai kesempurnaan dalam mengerjakan ibadah haji ini.
“Pastinya bakal jemaah haji yang terpilih ini telah pun bersedia sepenuhnya dengan melakukan persiapan untuk menjadi Dhuyufurrahman dan saya ingin menasihatkan kepada bakal jemaah supaya menjaga kesihatan terutamanya dalam cuaca yang agak panas pada ketika ini.
“Pihak universiti turut mendoakan agar semua bakal jemaah haji diberikan kekuatan, kesihatan tubuh badan di sepanjang urusan menunaikan ibadah haji serta dapat melaksanakannya dengan sempurna.
Semoga segala urusan bakal Jemaah haji ini semua dipermudahkan dan berjalan lancar serta peroleh haji yang mabrur,” katanya.
Pada masa yang sama, beliau turut menyerahkan sumbangan universiti kepada bakal jemaah haji tersebut.
Kumpulan ini terdiri daripada empat pasangan suami isteri iaitu Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), Profesor Madya Ir. Dr. Fadzil Mat Yahaya serta pasangannya Noranita Mohamad dari Jabatan Pendaftar, Dr. Norhilda Abdul Karim dari Pusat Kesihatan Universiti bersama suaminya Ts. Mohd Nurulakla Mohd Azlan dari Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH).
Lain-lain adalah Dr. Ahmed Mokhtar Albshir Budiea dari Fakulti Pengurusan Industri (FIM) dengan pasangannya Profesor Madya Ts. Dr. Khairunisa Muthusamy dari FTKA.
Turut serta Khairu Aidilnishah Rizan Jalil dari Pejabat Naib Canselor (PNC) dan isterinya Nazifah Zahari dari Unit Audit Dalam.
Disediakan oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri
- 243 views