Skip to main content

Audit ISO 9001:2015 UMPSA cemerlang, tiada NCR

PEKAN, 25 September 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh budaya kualiti dan tadbir urus universiti apabila berjaya melengkapkan Sesi Audit Pemantauan Kali Ke-2 Pensijilan MS ISO 9001:2015 tanpa sebarang Laporan Ketidakakuran (NCR).

Lebih membanggakan, audit yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 September itu turut menyaksikan perluasan skop pensijilan dengan penglibatan program pascasiswazah.

Perluasan tersebut melengkapkan skop pensijilan UMPSA kepada Pembangunan dan Pengurusan Program Ijazah Sarjana Muda, Pascasiswazah dan Perkhidmatan Sokongan Yang Berkaitan, sekali gus mencerminkan usaha berterusan universiti dalam memastikan penyampaian perkhidmatan akademik dan sokongan dilaksanakan berasaskan sistem pengurusan kualiti yang tersusun dan berkesan.

Audit pemantauan berkenaan dikendalikan oleh tiga juruaudit daripada SIRIM QAS International yang diketuai Hajah Hanida Ghazali, bersama Chua Mea Keng dan Md Shah Md Said.

Penyelarasan audit pula diketuai Pengarah Kanan (Kualiti dan Penarafan), Profesor Ir. Dr. Norazwina Zainol dari Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti, UMPSA.

Sebanyak enam pusat tanggungjawab dan dua fakulti terlibat dalam audit berkenaan, iaitu Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti, Perpustakaan, Fakulti Pengurusan Industri, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik, Pusat Bahasa Moden, Pusat Komunikasi Korporat, Pusat Sejahtera serta Pusat Kerjaya UMPSA.

Audit ISO 9001:2015 UMPSA cemerlang, tiada NCR

Komitmen pengurusan tertinggi universiti turut terserlah apabila Naib Canselor UMPSA, meskipun tidak dapat hadir secara fizikal, tetap menyampaikan amanat menerusi rakaman video khas bersempena dengan Mesyuarat Pembukaan Audit Pemantauan MS ISO 9001:2015.

Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan atas kehadiran juruaudit SIRIM QAS International serta menegaskan kepentingan audit pemantauan bagi memastikan Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) universiti terus berada pada tahap optimum.

Beliau turut mengingatkan bahawa pelaksanaan audit ini merupakan kesinambungan kepada kejayaan UMPSA memperoleh pensijilan MS ISO 9001:2015 pada 2024 dan melepasi Audit Pemantauan Kali Pertama pada 2025.

Audit kali ini memberi tumpuan kepada tiga aspek utama, iaitu pematuhan berterusan terhadap keperluan standard, semakan prestasi berdasarkan objektif organisasi serta pengukuhan kawalan operasi dan tadbir urus.

Sehubungan itu, semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang terlibat diseru untuk terus memberikan kerjasama secara telus dan profesional dalam memastikan budaya penambahbaikan berterusan menjadi sebahagian daripada amalan kerja warga universiti.

Sesi audit yang berakhir pada 25 September lalu turut dipengerusikan oleh Pengarah Kanan (Strategik dan Risiko), PPSK, Profesor Ir. Ts. Dr. Faiz Mohd Turan yang menzahirkan penghargaan terhadap komitmen seluruh warga UMPSA dalam memastikan pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti sentiasa diperkasa.

Kejayaan audit turut mendapat pengiktirafan positif daripada pihak juruaudit yang memuji kesediaan warga UMPSA dalam menyediakan bahan bukti dan dokumentasi mengikut keperluan piawaian.

Hasil audit menyaksikan UMPSA tidak menerima sebarang Laporan Ketidakakuran (NCR), sekali gus membuka laluan kepada universiti untuk membuat persediaan menghadapi Audit Pensijilan Semula MS ISO 9001:2015 pada tahun hadapan.

Pencapaian berkenaan membuktikan bahawa kualiti bukan sekadar memenuhi keperluan pensijilan, sebaliknya menjadi budaya kerja yang diterapkan secara menyeluruh bagi memperkukuh kecekapan tadbir urus, keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta daya saing UMPSA di peringkat global.

Disediakan Oleh: Naquiyah Nadhirah Zulbahri, Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (PPSK)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri