Alumni UMPSA Kumpul Sumbangan Bina Jambatan ke Masjid Beri Manfaat Buat Warga Kampus
PEKAN, 22 Julai 2026 – Warga Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bakal menerima manfaat apabila kemudahan jambatan merentasi Tasik Impian UMPSA menuju ke Masjid Al-Jazari dapat disediakan hasil kutipan dana yang digerakkan pihak Pusat Perhubungan Alumni UMPSA menerusi kempen “Jom Menyumbang, Alumni UMPSA!”.
Usaha yang sedang dilaksanakan ini bagi mengumpul dana sebanyak RM60,000 untuk menjayakan projek Jambatan Titian Iman, sebuah inisiatif yang bakal memberi manfaat kepada buat pelajar di UMPSA Kampus Pekan.
Menurut Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UMPSA, Ts. Dr. Mohamad Rusydi Mohamad Yasin, projek ini bertujuan membina laluan pejalan kaki yang menghubungkan kawasan kediaman pelajar dengan Masjid Al-Jazari bagi memudahkan urusan pelajar menunaikan solat berjemaah dan solat Jumaat.
Ujarnya, pada masa ini, pelajar perlu menempuh perjalanan sejauh antara 2.14 hingga 2.5 kilometer untuk ke masjid. Keadaan itu bukan sahaja mengambil masa yang lebih lama, malah turut berdepan risiko cuaca panas atau hujan serta kemungkinan terlepas khutbah akibat kelewatan.
Selain itu, penggunaan perkhidmatan bas ulang-alik yang terhad kapasitinya turut menambah cabaran kepada pelajar khususnya pada setiap hari Jumaat.
Melalui pembinaan Jambatan Titian Iman, jarak perjalanan pelajar dijangka dapat dipendekkan sehingga 60 peratus kepada hanya 0.96 kilometer, sekali gus menyediakan laluan yang lebih selamat, selesa dan mesra pengguna.
Ts. Dr. Mohamad Rusydi berkata, inisiatif ini merupakan satu peluang kepada alumni untuk terus menyumbang kepada pembangunan universiti dan kebajikan mahasiswa walaupun telah menamatkan pengajian.
“Jambatan Titian Iman bukan sekadar sebuah infrastruktur fizikal, malah ia merupakan simbol kebersamaan dan keprihatinan alumni terhadap generasi pelajar UMPSA yang akan datang.
“Setiap sumbangan yang diberikan akan menjadi sebahagian daripada amal jariah yang berterusan manfaatnya.
"Apabila jambatan ini digunakan setiap hari oleh pelajar untuk menunaikan ibadah dan menjalani aktiviti kampus, para penyumbang turut berkongsi ganjaran daripada manfaat yang terhasil,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh alumni UMPSA agar bersama-sama menjayakan kempen tersebut bagi merealisasikan pembinaan jambatan yang mampu memberi impak besar kepada kehidupan warga kampus.
“Walaupun sumbangan yang diberikan mungkin kecil, impaknya amat besar kepada ribuan pelajar.
"Saya percaya semangat kekeluargaan dan kebersamaan alumni UMPSA mampu membantu merealisasikan projek ini demi kemudahan dan kesejahteraan mahasiswa,” ujarnya.
Projek Jambatan Titian Iman juga dilihat sebagai satu bentuk pelaburan wakaf yang menyumbang kepada pembangunan ekosistem kampus yang lebih kondusif serta menyokong usaha universiti dalam memupuk budaya berinfak dan beramal.
Orang ramai khususnya alumni UMPSA yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui platform InfaqPay di pautan https://infaqpay.my/plus/tabung-alumni-umpsa-pembinaan-jambatan atau mengimbas kod QR yang disediakan dalam bahan promosi kempen.
Kempen yang dijalankan ini diharap dapat mencapai sasaran kutipan RM60,000 sekali gus merealisasikan pembinaan Jambatan Titian Iman sebagai legasi kebajikan alumni untuk manfaat warga UMPSA pada masa hadapan.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
- 105 views
Reports by: