CSR Antarabangsa STEM UMPSA cetus minat pelajar teroka inovasi
KUANTAN, 30 Jun 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus mengorak langkah memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi penganjuran Program International Corporate Social Responsibility (CSR) in STEM, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi (IPT), industri dan rakan antarabangsa dalam melahirkan generasi muda yang berdaya saing serta berfikiran inovatif.
Program yang berlangsung di Sekolah Menengah (A) Al-Maarif, Felda Bukit Goh itu dianjurkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Occupational Safety and Health), Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), UMPSA dengan kerjasama Universitas Telkom, Indonesia serta PK Agro-Industrial Products (M) Sdn. Bhd.
Inisiatif berimpak tinggi itu bertujuan memupuk minat pelajar terhadap bidang STEM, di samping meningkatkan kesedaran mengenai pembangunan lestari, keselamatan pekerjaan dan inovasi teknologi yang semakin menjadi pemacu pembangunan negara.
Sepanjang program, pelajar didedahkan dengan pelbagai perkongsian ilmu oleh pakar daripada UMPSA, Universitas Telkom dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn. Bhd. yang merangkumi pengenalan program prasiswazah FSTI UMPSA, inovasi keselamatan pintar dalam mewujudkan tempat kerja yang lebih selamat melalui STEM, pembangunan sistem fotovolta bumbung kediaman di Indonesia serta teknologi waste-to-energy yang kini menjadi antara fokus utama dalam agenda tenaga lestari.

Program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif berasaskan STEM yang memberi peluang kepada pelajar merasai sendiri pengalaman pembelajaran secara hands-on melalui eksperimen, demonstrasi teknologi dan pameran inovasi.
Aktiviti yang dikendalikan oleh pensyarah, staf teknikal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UMPSA, fasilitator Universitas Telkom serta wakil industri itu membolehkan peserta memahami aplikasi sebenar teknologi dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, keselamatan pekerjaan, sains kimia, kejuruteraan dan pemeliharaan alam sekitar.
Pendekatan pembelajaran secara praktikal itu bukan sahaja menjadikan STEM lebih dekat dengan kehidupan seharian pelajar, malah turut merangsang pemikiran kreatif, kemahiran menyelesaikan masalah serta minat untuk meneroka bidang kerjaya berasaskan teknologi pada masa hadapan.
Sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR), PK Agro-Industrial Products (M) Sdn. Bhd. turut menyumbangkan 200 pek telur CP kepada komuniti sekolah sebagai usaha membantu kebajikan warga sekolah dan memperkukuh hubungan antara industri dengan masyarakat setempat.
Sumbangan tersebut disampaikan kepada pihak pengurusan sekolah sebelum diagihkan kepada para peserta program sebagai simbol keprihatinan industri terhadap kesejahteraan komuniti.
Program CSR antarabangsa itu membuktikan bahawa kerjasama rentas sempadan antara universiti, industri dan institusi pendidikan mampu melahirkan generasi muda yang lebih celik STEM, berfikiran inovatif serta bersedia mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0 dan pembangunan mampan.
Disediakan Oleh: Dr. Wan Norlinda Roshana Mohd Nawi, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI)
- 46 views
Reports by: