ALIVE © kaedah pendekatan pembelajaran maya tingkatkan penglibatan dan prestasi akademik pelajar
PEKAN, 6 Februari 2025 – Active Lightboard Virtual Education (ALIVE ©) merupakan satu kaedah pendekatan pembelajaran maya yang mampu untuk meningkatkan penglibatan dan prestasi akademik pelajar.
Pendekatan Book-end Division (BDA) melalui ALIVE © ini telah dibangunkan oleh Nurul Wahidah Arshad, Ts. Dr. Rohana Abdul Karim, Dr. Suliana Ab Ghani dan Norazian Subari dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), serta Zul Idham Yahya dari Pusat Sumber Pengajaran dan e-Pembelajaran (PSPe), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Menurut Nurul Wahidah Arshad, inisiatif yang dibangunkan adalah pendekatan BDA melalui ALIVE ©.
“Ia secara signifikan mampu untuk meningkatkan penglibatan pelajar dan prestasi akademik dalam Kursus Digital Logic Design.
“Bagi menangani masalah penglibatan pelajar, ALIVE © memperkenalkan pendekatan pembelajaran maya yang imersif dengan menggabungkan informal active learning pedagogy, lightboard dan applikasi pengajaran seperti ClassPoint.
“Melalui inisiatif ini, lebih daripada 60 peratus pelajar merasakan suasana bilik darjah yang positif, manakala pencapaian hasil kursus meningkat sebanyak 17 peratus,” ujarnya.
ALIVE © juga turut meraih Anugerah Khas Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif (AKRI) bagi kategori Pembelajaran Immersif (Maya).
Anugerah itu merupakan satu anugerah anjuran KPT yang mengiktiraf inovasi dan kepakaran para pendidik di institut pengajian tinggi.
Menurut Nurul Wahidah Arshad, dia berminat untuk menyertai pertandingan ini melalui hebahan yang dilakukan oleh PSPe UMPSA.
“Bagi menghadapi sebuah pertandingan berprestij ini, saya kira ia tidak boleh dijalankan secara sendirian.
“Saya memerlukan sebuah support system dan rakan-rakan yang boleh memberi pandangan dari pelbagai sudut.
“Malah, saya juga bertanya kepada rakan-rakan rapat yang ingin bersama melalui proses pertandingan ini agar dapat belajar dan berjaya bersama-sama.
“Maka terhasillah kumpulan saya ini,” katanya.
Kumpulannya mengambil tempoh keseluruhan tiga tahun untuk menyiapkan projek ini.
Katanya, berdasarkan teknik active learning yang telah saya dipelajari, saya telah mengaplikasikannya dalam Kursus Digital Logic Design selama 3 semester.
“Dengan adanya fasiliti lightboard di EduCreator Studio yang telah dibangunkan oleh Dekan FTKEE, Profesor Ts. Dr. Hamdan, dan pengiktirafan sebagai ClassPoint Certified Trainer, ia memudahkan saya untuk melaksanakan inisiatif ini.
“Webinar dan bengkel-bengkel AKRI anjuran CIREL sangat membantu kumpulan saya untuk membuat persiapan dari segi pemilihan kategori, penyedian bukti sokongan dan dokumen yang berkualiti,” ujarnya.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 157 views