AURA perkukuh kerjasama penyelidikan rentas negara, buka peluang kolaborasi strategik UMPSA di peringkat Asia
PUTRAJAYA, 19 November 2026 – Penglibatan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam Asian Universities Research Alliance (AURA) bersempena dengan Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 membuka peluang lebih luas kepada universiti untuk memperkukuh jaringan penyelidikan antarabangsa serta meneroka kolaborasi strategik bersama institusi pendidikan tinggi di rantau Asia.
UMPSA diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor ChM. Dr. Hasbi Ab Rahim yang turut menghadiri program berkenaan.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, penyertaan UMPSA dalam platform AURA merupakan satu peluang strategik untuk memperluas jaringan kerjasama penyelidikan antarabangsa, khususnya dalam menghubungkan kepakaran penyelidik universiti dengan rakan kolaborasi dari pelbagai negara.
“Kerjasama penyelidikan pada peringkat antarabangsa amat penting dalam memperkukuh keupayaan universiti untuk menghasilkan penyelidikan yang lebih kompetitif, berimpak tinggi dan relevan dengan keperluan semasa.
“Melalui AURA, UMPSA berpeluang meneroka kerjasama pelbagai hala yang bukan sahaja melibatkan perkongsian kepakaran dan kemudahan penyelidikan, malah membuka ruang kepada penyeliaan bersama pelajar pascasiswazah, mobiliti penyelidik serta pembangunan projek penyelidikan rentas negara,” ujarnya.
AURA merupakan platform kerjasama penyelidikan berteraskan Asia yang menghubungkan institusi pendidikan tinggi menerusi sepuluh Konsortium Penyelidikan Utama (Flagship Research Consortia).
Setiap konsortium dibentuk bagi menangani cabaran penyelidikan kompleks melalui gabungan kepakaran, sumber dan keupayaan penyelidikan daripada pelbagai universiti dan negara.
Inisiatif ini melibatkan kesemua 20 universiti awam (UA) Malaysia bersama delegasi antarabangsa, dengan keahlian rangkaian berdasarkan jemputan dan urus setianya berpusat di Bahagian Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Sains Malaysia (USM).
Berbeza daripada pendekatan kerjasama akademik konvensional yang lazimnya berasaskan perjanjian dua hala, AURA mengetengahkan model kolaborasi pelbagai negara yang lebih menyeluruh dan mampan menerusi pembentukan pasukan penyelidikan bersama, perkongsian matlamat, pembangunan bakat penyelidikan serta penyelarasan sumber pembiayaan.
Program AURA menampilkan tiga forum utama yang membincangkan keutamaan penyelidikan dan pembangunan kapasiti di rantau Asia. Forum AURA 1 bertemakan ‘Kesihatan dan Kesejahteraan: Membangunkan Bakat dan Kapasiti Penyelidikan di Seluruh Asia’, Forum AURA 2 bertemakan ‘Dari Makmal ke Industri: Teknologi Termaju untuk Pertumbuhan Asia’ dan Forum AURA 3 membincangkan ‘Memanfaatkan Dividen Demografi Asia: Modal Insan, Kemahiran dan Masa Depan yang Mampan’.
Selain forum, program turut merangkumi Mesyuarat Ahli Pengasas AURA bagi membincangkan hala tuju dan komitmen bersama universiti anggota.
Kemuncak program menyaksikan pelancaran Rangkaian Global Asian Universities Research Alliance (AURA) oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, selain penyerahan Resolusi AURA 2026 sebagai asas kepada pelaksanaan kerjasama penyelidikan yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Turut menyertai program tersebut ialah delegasi antarabangsa yang mewakili jaringan kerjasama penyelidikan UMPSA, iaitu Dr. Ir. R. Sugeng Joko Sarwono dari Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia serta Dr. Pham Tran Bich Thuan dan Tran Duy An dari Industrial University of Ho Chi Minh City (IUH), Vietnam.
Kehadiran delegasi berkenaan mencerminkan hubungan strategik UMPSA dengan institusi pendidikan tinggi antarabangsa yang berpotensi diperkukuh melalui pelbagai inisiatif penyelidikan dan inovasi bersama.
Melalui penyertaan dalam AURA, UMPSA komited untuk memperluas jaringan kolaborasi penyelidikan, memperkukuh perkongsian kepakaran serta meningkatkan penglibatan penyelidik dalam projek penyelidikan antarabangsa, sekali gus menyumbang kepada penghasilan ilmu, inovasi dan penyelesaian teknologi yang memberi manfaat kepada masyarakat serta pembangunan negara dan rantau Asia.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
- 15 views