Skip to main content
Galeri UMPSA pamer sejarah, penyelidikan dan kecemerlangan universiti

Galeri UMPSA pamer sejarah, penyelidikan dan kecemerlangan universiti

PEKAN, 21 Oktober 2026 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pamer sejarah, hasil penyelidikan dan kecemerlangan universiti di Galeri Universiti yang terletak di Pintu Gerbang (West Gate), UMPSA Pekan bersempena dengan pemasyhuran Dewan Tuanku Canselor (DTC) hari ini. 

Hadir berkunjung ke galeri,  Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KSU), Yang Berbahagia Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Yang Berbahagia Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman yang diiringi oleh Naib Canselor UMPSA, Profesor Ts. Dr. Yatimah Alias.

Turut sama hadir Timbalan Naib Canselor ( Penyelidikan dan Inovasi), Profesor ChM Dr. Mohd Hasbi Ab. Rahim. 

Menurut Profesor Ts. Dr. Yatimah, galeri ini menampilkan pameran perjalanan universiti sejak penubuhannya sehingga berkembang sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi berteraskan teknologi, kejuruteraan dan inovasi.

“Pameran ini turut memaparkan pencapaian, perkembangan akademik, penyelidikan serta sumbangan warga universiti dalam membina reputasi UMPSA sebagai peneraju pendidikan tinggi berteraskan teknologi dan TVET termaju.

“Menariknya, pameran ini menghimpunkan penyertaan pelbagai fakulti, jabatan, pusat dan persatuan universiti yang mempamerkan kepakaran, pencapaian serta peranan masing-masing dalam menyokong agenda kecemerlangan UMPSA.

“Kepelbagaian pameran ini mencerminkan kekuatan ekosistem universiti yang menggabungkan kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi, pembangunan bakat, jaringan antarabangsa serta penglibatan komuniti dalam menyokong aspirasi universiti,” ujarnya. 

Galeri UMPSA pamer sejarah, penyelidikan dan kecemerlangan universiti

Selain menjadi ruang perkongsian maklumat, Galeri UMPSA turut berperanan sebagai medium komunikasi korporat yang memperkenalkan identiti, sejarah dan pencapaian universiti kepada tetamu kenamaan, rakan strategik serta pengunjung dari dalam dan luar negara.

Inisiatif ini juga memperkukuh usaha pemeliharaan warisan institusi agar perjalanan dan sumbangan kepimpinan terdahulu terus dihargai, sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi warga universiti untuk meneruskan kecemerlangan pada masa hadapan.

Melalui pameran  ini, UMPSA terus memperlihatkan komitmennya dalam memartabatkan sejarah, memperkukuh identiti institusi serta mengetengahkan pencapaian universiti selaras dengan aspirasi untuk menjadi universiti teknologi yang unggul di persada nasional dan antarabangsa.

Galeri ini juga boleh dikunjungi menjelang Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-21 mulai 31 Oktober hingga 3 November depan. 

Selain galeri terdapat juga pejabat Yayasan UMPSA dan Kedai Cenderamata K.I.T.A yang diuruskan Penerbit UMPSA untuk dikunjungi.

Disediakan Oleh: Wallid Wahidi, Pusat Komunikasi Korporat

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri