Skip to main content

FIM GreenWave berjaya kumpul 135.5 kilogram sampah di Pantai Gosong Pekan

PEKAN, 20 Oktober 2026 – Fakulti Pengurusan Industri (FIM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya menganjurkan program FIM GreenWave bersempena dengan FIM Globe 2026 di Pantai Gosong, Pekan, Pahang sebagai salah satu inisiatif menyokong agenda UMPSA30 serta pelaksanaan 2F.2(1) Living-Learning Community Programmes.

Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan kebersihan pantai, kelestarian alam sekitar dan tanggungjawab bersama dalam memelihara ekosistem semula jadi.

Program itu menghimpunkan seramai 26 orang pelajar dari Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) dan Telkom University (Tel-U), Indonesia, bersama enam orang staf akademik dan bukan akademik FIM.

Program ini turut disertai oleh pelajar daripada IMPRESS UMPSA, wakil daripada Bahagian Pembangunan Kampus Lestari (SDC) serta wakil daripada SWCorp dan Alam Flora. 


Menurut Pengarah Program, Dr. Nor Rokiah Hanum Md Haron, program itu turut memberi penekanan terhadap kepentingan tanggungjawab bersama dalam memelihara kebersihan serta memastikan kelestarian kawasan pantai agar terus terpelihara untuk generasi akan datang.


Beliau turut berkongsi penerangan mengenai objektif program, sekali gus meningkatkan kesedaran peserta tentang peranan masing-masing dalam menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.


Ujarnya, antara aktiviti utama yang dijalankan ialah plogging, iaitu aktiviti mengutip sampah sambil berjalan.

“Aktiviti selama dua jam ini melibatkan kawasan pantai sepanjang kira-kira dua kilometer.

“Para peserta bekerjasama mengutip pelbagai jenis sisa buangan termasuk plastik, botol, bahan polistirena (foam) dan kaca yang mencemarkan kawasan pantai.

“Hasil usaha secara kolektif tersebut, sebanyak 135.5 kilogram sampah berjaya dikumpulkan,” katanya.

Tambah beliau lagi, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 73.5 kilogram terdiri daripada sampah plastik, enam kilogram bahan foam, enam kilogram kaca dan 50 kilogram bahan buangan lain.

“Selain memberikan sumbangan secara langsung terhadap kebersihan alam sekitar, program ini turut membuka ruang kepada para pelajar untuk memahami kepentingan kelestarian melalui pengalaman dan penglibatan secara langsung,” katanya.

Salah seorang pelajar daripada Telkom University, Indonesia, Abdullah Ikhsan Munier turut berkongsi pandangan positif mengenai pengalaman menyertai aktiviti pembersihan pantai ini.

Menurutnya, program seumpama ini memberikan peluang kepada pelajar untuk menghayati tanggungjawab terhadap alam sekitar di luar bilik kuliah, di samping mengeratkan hubungan dan kerjasama antara pelajar daripada institusi pengajian yang berbeza.

Penglibatan SWCorp dan Alam Flora turut memberi nilai tambah kepada pelaksanaan program menerusi perkongsian ilmu dan kesedaran mengenai pengurusan sisa pepejal secara bertanggungjawab, selain menekankan kepentingan mengekalkan kebersihan kawasan awam.


Menerusi penglibatan itu, peserta turut didedahkan kepada kaedah pengendalian dan pelupusan sisa buangan yang betul, sekali gus memahami bahawa usaha memelihara kebersihan dan kelestarian alam sekitar memerlukan komitmen serta kerjasama semua pihak.


Penganjuran FIM GreenWave mencerminkan komitmen FIM UMPSA dalam memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar, semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universiti serta komuniti.

Penglibatan pelajar daripada institusi pengajian tinggi (IPT) yang berbeza, termasuk dari luar negara turut membuktikan bahawa program berasaskan komuniti mampu mewujudkan pengalaman pembelajaran yang bermakna di luar persekitaran akademik konvensional.

Melalui inisiatif seperti FIM GreenWave, para peserta diharapkan dapat menerapkan amalan pengurusan sampah yang lebih bertanggungjawab dalam kehidupan seharian serta menjadi agen perubahan dalam usaha mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan lestari.

Disediakan Oleh: Dr. Thilageswari A/P Sinnasamy Dan Dr. Nor Rokiah Hanum Md Haron, Fakulti Pengurusan Industri

 

Reports by:
AINIEY