Skip to main content

APEX 2026 angkat kecemerlangan akademik mahasiswa pascasiswazah UMPSA

PAYA BESAR, 23 November 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh budaya kecemerlangan akademik dan penyelidikan menerusi penganjuran Academic Postgraduate Excellence (APEX) Awards 2026 yang menjadi platform pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang mahasiswa pascasiswazah universiti.

Majlis yang menghimpunkan seramai 186 mahasiswa pascasiswazah itu turut menyaksikan penyampaian ucapan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias yang menegaskan bahawa kecemerlangan akademik dan penyelidikan merupakan elemen penting dalam melahirkan graduan pascasiswazah berkualiti, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan ilmu dan masyarakat.


“Kecemerlangan mahasiswa bukan sekadar dinilai berdasarkan pencapaian akademik, malah turut merangkumi keupayaan menghasilkan penyelidikan berkualiti, pemikiran kritis serta penerokaan inovasi yang memberikan manfaat kepada masyarakat dan negara.

“Mahasiswa pascasiswazah perlu mempunyai semangat kesungguhan, ketekunan dan komitmen yang tinggi dalam meneroka ilmu baharu.

“Keupayaan menghasilkan penyelidikan yang berkualiti dan berimpak tinggi amat penting dalam menyokong pembangunan teknologi serta menangani cabaran semasa,” ujarnya.

Katanya lagi, pengiktirafan menerusi APEX Awards ini diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada mahasiswa untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan, menghasilkan penyelidikan berkualiti tinggi dan mengharumkan nama UMPSA di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Antara pengisian utama majlis ialah penyampaian tujuh anugerah kecemerlangan melibatkan kategori Sarjana (Kerja Kursus/Mod Campuran), Sarjana (Penyelidikan) dan Doktor Falsafah (Penyelidikan) yang dibahagikan kepada dua kelompok pengajian, iaitu kategori umum serta Sains, Kejuruteraan dan Teknologi (SET).

Selain itu, Anugerah Terbaik Keseluruhan turut diberikan kepada mahasiswa yang mencatatkan pencapaian paling cemerlang sebagai penghargaan terhadap dedikasi, komitmen dan kesungguhan mereka sepanjang pengajian di peringkat pascasiswazah.

Turut hadir, Penolong Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (Pembangunan Pelajar), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Razali Daud serta Pengarah Akademi ADAB, ChM. Dr. Siti Umairah Mokhtar.

Dalam pada itu, majlis turut menyampaikan anugerah King and Queen of the Night kepada tetamu yang menyerlah menerusi penampilan menarik dan kreatif bersesuaian dengan tema yang ditetapkan.

Bertemakan ‘Around the World’, majlis mengetengahkan kepelbagaian budaya antarabangsa menerusi pemakaian busana tradisional dari pelbagai negara oleh para tetamu, sekali gus mewujudkan suasana meriah dan penuh warna-warni.

Kemuncak kemeriahan turut diserikan dengan persembahan pembukaan, tayangan montaj video, persembahan hiburan serta cabutan bertuah.

Penganjuran APEX Awards 2026 diharap dapat terus menjadi pemangkin kepada mahasiswa pascasiswazah untuk meningkatkan pencapaian akademik dan menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi, sekali gus memperkukuh kedudukan UMPSA sebagai universiti yang komited melahirkan graduan berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri