Forum Antarabangsa MCIEF bakal buka dimensi baharu kepada pembangunan bakat belia Malaysia-China
BANGI, 7 Jun 2026 - Penganjuran 3rd Malaysia-China International Industry-Education Cooperation Forum & 5th Malaysia-China Vocational Education Fair 2026 sebagai satu platform diplomasi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bertaraf antarabangsa berjaya menghimpunkan pemain industri, institusi pendidikan, pakar TVET dan delegasi dari Malaysia serta China dalam satu forum strategik yang memfokuskan pembangunan bakat masa hadapan.
Program yang berlangsung bersempena dengan sambutan Hari TVET Negara 2026 itu memberi tumpuan kepada pembangunan bidang strategik melibatkan Kecerdasan Buatan (AI) dan automasi, kenderaan elektrik (EV) dan teknologi hijau, semikonduktor dan elektronik termaju.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMPSA, Profesor Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed yang merupakan salah seorang panel jemputan berkata, antara yang dibincangkan adalah terhadap pembangunan kemahiran yang diperlukan dalam industri bagi memenuhi permintaan industri dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, selaras dengan globalisasi, ekonomi berasaskan pengetahuan, kemajuan teknologi serta mobiliti tenaga kerja global.
“Pengalaman UMPSA bersama rakan strategik dengan institusi di China dalam pelaksanaan Program Malaysia-China Advanced TVET Mobility Program (MYCHAT) memberi pengalaman terbaik terhadap keperluan industri TVET negara.
“Kerjasama ini juga dengan rakan kolaborasi institusi dan industri bersama Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) dalam TVET memberi manfaat buat pelajar menjalani latihan ‘up-skill’ dalam menghasilkan tenaga kerja profesional mahir tersedia industri terhadap pembangunan kerjaya dan kebolehpasaran graduan (GE) di Malaysia,” ujarnya.
Selain itu, UMPSA juga berjaya melahirkan graduan program ijazah dual antara UMPSA dan Beijing Jiaotong University (BJTU) dalam pengajian dalam bidang kejuruteraan yang menyokong agenda pembangunan industri rel negara.

Forum MCIEF 2026 ini membuka peluang manfaat dan memperkukuh diplomasi TVET antara dua negara bagi berkongsi kepakaran dan proses pemindahan ilmu, pengetahuan dan teknologi untuk memperkukuh ekosistem pendidikan vokasional serta teknikal negara.
Turut dibincangkan penyelarasan kurikulum TVET dengan keperluan industri, mobiliti pelajar dan latihan antarabangsa.
Program dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Pembangunan Kemahiran Belia (BPKB), Kementerian Belia dan Sukan, TANG International Education Group serta Majlis Belia Malaysia (MBM) sebagai platform memperkukuh hubungan strategik Malaysia-China dalam pembangunan TVET, bakat masa hadapan dan kerjasama industri-pendidikan global.
Dalam pada itu, Malaysia dan China memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang TVET menerusi pelancaran Malaysia-China Industry-Education Alliance (MCIEA) oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Negara, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi platform menghubungkan institusi pendidikan, industri dan rakan teknologi kedua-dua negara.
Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abd Wahit, Pusat Komunikasi Korporat
- 40 views
Reports by: