FOI Putrajaya 2026 melabuhkan tirai serlah komitmen UMPSA cetus inovasi baharu
PUTRAJAYA, 19 November 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus menyokong usaha memperkukuh budaya ilmu, pemikiran kritis dan inovasi negara menerusi penyertaan dalam Majlis Penutupan Festival of Idea Putrajaya (Putrajaya FOI 2026) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Naib Canselor, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias turut sama hadir menyaksikan Majlis Penutup FOI 2026 yang berlangsung sejak tiga hari bermula 17 November lalu.

Penyertaan UMPSA turut diserikan dengan kehadiran seramai 200 orang pelajar yang berpeluang mengikuti pelbagai pengisian festival, sekali gus memberikan pendedahan kepada mahasiswa mengenai perkembangan teknologi, inovasi serta idea-idea baharu dalam membentuk masa depan negara.
Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, penganjuran Putrajaya FOI 2026 merupakan platform penting dalam menyemarakkan budaya berfikir, berkongsi idea dan memperluas perspektif mahasiswa terhadap perkembangan ilmu serta teknologi.
"Penglibatan mahasiswa dalam festival seumpama ini amat bermakna kerana mereka bukan sahaja berpeluang melihat perkembangan terkini dalam bidang teknologi dan inovasi, malah dapat memahami peranan serta tanggungjawab mereka sebagai generasi pelapis yang bakal mencorakkan masa depan negara.
"UMPSA sentiasa menggalakkan mahasiswa untuk berfikiran terbuka, berani mengetengahkan idea dan memanfaatkan ilmu yang diperoleh bagi menghasilkan penyelesaian inovatif yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara," katanya.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir yang menyaksikan penyerahan Risalah Idea Malaysia 2026 mengandungi sepuluh agenda utama hasil rumusan gagasan dan pandangan yang dikemukakan sepanjang festival untuk dibawa ke Jemaah Menteri bagi pertimbangan dan tindakan selanjutnya.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kekuatan sesebuah negara pada masa hadapan bukan hanya bergantung pada pencapaian ekonomi, sebaliknya turut ditentukan oleh keupayaan rakyat membina budaya ilmu serta menguasai kekuatan pemikiran.
"Generasi muda khususnya mahasiswa institusi pendidikan tinggi (IPT) mempunyai peranan penting dalam membentuk masa depan Malaysia menjelang tahun 2057 dan perlu membina keyakinan terhadap kemampuan serta kepakaran sendiri untuk bersaing di peringkat antarabangsa," ujarnya.
Sepanjang penganjuran, Putrajaya FOI 2026 menampilkan pelbagai pengisian menarik termasuk Sidang Idea Malaysia, R&D Experience yang mengetengahkan teknologi kecerdasan buatan (AI), robotik, automotif dan dron, selain World of Tunnel, Wall of Ideas, Mini Jom Masuk U serta Karnival Kerjaya.

Menerusi Wall of Ideas, sebanyak 654 idea berjaya dikumpulkan dengan keseluruhan 1,477,311 undian direkodkan, sekali gus memperlihatkan keterlibatan masyarakat dalam menyumbangkan pandangan dan gagasan untuk pembangunan negara.
Penganjuran festival bertemakan ‘Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani’ ini diharap dapat diteruskan sebagai platform tahunan yang menghimpunkan pemikir, ahli akademik, penyelidik, mahasiswa dan pemain industri dalam membincangkan idea serta penyelesaian terhadap cabaran masa hadapan.
Penyertaan UMPSA dalam festival ini turut mencerminkan komitmen universiti untuk terus memperkasa keterlibatan mahasiswa dalam ekosistem ilmu, penyelidikan dan inovasi, selaras dengan aspirasi melahirkan graduan yang berdaya saing serta bersedia mendepani cabaran masa hadapan.
Disediakan Oleh: Naqiah Puaad, Pusat Komunikasi Korporat
Foto: Khairu Aidilnishah Rizan Jalil, Pusat Komunikasi Korporat
- 21 views