Skip to main content

48 pegawai pentadbiran dan akademik Kumpulan Pengurusan dan Profesional UMPSA naik pangkat

PEKAN, 23 Mac 2025 – Seramai 48 pegawai pentadbiran dan akademik, Kumpulan Pengurusan Dan Profesional, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) hari ini menerima surat kenaikan pangkat daripada Naib Canselor, Profesor Dr. Yatimah Alias yang berlangsung di Dewan Senat, Canseleri Tun Abdul Razak.

Pelaksanaan Kenaikan Pangkat Secara One-off itu melibatkan Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 9, Gred 10 dan Gred 12 di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA). 

Profesor Dr. Yatimah mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pegawai atas peluang keemasan ini. 

“Saya berhasrat untuk memperkasakan para pentadbir agar dapat sama-sama kita bangunkan UMPSA ini. 

“Besarlah harapan saya agar para pentadbir dapat memajukan UMPSA sebagai sebuah institusi yang unggul, menerajui kecemerlangan akademik, penyelidikan, dan pembangunan modal insan yang berdaya saing di peringkat nasional dan global.

“Gunakanlah peluang yang ada ini dengan sebaik-baiknya,” ujarnya. 

Beliau juga berharap agar kenaikan pangkat ini dapat meningkatkan motivasi dan semangat dalam melaksanakan tugas dengan lebih berkesan untuk terus menyumbang ke arah kemajuan UMPSA. 

48 pegawai pentadbiran dan akademik Kumpulan Pengurusan dan Profesional UMPSA naik pangkat

Kenaikan pangkat ini merupakan sebahagian daripada inisiatif penambahbaikan laluan kerjaya di bawah SSPA yang bertujuan untuk menghargai sumbangan dan meningkatkan motivasi warga universiti dalam melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang.

Dalam masa yang sama, Profesor Dr. Yatimah turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada warga UMPSA apabila universiti kekal sebagai universiti pertama yang menerima Sijil Bersih daripada Jabatan Audit Negara (JAN) buat kali ke-13 dan pertama dalam kalangan agensi awam bagi penyediaan Penyata Kewangan Tahun 2024.

Kejayaan ini telah membuktikan kerjasama jitu dan komitmen semua pihak khususnya Pusat Tanggungjawab UMPSA yang telah melaksanakan pengurusan kewangan mengikut piawaian perakaunan antarabangsa yang ditetapkan oleh Jabatan Audit Negara.

Turut hadir dalam program Pendaftar, Dato’ Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Bendahari, Dato’ Zainudin Othman, Dekan-dekan, Pengarah PTJ dan Pengurus Kanan, Jabatan Pendaftar, Haji Abdul Shukur Ishak.

Pada majlis tersebut, seramai lima orang dalam kumpulan pentadbiran menerima kenaikan pangkat ke gred hakiki, 41 orang kumpulan pentadbiran secara One-off dan empat orang kumpulan akademik juga secara One-off.

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri