Amalkan penjagaan diri dan kebersihan
Kuantan, 22 April- Sentiasa amalkan penjagaan diri dan kebersihan dalam kehidupan seharian memandangkan banyak permukaan yang kita sentuh terdedah kepada bakteria atau virus yang boleh menjadi punca penyebab penyakit. Bakteria atau virus boleh melekat di tangan ketika berjabat tangan, memegang pemegang pintu, paip, perkakas dapur, peralatan tandas dan lain-lain. Tangan boleh bertindak sebagai ejen pemindahan bakteria atau virus apabila menyentuh muka terutama mata, hidung atau mulut. Membasuh tangan merupakan salah satu langkah penting yang boleh kita ambil untuk mengelakkan penyebaran penyakit. Tindakan mencuci tangan dengan sabun perlu dijadikan amalan seharian, bukan hanya untuk mencegah penularan wabak COVID-19 semata-mata.
Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses UMP, Ts. Dr. Norashikin Mohd Zain berkata, budaya membasuh tangan hendaklah dipraktikkan dalam kalangan semua peringkat umur. Kanak-kanak khususnya mudah terdedah pada penyakit berjangkit kerana mereka kurang berhati-hati ketika menggosok mata atau mengesat hidung selepas menyentuh benda atau individu lain. Mereka perlu dididik mengenai kepentingan membasuh tangan dengan cara yang betul terutama sebelum makan dan selepas penggunaan tandas.
Sebagai ibu bapa juga perlu mempunyai kesedaran dalam menjaga kebersihan tangan dan berperanan dalam mendidik anak-anak mereka. Amalan membasuh tangan dengan cara yang betul juga patut diteruskan contohnya di pusat jagaan kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak pra sekolah mudah terdedah kepada penyakit yang mudah merebak apabila bergaul antara mereka. Ia juga perlu diterapkan di sekolah-sekolah bagi menjaga kesihatan pelajar. Begitu juga apabila berada di rumah semasa bersama anak kecil, para ibu digalakkan membasuh tangan selepas menukar lampin bayi.
“Tangan kita mungkin kelihatan bersih, tetapi ini tidak bermakna ianya bebas dari mikro oroganisma berbahaya. Semua orang mengetahui membasuh tangan itu penting khususnya dalam menghalang penularan jangkitan penyakit. Namun, sejauh mana kita mempraktikkan kaedah membasuh tangan yang betul?. Membasuh tangan dengan sabun dan air adalah cara terbaik untuk menyingkirkan kotoran, bakteria atau virus daripada permukaan kulit. Tangan yang bersih dapat mengelakkan penyebaran mikroorganisma antara individu kepada individu yang lain,” katanya.
Terdapat juga banyak produk pembersihan atau pencuci di pasaran dan kita perlu mengetahui setiap produk mempunyai kandungan dan fungsi yang berbeza serta bergantung kepada kesesuaian kulit pengguna.
Beliau yang mempunyai pengalaman dalam penyelidikan lebih 10 tahun di UMP turut berkongsi kejayaan penghasilan tiga produk berkaitan pencuci iaitu pencuci tangan anti mikrob, pembersih badan anti mikrob (antimicrobial body wash) dan semburan pembersih ruang (antimicrobial spray) di bawah jenama Aureiz keluaran Syarikat Medieva Sdn.Bhd dengan pembiayaan geran Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUBERB) di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).
Menurutnya, produk pencuci tangan yang dihasilkan ini menggunakan bahan antimicrobial yang selamat dan dapat membersihkan tangan dari kotoran, bakteria atau virus penyebab penyakit. Ia menggunakan formulasi lembut yang membersihkan kulit tanpa mengeringkannya. Pencuci tangan ini terdapat dalam pelbagai pilihan aroma yang menenangkan seperti lavender dan vanilla.
Manakala bagi pembersih badan ia terdapat dalam pelbagai pilihan aroma yang menenangkan seperti lavender, rose dan vanilla. Terdapat perbezaan produk pembersih badan ini berbanding produk lain iaitu produk ini tidak mengandungi sodium lauryl sulfate (SLS), sodium laureth sulfate (SLES), paraben atau alkohol. Natural surfactant digunakan untuk penghasilan buih. Ia selamat untuk pengguna dan bahan-bahan yang digunakan juga memelihara alam sekitar. Bahan antimicrobial yang terdapat di dalam produk ini membantu membunuh kuman.
Bagi membantu membunuh bakteria di permukaan dan ruang, pihaknya menghasilkan semburan antimikrob. Ia terdiri daripada cairan yang mengandungi beberapa bahan antimicrobial bagi membasmi kuman. Malahan cairan ini mengandungi esktrak semula jadi bagi menggantikan penggunaan bahan kimia untuk memberikan bau yang harum. Semburan antimikrobial ini juga boleh digunakan untuk menyembur kawasan seperti di ruang tamu, bilik tidur, tilam, tandas, permainan anak-anak, kawasan tong sampah, di dalam kereta atau di mana-mana permukaan untuk tujuan pembersihan. Semburan antimikrobial ini terdapat dalam dua pilihan bau yang menyegarkan iaitu lavendar dan vanilla.
Produk pencuci tangan dan badan telah mendapat kelulusan notifikasi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ketiga-tiga produk telah lulus Recognition Program untuk Lab tested dari agensi Bioeconomi Corporation bagi mengesahkan kandungan bahan-bahan adalah selamat.
Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa menjaga kebersihan diri, keluarga dan persekitaran. Bagi penjagaan diri amalkan tujuh langkah yang perlu diikuti untuk membasuh tangan dengan cara yang betul seperti yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih secukupnya, gosok tapak tangan, setiap jari dan celah-celah jari serta gosok kuku pada tapak tangan juga belakang tangan. Setelah itu, bilas dengan air bersih yang mencukupi dengan sempurna dan keringkan tangan dengan tuala yang kering dan bersih atau alat pengering tangan.
- 18354 views