Skip to main content

Empat akademia dilantik terajui pusat dan institut utama UMPSA

PEKAN, 21 Julai 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengumumkan pelantikan baharu melibatkan empat warga akademiknya bagi menerajui pusat dan institut utama universiti berkuat kuasa Julai 2026 dalam usaha memperkasakan agenda akademik, penyelidikan dan inovasi universiti.

Surat pelantikan telah disampaikan oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias dalam satu majlis penyerahan surat pelantikan dan kenaikan pangkat yang berlangsung hari ini.

Antara yang menerima pelantikan ialah Ts. Dr. Muhammad Syahir Amzar Zulkifli sebagai Pengarah Pusat Teknologi Aeroangkasa, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi bagi tempoh dua tahun bermula 1 Julai 2026 hingga 30 Jun 2028.

Turut dilantik ialah Profesor Ts. Dr. Mohd Herwan Sulaiman sebagai Pengarah Pusat Strategi dan Pembangunan Penyelidikan, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI) berkuat kuasa 6 Julai 2026 hingga 5 Julai 2028.

Sementara itu, Profesor Madya Ts. Dr. Awanis Romli menerima amanah sebagai Dekan Institut Pengajian Integrasi Termaju, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) bermula 15 Julai 2026 hingga 14 Julai 2028.

Dalam perkembangan yang sama, Ts. Dr. Danakorn Nincarean Eh Phon dilantik sebagai Pengarah Pusat Pembelajaran Fleksibel dan Micro-Credential, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) bagi tempoh yang sama.

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias, pelantikan tersebut mencerminkan keyakinan universiti terhadap kemampuan dan kepakaran warga akademiknya untuk menerajui bidang masing-masing serta menyumbang kepada kecemerlangan institusi.

“Saya percaya setiap individu yang dilantik mempunyai pengalaman, kompetensi dan komitmen yang tinggi untuk menggalas amanah ini dengan sebaiknya. 

“Kepimpinan yang berwawasan dan berintegriti amat penting dalam memastikan UMPSA terus melakar kecemerlangan dalam bidang akademik, penyelidikan, inovasi dan jaringan strategik di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya.

Beliau turut berharap agar pelantikan tersebut dapat menyuntik semangat baharu dalam merealisasikan aspirasi Pelan Strategik UMPSA 2026-2030 (UMPSA30) serta memperkasakan budaya kecemerlangan dalam kalangan warga universiti.

Empat akademia dilantik terajui pusat dan institut utama UMPSA

Profesor Ts. Dr. Yatimah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Profesor Chm. Dr. Chong Kwok Feng yang telah menyempurnakan perkhidmatan beliau sebagai Pengarah Pusat Strategi dan Pembangunan Penyelidikan, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI) bermula 1 April 2025 hingga 5 Julai 2026.

Penghargaan turut diberikan kepada Profesor Madya Ts. Dr. Awanis Romli atas khidmat bakti beliau sepanjang menerajui Pusat Pembelajaran Fleksibel dan Micro-Credential, Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA) dari 1 September 2025 hingga 14 Julai 2026.

Pihak pengurusan universiti mengucapkan tahniah kepada semua penerima pelantikan dan berharap mereka akan terus memainkan peranan penting dalam memacu kecemerlangan UMPSA selaras dengan visi universiti untuk menjadi institusi teknologi terunggul yang memberi impak kepada masyarakat dan negara.

Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri