Hari Pengkomersialan UMPSA 2025 bersempena dengan Festival Idea@Pahang memperkukuh ekosistem inovasi dan teknologi
GAMBANG, 12 Oktober 2025 – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Jabatan Penyelidikan dan Inovasi telah menganjurkan Hari Pengkomersialan UMPSA 2025, bersempena dengan Festival Ideas@Pahang sebagai usaha memperkukuh budaya inovasi dan pengkomersialan hasil penyelidikan dalam kalangan warga universiti.
Program yang menjadi platform penting dalam menghubungkan penyelidikan dengan industri ini menampilkan dua pengisian utama iaitu Sesi Dana dan Fasilitasi Pengkomersialan serta Sesi Pitching Projek Penyelidikan.
Menurut Penolong Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi (Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi), Jabatan Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr. Mohd Hasbi Ab Rahim, penganjuran Hari Pengkomersialan UMPSA merupakan salah satu usaha berterusan universiti dalam memperkukuh agenda inovasi dan pengkomersialan hasil penyelidikan.
“Melalui program seperti ini, penyelidik bukan sahaja dapat memahami ekosistem pembiayaan dan fasilitasi pengkomersialan dengan lebih jelas, malah dapat berinteraksi secara langsung dengan agensi dan industri bagi merealisasikan potensi hasil penyelidikan untuk dikomersialkan.
“Sesi Dana dan Fasilitasi Pengkomersialan memberi pendedahan kepada penyelidik, inovator dan usahawan berteknologi tinggi mengenai peluang pembiayaan serta fasilitasi pengkomersialan yang disediakan oleh agensi nasional.
“Antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) dan UMPSA Holdings Sdn. Bhd,” katanya.
Sesi ini turut menampilkan perkongsian daripada Penolong Setiausaha Kanan MOSTI, Yasit Ab. Razak, Penganalisa, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Fauzan Haziq Mardin dan Pengurus Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMPSA Holdings Sdn. Bhd., Ts. Mohd Fadzil Mohd Idris
Ketiga-tiga panel membincangkan inisiatif dan peluang pengkomersialan teknologi yang dapat memperkasa penyelidik ke arah pembangunan inovasi berimpak tinggi.
Selain itu, turut berlangsung Sesi Pitching Projek Penyelidikan yang melibatkan sembilan penyertaan keseluruhan merangkumi dua kategori iaitu kategori pelajar dengan empat projek dan kategori staf akademik serta anak syarikat dengan lima projek termasuk satu penyertaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Majlis penyampaian hadiah menyaksikan Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kima dan Proses (FTKKP) UMPSA, Profesor Madya Ts. Dr. Norashikin Mat Zain menerima Anugerah The HelloThere Breakthrough Award dengan projek ‘Auriez: Natural Antibacterial Products’ yang membawa pulang RM 1111.11 tajaan Hellothere Skin Lab.
Manakala pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Profesor Madya Ir. Dr. Mohd. Hafizi Zohari berjaya memenangi High Impact Pitch Award.
Pelajar UMPSA, Muhammad Irfan Nizam Mohd Rafi pula menang Nextgen Innovation Award dan Muhammad Hazreq Daniel Borhan memenangi The Best Pitch Presenter.
Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Yang Berhormat Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib yang hadir merasmikan Festival Idea@Pahang 2025.
Hadir sama Naib Canselor UMPSA, Profesor Dr. Yatimah Alias dan Ketua Seksyen Pengurusan Strategik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Mujahidah Khairun Nisak Rosli.
Hari Pengkomersialan UMPSA 2025 menjadi platform penting bagi menghimpunkan penyelidik, agensi dan pemain industri ke arah membina ekosistem inovasi yang mampan, seterusnya memperkukuh peranan UMPSA sebagai universiti teknologi yang berimpak tinggi dalam menjana ekonomi berasaskan pengetahuan negara.
UMPSA sebagai peneraju utama penganjuran Festival Idea@Pahang (FoI) 2025 dilaksanakan selaras dengan mandat yang diberikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjelang penganjuran Festival Idea Putrajaya 2025 pada 4 hingga 8 November depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Disediakan Oleh: Nur Hartini Mohd Hatta, Pusat Komunikasi Korporat
- 11 views
Reports by: