Skip to main content

63 peserta terima Sijil Tamat Kursus Pengajian Ilmu Turath UMPSA

PEKAN, 4 Disember 2025 - Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Sijil Tamat Kursus Pengajian Ilmu Turath yang berlangsung di Dewan Senat, UMPSA Pekan. 

Program Sijl Asas Pengajian Ilmu Turath itu dicetuskan atas inisiatif menyediakan platform kepada orang awam dan warga UMPSA yang rata-ratanya berlatar belakang pendidikan bidang profesional mempelajari ilmu berkaitan pendidikan Islam secara kursus jangka pendek menerusi kaedah pengajian bedah kitab. 

Lebih mengharukan, sebahagian pelajar UMPSA turut mengikuti program sama yang bakal menjadi satu nilai tambah dalam pensijilan tambahan.

Sepanjang hari mulai pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang, seramai 63 peserta telah didedahkan dengan Pengajian Hadis yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Akil Muhammad Ali.

Peserta telah melengkapkan program ini dengan empat pertemuan yang meliputi empat mata pelajaran sejak bulan Mei 2025. 

Setiap pertemuan dirancang dengan teliti untuk memastikan peserta mendapat pemahaman yang mendalam mengenai aspek-aspek penting dalam pengajian ilmu Turath. 

Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam, Ustaz Mohamad Hasnur Abdul Hamid yang merupakan pengarah Turath25, dalam setiap sesi para peserta diberikan peluang untuk bertanya, berdiskusi, dan mendalami ilmu-ilmu berkaitan ilmu tasawuf, ilmu tafsir, ilmu sirah dan ilmu hadis yang kesemuanya disampaikan oleh para tenaga pengajar pakar seperti  Dato’ Dr. Ayman Al-Akiti, Datuk Dr. Zahazan dan Ustaz Muhammad Hazim.

63 peserta terima Sijil Tamat Kursus Pengajian Ilmu Turath UMPSA

“Program pada hari ini merupakan kemuncak kepada siri pertemuan yang telah dijalankan sepanjang beberapa bulan lalu. 

“Dengan berlangsungnya sesi terakhir ini, peserta dapat merasakan hasil daripada penglibatan mereka dalam seluruh siri pengajian yang memberi fokus kepada pengukuhan ilmu Turath.

“Pengisian program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta dalam mendalami ilmu Islam yang mendalam, tetapi juga membuka ruang kepada mereka untuk memperkasa pemahaman terhadap prinsip-prinsip asas dalam kehidupan beragama,” ujarnya.

Turut hadir Dekan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Profesor Dr. Hasan Ahmad yang mewakili Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias. 

Disediakan Oleh: Mohamad Hasnur Abdul Hamid, Pusat Islam dan Pembangunan Insan
 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim