Skip to main content

70 sukarelawan UMPSA tanam 1,000 pokok bakau dan lepaskan 700 ekor anak penyu bersempena dengan Sempena Hari Antartika 2025

CHERATING, 15 November 2025 - Seramai 70 sukarelawan yang terdiri daripada staf dan pelajar dari kelab Econexus telah menanam 1,000 pokok bakau dalam program Mangrove Planting Tree bersempena dengan Hari Antartika 2025 bertempat di Pantai Chendor, Cherating hari ini.

Program itu telah dirasmikan oleh Penolong Naib Canselor (Pembangunan), Profesor Dr. Mahadzir Ishak@Muhammad.

Beliau dalam ucapannya berkata, program penanaman bakau itu bukan sahaja menyemarakkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar, malah menyumbang secara langsung kepada usaha memulihara ekosistem pesisir pantai serta kelestarian biodiversiti negara.

“Lebih bermakna lagi, program ini dianjurkan bersempena dengan sambutan Hari Antartika 2025 yang mengingatkan kita tentang keunikan dan kerentanan kawasan kutub serta hubung kaitnya dengan perubahan iklim global.

“Justeru, aktiviti penanaman bakau ini menjadi simbol tindakan nyata dalam menyokong agenda iklim dunia dan memastikan bumi terus terpelihara untuk generasi akan datang.

“Penganjuran program seperti ini mengukuhkan peranan UMPSA sebagai sebuah universiti eco-campus yang sentiasa cakna terhadap isu kelestarian, selari dengan aspirasi negara ke arah pembangunan mampan,” ujarnya. 

Ia juga kataya turut menyahut komitmen Agenda Pembangunan Mampan (SDG) terutamanya SDG 13 (Climate Action), SDG 14 (Life Below Water) dan SDG 15 (Life on Land).

Profesor Dr. Mahadzir turut melahirkan rasa bangga dengan penglibatan para pelajar dan sukarelawan yang hadir kerana usaha mereka bukan sahaja memberi impak positif kepada alam sekitar tetapi juga membina nilai kepimpinan, empati dan tanggungjawab sosial.

“Sebagai universiti teknikal beraspirasi hijau, UMPSA sentiasa menggalakkan warga kampus, rakan industri dan komuniti untuk mengamalkan gaya hidup lestari melalui pengurusan sisa, penjimatan tenaga dan air serta aktiviti berasaskan komuniti hijau seperti program hari ini.

“Saya berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa melalui penyelidikan, pendidikan alam sekitar dan kerjasama komuniti sebagai usaha berterusan memelihara kawasan bakau daripada ancaman,” katanya. 

Hadir sama Pengarah Pusat Pembangunan Kelestarian UMPSA, Dr. Suhaidah Hussain dan Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) yang merupakan Penerima Geran Yayasan Penyelidikan Sultan Mizan, Profesor Madya Ir. Dr. Muhamad Zahim Sujod.

Dalam majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang menjayakan program berkenaan termasuk Yayasan Penyelidikan Sultan Mizan (YPSM), Kuantan Port Sdn. Bhd., Kasih Turtle Conservation Project, Syazlin Najwa & Partners, Ingeniis Sdn. Bhd., para sukarelawan serta semua peserta yang terlibat.

Program ity turut menyaksikan peserta melepaskan 700 ekor anak penyu sebagai simbol komitmen terhadap pemuliharaan hidupan marin selaras dengan usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga ekosistem laut.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Pusat Pembangunan Kelestarian

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri