Skip to main content

7 subjek UMPSA tersenarai dunia, bidang Kejuruteraan dan Teknologi dominasi kelompok 451–500 terbaik global

PEKAN, 30 Mac 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengukuhkan reputasinya di persada antarabangsa apabila tujuh subjek khusus dan satu subjek bidang utama diiktiraf dunia dalam penarafan QS World University Rankings by Subject 2026 yang diumumkan oleh Quacquarelli Symonds (QS) baru-baru ini.

Sebagai sebuah universiti teknikal terbaik di Malaysia, UMPSA mencatat pencapaian signifikan apabila tersenarai dalam bidang umum (broad area) Kejuruteraan dan Technologi pada kedudukan 451-500 dunia.

Kejayaan ini menyaksikan UMPSA sebagai sebuah universiti teknikal terbaik di Malaysia, tersenarai dalam tujuh subjek di kedudukan yang membanggakan iaitu Petroleum Engineering (101-150), Engineering-Chemical (301-350), Engineering-Mechanical, Aeronautical & Manufacturing (301-350), Materials Science (301-350), Engineering-Electrical & Electronic (351-400), Chemistry (551-600) serta Computer Science & Information Systems (751-850).

7 subjek UMPSA tersenarai dunia, bidang Kejuruteraan dan Teknologi dominasi kelompok 451–500 terbaik global

Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias berkata, pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasa kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi di peringkat global.

“Selain itu, ia turut membuktikan dedikasi UMPSA dalam memperkukuh mutu pengajaran, penyelidikan dan sumbangan intelektual di peringkat antarabangsa, selari dengan aspirasi universiti untuk terus kekal relevan dalam landskap akademik global seiring Pelan Strategik UMPSA30.

“UMPSA kini berada dalam kelompok 150 terbaik dunia bagi subjek Petroleum Engineering dan dalam julat 500 terbaik dunia bagi bidang Engineering & Technology, sekali gus membuktikan kekuatan dan kepakaran universiti dalam bidang teras kejuruteraan dan teknologi.

“Pencapaian ini juga menunjukkan peningkatan daya saing UMPSA di peringkat antarabangsa hasil usaha bersepadu warga universiti dalam memastikan kualiti pengajaran, penyelidikan dan kolaborasi industri sentiasa relevan serta berimpak tinggi. 

“Kejayaan ini akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan universiti dalam memperluas jaringan kolaborasi global dan meningkatkan impak penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat serta industri.

“Universiti menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi yang berupaya memperkaya ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) termaju di negara ini,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, misalannya program kerjasama program ijazah dual dengan Karlsruhe University of Applied Science (HKA), Jerman yang masuk tahun ke-16 dilihat sebagai tanda aras terbaik kepada universiti di Malaysia.

“Sehingga kini, UMPSA merupakan satu-satunya universiti awam yang telah melaksanakan 12 program Ijazah Dual dengan kerjasama rakan strategik, Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) dan Mannheim University of Applied Sciences (HMA) Jerman, Beijing Jiaotong University (BJTU) dan Tianjian University, China, Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan, Hanyang University Erica Campus Korea Selatan dan terbaharu dengan Hebei University (HBU), China. 
 
“Kejayaan ini turut didorong oleh kecemerlangan di peringkat fakulti yang terlibat termasuk Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) khususnya dalam subjek Petroleum Engineering dan Engineering-Chemical,” katanya.

Manakala Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) bagi subjek Engineering-Mechanical, Aeronautical & Manufacturing.

Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) pula dalam bidang Materials Science dan Chemistry, diikuti Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) bagi subjek Engineering-Electrical & Electronic serta Fakulti Komputeran (FK) dalam bidang Computer Science & Information Systems.

Pihak universiti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh warga UMPSA atas komitmen dan usaha berterusan dalam memastikan kecemerlangan institusi ini terus diiktiraf di peringkat global.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri