Skip to main content

Adaptasi faktor kemanusiaan dalam memperkukuh ekosistem universiti

PEKAN, 16 Februari 2021 - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff menasihatkan seluruh warga UMP agar segera menggerakkan faktor kemanusiaan dalam mengadaptasi ekosistem universiti yang dilihat kini agak berbeza berbanding keadaan tradisi selari dengan kepesatan perkembangan global hari ini.

“Pada asalnya, ekosistem menggambarkan sistem ekologi yang kompleks dalam menjelaskan fungsi dan kepentingan organisma serta faktor persekitaran bagi mengekalkan keseimbangan dan kelangsungan organisma.

“Bagi fungsi ekosistem universiti yang terdiri daripada pelbagai ‘organisma’ seperti ahli akademik, pengurusan dan sistem sokongan serta faktor persekitaran antaranya jabatan, infrastruktur, logistik dan lain-lain ia memerlukan antara satu sama lain dalam memainkan peranan masing-masing demi kelangsungan serta keseimbangan universiti.

“Ekosistem universiti dalam hubungan ini termasuklah keupayaannya menguruskan pembiayaan pelajar, mewujudkan peluang pekerjaan untuk graduan, menubuhkan anak-anak syarikat yang menyumbang kepada kelestarian kewangan, pengkomersialan dan keusahawanan,” katanya dalam Majlis Amanat Tahunan Naib Canselor 2021 yang berlangsung secara dalam dalam talian baru-baru ini.

Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff berkata, justeru, kemanusiaan merupakan faktor paling kritikal bagi mengadaptasi peralihan UMP sebagai sebuah ekosistem. 

“Kejayaan faktor kemanusiaan ini bergantung kepada kekuatan nilai persaudaraan yang tulen iaitu kesediaan untuk berkongsi sumber dan bekerjasama merentasi parameter pusat tanggungjawab dan masing-masing serta melihat kejayaan saudara UMP kita sebagai kejayaan kita bersama.

“Kejayaan faktor kemanusiaan ini turut memerlukan semakan semula proses kerja sedia ada bagi menjana keputusan dan tindakan yang pantas. 

“Karenah birokrasi dan elemen tradisional yang tidak memberi nilai kepada proses kerja sedia ada hendaklah dikeluarkan manakala proses kerja yang berjaya disingkatkan hendaklah pula didigitalkan supaya boleh diakses dengan teknologi pada setiap masa,” katanya. 

Tambahnya lagi, kemanusiaan turut bermaksud peningkatan kebolehan modal insan UMP yang sedia untuk menjalani pembelajaran kendiri sepanjang hayat dan mencipta nilai positif dengan mengurangkan gosip dan hiburan yang tidak menambah nilai. 

“Etika, integriti dan profesionalisme merupakan roh kepada faktor kemanusiaan tersebut.

“UMP  kini  perlu melihat  agenda kemanusiaan yang lain termasuklah pembiayaan, pengurangan jurang digital,  pemetaan  kerjaya graduan,  kesetimpalan  upah  dengan  komptensi graduan,  pencarian  sumber  kewangan  alternatif  melalui  pelaburan, pengkomersialan  dan  perkhidmatan  anak-anak  syarikat.

“Dengan memberi perhatian berterusan kepada pemangkin ekosistem ini, sistem pendidikan tinggi yang holistik akan dapat terus diwujudkan oleh pemegang taruh sektor itu termasuk mewujudkan bilangan usahawan dan graduan yang seimbang; kecemerlangan bakat dan melahirkan graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berkualiti,” ujarnya. 

Selain itu, katanya, dalam memastikan kelestarian ekosistemnya, maka penting untuk warga UMP memahami tujuan asal penubuhan  dan  kewujudan  UMP  sebagai  sebuah universiti teknikal dan ini perlu terus dikekalkan oleh generasi masa  depan. 

“Mereka juga perlu mempunyai keupayaan untuk memberikan sumbangan cemerlang kepada komuniti yang melangkaui ekspektasi umum. 

“Ini termasuklah meningkatkan  kebolehan mereka   dengan   apa  juga  kemahiran  yang  menyumbang  kepada  kesuburan ekosistem UMP.

“Sepanjang tahun 2020, sebanyak 11 inisiatif telah diusahakan dan juga yang akan diteruskan pelaksanaannya iaitu penubuhan Institut  Tamadun  dan  Kajian  Strategik  (ITKAS)  sebagai usaha  memajukan  negeri  Pahang  melalui  inisiatif strategik  dan  kajian tamadun,  penubuhan  Pusat  Diploma  dan  Asasi  yang menawarkan  program  matrikulasi,  A-Level,  diploma  dan  pradiploma, penjenamaan semula Pusat Kokurikulum sebagai Pusat Pembangunan Adab yang  bakal  melihat  pembangunan  mahasiswa  secara  lebih  holistik  dan universal,” katanya. 

Tambah beliau, ini termasuklah pemerkasaan Penerbit UMP dengan  menjenamakannnya  semula sebagai SUARA UMP yang tidak lagi semata-mata berperanan menerbitkan buku dan bahan ilmiah tetapi kini menjadi jambatan  komunikasi UMP dengan komuniti serta perancangan Pelan  Strategik  UMP  2021-2025.

“Lain-lain ialah dengan mewujudkan Dasar Etika  Penyelidikan, pelancaran Polisi Pengkomersialan yang  baharu, peningkatan taraf infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi melalui pengwujudan Visual Desktop Inftrastructure (VDI) yang berpusat untuk seluruh warga UMP juga pengwujudan platform ILMU yang digerakkan oleh UMP Advanced Education Sdn. Bhd.  bagi menggalakkan  akses  ilmu  pengetahuan oleh  komuniti.

“Inisiatif lain termasuklah menubuhkan UMP Student Entrepreneurship Sdn. Bhd. sebagai anak syarikat dalam kumpulan UMP Holdings sebagai inkubator usahawan mahasiswa dalam kerangka Pelan Strategik  UMP  2021-2025, pendigitalan operasi kampus dan penubuhan Yayasan UMP,” katanya. 

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Dekan Pusat Bahasa Moden, Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd. Alwi dan Pengarah Penerbit, Muhammad Azli Shukri.
 

Sumber: Ikhtisar Amanat Tahunan Naib Canselor 2021 ‘Kemanusiaan dalam Ekosistem Universiti’ berdasarkan Strim Langsung UMPTV yang disediakan oleh Ketua Penyelidik Pejabat Naib Canselor, Wan Nazrul Helmy Wan Mohd. Zain. 
Disediakan Oleh : Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor.

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit