Skip to main content

Bukan Sekadar AUKU 2.0: Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (OHEA) bakal beri nafas baharu landskap varsiti negara

PEKAN, 27 Ogos 2026 - Kerangka perundangan pendidikan tinggi negara dijangka melalui satu anjakan paradigma yang besar menerusi wacana One Higher Education Act (OHEA). 

Langkah ini dilihat bukan sekadar untuk menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang sudah berusia lebih setengah abad, tetapi sebagai kerangka baharu yang lebih segar, fleksibel dan 'kalis masa hadapan'.
Perkara ini dikupas secara mendalam menerusi forum bertajuk ‘One Higher Education Act: Memperbaharui Kerangka Perundangan Pendidikan Tinggi Negara" yang membariskan tiga tokoh pemikir akademik yang berwibawa bagi membincangkan hala tuju pendidikan tinggi di bawah payung perundangan baharu yang diadakan di Dewan Konvokesyen UMPSA Pekan. 

Mereka ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Profesor Ts. Dr. Kamal Yusof, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain dan Felo Muda Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Ketua Pemikir Negara 2026 dan pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee.

Profesor Ts. Dr. Kamal Yusof, menegaskan bahawa penggubalan akta baharu ini perlu mengambil kira landskap masa hadapan untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Bukan Sekadar AUKU 2.0 -1

“Revolusi teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan pendigitalan telah mengubah cara pengajaran dan pembelajaran secara drastik.

"Kita tidak mahu akta yang dibina hari ini hanya relevan untuk lima tahun. 

“Menjelang tahun 2050, ekosistem universiti mungkin tiada lagi sempadan (borderless), dan pensyarah mungkin berevolusi menjadi 'arkitek pembelajaran’. 

“Oleh itu, akta baharu ini harus merangkumi perkara asas berkaitan jaminan kualiti, manakala urusan operasi harian dan pengajaran harus diberikan autonomi penuh kepada institusi," ujarnya. 

Dari lensa pembangunan mahasiswa pula, Profesor Dr. Mohamad Izani Mohamad Zin, melihat OHEA sebagai satu platform untuk membentuk budaya politik yang matang dan pemerkasaan bakat pelajar.

Katanya, berbeza dengan era awal AUKU yang bersifat menyekat, ekosistem pendidikan tinggi hari ini merangkumi elemen keterbukaan di mana mahasiswa kini diberi ruang untuk berpolitik, menguruskan kewangan badan pelajar dan menyumbang suara di pelbagai platform.

"Universiti hari ini tidak lagi sekadar berbangga apabila berjaya melahirkan graduan. 

“Matlamat kita kini adalah melahirkan pemimpin dan bakat (talent) yang holistik. 

“Walau bagaimanapun, kebebasan yang diberikan mesti diiringi dengan 'pemerkasaan terpimpin' bersandarkan rasa tanggungjawab dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan," jelas beliau. 

Tambah beliau, kebebasan bersuara pelajar harus diterjemahkan dalam bentuk penghasilan idea dan penyelesaian yang bernas kepada isu negara, dan bukannya sekadar lontaran kritikan semata-mata.

“Kalau kita bercakap tentang pendidikan tinggi, kita tidak boleh lari daripada mahasiswa kerana tanpa mahasiswa, tiadalah universiti. 

“Sebab itu, perubahan yang berlaku dalam landskap mahasiswa perlu kita lihat dan fahami,” katanya.

Dalam masa sama, Profesor Dr. Mohd Izani turut menegaskan bahawa matlamat utama pendidikan tinggi bukan sekadar melahirkan graduan, tetapi membentuk insan berilmu, bernilai, berkemahiran serta mempunyai bakat dan kepimpinan.

“Ukuran kejayaan universiti bukan hanya pada berapa ramai graduan yang kita lahirkan, tetapi sejauh mana kita mampu melahirkan insan yang mempunyai ilmu, nilai, kemahiran dan bakat untuk menjadi pemimpin masa hadapan.

“Kita memerlukan akta yang mampu mewujudkan ekosistem pendidikan tinggi yang inklusif bagi menyokong pembentukan pemimpin masa depan. 

“Aspek pemerkasaan mahasiswa secara terpimpin juga perlu diberikan perhatian dengan mewujudkan sinergi yang kukuh antara mahasiswa, pensyarah dan pentadbir universiti.

“Mahasiswa mempunyai cita-cita yang besar,” ujarnya. 

Jelasnya, justeru, mereka memerlukan bimbingan dan sokongan daripada pensyarah serta pentadbir. 

“Sinergi yang baik antara ketiga-tiga pihak ini merupakan antara perkara penting yang perlu ditekankan dalam akta baharu,” katanya.

“Pembentukan jati diri, nilai kemanusiaan dan rasa tanggungjawab perlu terus menjadi teras dalam pendidikan tinggi, di samping memberikan mahasiswa ruang kebebasan dan autonomi yang bersesuaian dalam proses pembelajaran serta pembangunan diri.

“Kita tidak mahu penyeragaman dalam akta akhirnya membataskan kreativiti dan kebebasan mahasiswa. 

“Sebaliknya, akta yang akan datang perlu memberikan nafas baharu kepada sistem pendidikan tinggi dan membantu meningkatkan kemenjadian mahasiswa,” katanya. 

Tambah beliau lagi, matlamat akhirnya adalah untuk memastikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan terus dapat direalisasikan dalam melahirkan bakat dan bakal pemimpin negara yang bukan sahaja berjaya dalam kerjaya, tetapi juga menjadi warganegara yang baik dan bertanggungjawab,” katanya.

Menepis kebimbangan bahawa OHEA akan menghapuskan identiti unik setiap universiti, Dr. Umi Hamidatun Mohamad Sofian Lee, tampil memberi pencerahan.

Beliau menyifatkan OHEA bukanlah sebuah penyeragaman (homogenization) yang memaksa semua universiti beroperasi dengan cara yang sama, sebaliknya ia adalah satu bentuk penyelarasan (alignment) pengurusan dan hak asas.

"OHEA bukanlah AUKU 2.0, ia adalah satu payung perundangan yang menyatukan kerangka asas, namun masih meraikan kepelbagaian. 

“Setiap institusi sama ada Universiti Penyelidikan, Universiti Komprehensif mahupun Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) mempunyai mandat dan 'DNA' masing-masing.

"Apa yang dikongsi bersama adalah akauntabiliti,” ujarnya.

Katanya lagi, semakin besar autonomi yang diberikan kepada sesebuah universiti, semakin besarlah tahap akauntabiliti yang perlu dipikul. 

“Kedua-duanya mesti bergerak seiring," tegas Dr. Umi.

Forum berimpak tinggi yang dikendalikan oleh pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Nurul Jannah Mustafa Khan selaku moderator ini secara tuntasnya merumuskan bahawa pembentukan akta baharu ini bakal melalui sesi libat urus yang ekstensif. 

Ia bagi memastikan tiada pihak yang tercicir dalam usaha kerajaan membawa ekosistem pendidikan tinggi negara ke satu tahap yang lebih berdaya saing di persada global.

Forum ini dianjurkan bersempena dengan Program Kembara KARISMA Pemimpin Muda MADANI Zon Timur Tahun 2026 yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Pusat Komunikasi Korporat
 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri