Skip to main content
Dapur Siswa MADANI dan Siswa Mall UMPSA manfaat buat mahasiswa

Dapur Siswa MADANI dan Siswa Mall UMPSA manfaat buat mahasiswa

PEKAN, 21 Oktober 2026 - Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa menerusi inisiatif Dapur Siswa MADANI dan Siswa Mall yang memberi tumpuan kepada bantuan keperluan makanan serta pemerkasaan keusahawanan mahasiswa dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

Majlis peluncuran kedua-dua inisiatif tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU KPT), Yang Berbahagia Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman. 

Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed. 

Dapur Siswa MADANI dan Siswa Mall UMPSA manfaat buat mahasiswa

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, kebajikan mahasiswa merupakan aspek penting yang sentiasa diberikan perhatian bagi memastikan mereka dapat menjalani kehidupan kampus dengan lebih sejahtera, di samping memberikan tumpuan kepada pengajian dan pembangunan potensi diri.

“Pelaksanaan Dapur Siswa MADANI dan Siswa Mall mencerminkan komitmen UMPSA dalam menyediakan ekosistem kampus yang menyokong keperluan mahasiswa secara menyeluruh. 

"Selain membantu meringankan beban kos sara hidup, inisiatif ini turut membuka peluang kepada mahasiswa untuk membina kemahiran, meningkatkan keyakinan diri dan memperoleh pengalaman praktikal yang bermanfaat untuk masa hadapan. 

“Dapur Siswa MADANI merupakan inisiatif bersasar bagi membantu mahasiswa yang memerlukan, khususnya daripada golongan B40, mendapatkan akses kepada kemudahan penyediaan makanan bagi mengurangkan beban perbelanjaan harian sepanjang tempoh pengajian,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, sehingga kini, UMPSA telah berjaya menubuhkan dan mengoperasikan sembilan buah Dapur Siswa MADANI, melibatkan empat buah di Kampus Pekan dan lima buah di Kampus Paya Besar.

"Inisiatif yang dilaksanakan berteraskan garis panduan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini bertujuan mengurangkan kos pemakanan mahasiswa, mengelakkan situasi pelajar terpaksa berlapar akibat kekangan kewangan serta membolehkan mereka memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap proses pengajaran dan pembelajaran (PdP)," katanya. 

Dalam masa yang sama, Profesor Ts. Dr. Yatimah turut menerima sumbangan Siswa MADANI sebanyak RM 396, 589.79 dan Bantuan Food Bank berjumlah RM 58,795.14 yang disampaikan  Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin bagi menyokong inisiatif ini yang membuktikan keprihatinan kerajaan mengenai keperluan asas seperti makanan dalam kalangan pelajar yang kurang berkemampuan, supaya dapat ditangani dengan lebih menyeluruh.

Dapur Siswa MADANI dan Siswa Mall UMPSA manfaat buat mahasiswa

Selain membantu memenuhi keperluan asas mahasiswa, beliau menambah, kemudahan ini turut memupuk semangat kesukarelawanan, kerjasama dan sikap berdikari melalui penglibatan mahasiswa dalam pengurusan serta penyediaan makanan.

"Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pengguna sentiasa terpelihara, setiap fasiliti Dapur Siswa MADANI dilengkapi kemudahan dapur basah dan kering, periuk memasak induksi, peti sejuk serta ketuhar gelombang mikro. 

"Pengurusan bahan mentah pula dilaksanakan secara sistematik menggunakan kaedah Masuk-Dahulu-Keluar-Dahulu (MDKD) atau First In, First Out (FIFO) bagi memastikan kualiti dan kesegaran bahan makanan sentiasa terjamin," katanya. 

Selain memberi perhatian terhadap kebajikan mahasiswa, UMPSA turut memperkukuh pembangunan keusahawanan menerusi Siswa Mall, sebuah hab perkhidmatan dan keusahawanan mahasiswa yang dibangunkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) melalui kerjasama strategik antara Pusat Pembangunan Usahawan Kreatif (PUPUK) dan Pusat Perkhidmatan Pelajar (PPP).

Siswa Mall menyediakan platform perniagaan yang kondusif bagi membolehkan mahasiswa menjalankan aktiviti keusahawanan secara praktikal, di samping menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk memenuhi keperluan harian warga kampus.

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk dobi, pengurusan parcel, gunting rambut, percetakan serta penjualan pelbagai produk usahawan mahasiswa. 

Premis perniagaan yang beroperasi di Siswa Mall merangkumi Pusat Dobi (Lot 1), Pusat Parcel MPP (Lot 2), Olliey (Lot 4), Barber Shop KOPUMPSA (Lot 5), AR Fast Printing (Lot 6), House of Fajr (Lot 7) dan Unixgo Resources (Lot).

Kepelbagaian perkhidmatan ini bukan sahaja memudahkan urusan harian warga kampus, malah mewujudkan persekitaran perniagaan yang aktif serta membuka peluang kepada mahasiswa untuk mengembangkan idea dan potensi perniagaan masing-masing.

Beliau menambah, melalui kerjasama PUPUK dan PPP, mahasiswa turut mendapat sokongan dalam aspek pembangunan keusahawanan menerusi bimbingan, latihan, khidmat nasihat dan sokongan perniagaan, selain penyelarasan kemudahan serta pengurusan ruang niaga yang kondusif.

"Penglibatan secara langsung dalam aktiviti perniagaan membolehkan mahasiswa memperoleh pengalaman sebenar dalam pengurusan operasi, pemasaran, kewangan dan perkhidmatan pelanggan, sekali gus meningkatkan kemahiran serta keyakinan mereka untuk menjadi usahawan yang berdaya saing.

“Pendedahan kepada pengalaman keusahawanan sebenar dapat membantu mahasiswa memahami cabaran dunia perniagaan dan membina keupayaan untuk berdikari. 

"Pengalaman ini juga penting dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki pengetahuan akademik, malah mempunyai kemahiran insaniah dan pemikiran keusahawanan,” katanya.

Pelaksanaan Dapur Siswa MADANI dan pembangunan Siswa Mall membuktikan usaha UMPSA dalam mengimbangi keperluan kebajikan dengan pembangunan potensi mahasiswa secara menyeluruh.

Pendekatan ini selaras dengan aspirasi KPT untuk memperkukuh kesejahteraan mahasiswa serta komitmen UMPSA menerusi Pelan Strategik UMPSA30 ke arah melahirkan graduan yang holistik, berdikari dan berdaya saing.

Melalui penyediaan kemudahan sokongan makanan dan platform keusahawanan, UMPSA berharap mahasiswa dapat memanfaatkan peluang yang tersedia untuk meningkatkan kesejahteraan hidup, mengembangkan potensi diri serta membina kemahiran yang diperlukan bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan dan keperluan industri pada masa hadapan.

Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri