Bicara Kepimpinan UMPSA bersama Pengarah AKEPT sasar kepentingan pembangunan bakat ke arah kelestarian institusi
PEKAN, 7 Julai 2026 – Warga universiti perlu menilai tahap kesiapsiagaan organisasi melalui persoalan yang mencabar pemikiran, iaitu sama ada setiap pusat tanggungjawab mempunyai pemimpin pelapis yang bersedia mengambil alih sekiranya berlaku kekosongan jawatan kepimpinan.
Menurut Pengarah Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Profesor Dr. Harshita Aini Haroon, pembangunan kepimpinan bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan satu keperluan strategik bagi menjamin kesinambungan organisasi.
Beliau turut menghuraikan bahawa landskap pendidikan tinggi masa kini sedang berdepan pelbagai cabaran termasuk transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI), kelestarian kewangan, persaingan global, perubahan generasi, pengekalan bakat serta peningkatan tuntutan terhadap tadbir urus yang lebih tangkas dan berakauntabiliti.

Ujarnya, pemimpin institusi perlu memiliki keupayaan strategic foresight, systems thinking, pengurusan pihak berkepentingan, kepimpinan perubahan dan kepimpinan bakat bagi memastikan organisasi terus relevan serta mampan.
“Pemimpin berprestasi tinggi perlu menggabungkan karakter, kompetensi dan komitmen sebagai asas kepimpinan yang berkesan,” katanya dalam Program Bicara Kepimpinan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Siri 1/2026 hari ini.
Antara ciri utama yang diketengahkan ialah berteraskan tujuan (purpose-driven); berfikiran strategik; adaptif terhadap perubahan; berorientasikan pembangunan insan (people-centred); dan berfokus kepada impak (impact-focused).
Perkongsian turut memberi penekanan kepada kepentingan ‘Succession Planning’ dan pembangunan ‘Talent Pool’ secara sistematik melalui proses mengenal pasti jawatan kritikal, mengenal pasti bakat berpotensi tinggi, menilai tahap kesiapsiagaan, melaksanakan pembangunan secara dipercepatkan serta memastikan kesinambungan pembangunan bakat.
Ujarnya, pendekatan ini penting bagi memastikan universiti sentiasa mempunyai barisan pemimpin yang bersedia menggalas tanggungjawab pada masa hadapan.
Selain itu, beliau menekankan bahawa pembangunan kepimpinan merupakan tanggungjawab bersama seluruh organisasi melalui pembudayaan leaders develop leaders, amalan coaching dan mentoring, budaya pembelajaran berterusan serta akauntabiliti bersama bagi mewujudkan ‘Leadership Multiplication Effect’ dalam organisasi.
Beliau menggariskan lima anjakan utama yang perlu diberi perhatian oleh institusi pendidikan tinggi (IPT), antaranya peralihan daripada kepimpinan berasaskan jawatan kepada distributed leadership, daripada latihan kepada ekosistem kepimpinan, daripada kompetensi kepada keupayaan (capability), daripada succession planning kepada succession culture, serta daripada kecemerlangan individu kepada kelestarian institusi.
Manakala turut diperkenalkan Institution Leadership Sustainability Framework sebagai kerangka pembangunan kepimpinan yang menghubungkan tujuan institusi, pengenalpastian bakat, pembangunan kepimpinan, keupayaan kepimpinan dan kesiapsiagaan masa hadapan.
Penganjuran Bicara Kepimpinan UMPSA Siri 1/2026 membuktikan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkukuh budaya kepimpinan melalui perkongsian ilmu dan pembangunan bakat secara sistematik.
Inisiatif ini selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan pemimpin yang kompeten, berintegriti dan berdaya saing, sekali gus memastikan kelestarian kecemerlangan UMPSA sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang unggul.
Program Bicara Kepimpinan UMPSA Siri 1/2026 anjuran Jabatan Pendaftar melalui Pusat Pembangunan Bakat (CTD) yang bertemakan ‘Growing Leaders, Sustaining Institutions’ itu telah berlangsung di Dewan Kuliah Utama, Pusat Bahasa Moden (PBM), UMPSA Pekan.

Program ini dihadiri oleh seramai 150 orang peserta, terdiri daripada Pengurusan Tertinggi UMPSA, Kumpulan Kepimpinan UMPSA Tier 1, Tier 2 dan Tier 3, Kolam Bakat UMPSA, penjawat jawatan giliran pentadbiran, serta staf akademik dan staf pengurusan & profesional yang telah dinamakan.
Program itu merupakan salah satu inisiatif strategik di bawah Kerangka Program Kepimpinan UMPSA yang dilaksanakan secara berterusan sebagai platform perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang kepimpinan.
Selepas kejayaan penganjuran enam siri sepanjang tahun 2025 yang menampilkan barisan Pengurusan Tertinggi UMPSA sebagai penyampai, program ini diteruskan pada tahun 2026 dengan menampilkan tokoh kepimpinan pendidikan tinggi negara bagi memperkukuh budaya pembelajaran dan pembangunan kepimpinan dalam kalangan warga UMPSA.
Disediakan Oleh: Nurul Mardhiah Mahusin, Jabatan Pendaftar
- 54 views
Reports by: