Cari kekuatan, kenali cabaran dan peluang golongan kelainan upaya
PEKAN, 16 September 2021 – Setiap anak sama ada yang normal atau kelainan upaya adalah unik dan mereka memerlukan kasih sayang, semangat dan sokongan terutamanya ibu bapa sendiri.
Bagi ibu bapa yang dianugerahkan anak kelainan upaya haruslah bersyukur dengan kurniaan Allah SWT atas kehadiran anak istimewa ini di dalam keluarga.
Kita perlu menerima keadaan mereka dengan reda atas apa yang dikurniakan dengan mencari kekuatan dan kebolehan anak tersebut.
Jika kita lihat kini ramai golongan orang kurang upaya (OKU) dapat membuktikan kebolehan mereka sama ada dalam bidang akademik atau pelbagai kemahiran contohnya seperti kejayaan atlet paralimpik yang mengharumkan nama negara baru-baru ini.
Justeru, kenalilah cabaran dan peluang anak anda kerana kelainan upaya adalah suatu anugerah.
Zaidah Tamjis yang merupakan ibu kepada Siti Hawa Apandi yang merupakan Presiden Kelab OkUMP yang kini sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang komputeran di UMP berkata dalam membesarkan mereka kita perlu banyak bersabar, jangan ada rasa malu atau rendah diri, kita perlu cakna dengan kebolehan mereka dan teruskan memberi sokongan sehingga mereka berjaya.
“Siti Hawa menghidap penyakit Spinal Muscular Atrophy (SMA) sejak kecil lagi dan amat memerlukan saya untuk sentiasa bersamanya.
“Selagi mampu, saya akan sentiasa memberikan galakan dalam apa jua impian Siti Hawa.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada para pensyarah dan rakan-rakan anak saya yang banyak membantunya selama ini,” ujarnya.
Demikian menurutnya ketika hadir sebagai panel dalam menjayakan Program Siri Bicara Inspirasi OkUMP Merdeka yang bertajuk ‘Membudayakan Ekosistem Mesra OKU: Aspek Keibubapaan dan Kerjaya’ yang diadakan secara dalam talian dan disiarkan menerusi Facebook Celik OKUMP dan UMPMalaysia.
Manakala panel kedua yang merupakan Pereka UMP, Noor Azhar Abd Rasid pula merasa bersyukur dapat berkhidmat dan menyumbang bakti di UMP hampir 20 tahun walaupun dirinya ada kekurangan.
Beliau turut bersyukur mempunyai majikan dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan dan membantu dalam tugasan.
Baginya sebagai pekerja haruslah memikul tanggungjawab yang diberikan dengan sebaiknya.
“Jika dibandingkan 20 tahun dulu, kini nasib golongan OKU telah mula diambil perhatian dan disantuni sama ada dalam bentuk bantuan, fasiliti dan kemudahan di universiti.
“Saya ingin menyarankan kepada golongan OKU yang mempunyai kekurangan dari segi fizikal agar menuntut ilmu akademik atau kemahiran yang bersesuaian untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Namun, kita sedia maklum bahawa golongan OKU ini terdapat pelbagai kategori dan untuk berjaya terpulang kepada semuanya atas kehendak dan kemampuan diri masing-masing,” katanya
Program anjuran Unit Perkhidmatan OKU UMP (OkUMP) itu telah disertai seramai 260 peserta dan dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor UMP.
Hadir sama Pengarah Unit Perkhidmatan OKU UMP (OkUMP), Dr. Munira Abdul Razak dan Presiden Kelab OkUMP, Siti Hawa Apandi.
Dalam ucapan perasmiannya Profesor Dato’ Ts Dr Yuserrie berkata, dua aspek penting iaitu keibubapaan dan kerjaya yang menjadi dua peniup semangat untuk memerdekakan keupayaan potensi komuniti OKU secara optimum dalam membudayakan ekosistem mesra OKU.
Beliau berharap perkongsian ini seharusnya dapat dijadikan inspirasi dan tauladan kepada semua bahawa OKU bersama dalam memimpin dan memberi sumbangan bermakna dalam komuniti.
Selain itu, dengan program ini juga peserta dapat menghayati makna merdeka dengan tema ‘Malaysia Prihatin’ dan ‘OkUMP Prihatin’ dalam konteks yang lebih luas dan menyeluruh disorot daripada pengalaman panel dalam pengurusan golongan OKU.
Manakala bagi Dr. Munira pula, pihaknya berbesar hati kerana berjaya menganjurkan program penghayatan merdeka walaupun dalam suasana pandemik Covid-19 yang terhad dan mencabar.
Harapannya agar semua pihak menyokong usaha universiti dalam menterjemahkan solidariti Dasar Ekosistem Mesra OKU UMP (DAMAI).
Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)
- 329 views